Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ASEAN harus gandakan usaha menyatukan, membina masyarakat untuk terus kekal relevan, tegas PM Lee

Kedudukan ASEAN harus diperkukuhkan dan perkumpulan serantau itu harus meneroka bidang dan komitmen baru untuk terus bekerjasama agar ia kekal relevan dan berpandangan jauh serta menjadi tunggak kepada reka bentuk dan masa depan rantau ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Apr 2018 01:40PM Dikemas Kini : 28 Apr 2018 10:13PM

SINGAPURA: Kedudukan ASEAN harus diperkukuhkan dan perkumpulan serantau itu harus meneroka bidang dan komitmen baru untuk terus bekerjasama agar ia kekal relevan dan berpandangan jauh serta menjadi tunggak kepada reka bentuk dan masa depan rantau ini.

Semasa berucap di majlis pembukaan Sidang Puncak ASEAN ke-32 hari ini (28 Apr), Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan demikian kepada para pemimpin 10 negara anggota ASEAN sambil menegaskan bahawa ASEAN perlu menggandakan usaha untuk menyatukan dan membina masyarakat.

“ASEAN hanya dapat mengekalkan kedudukannya jika ia terus bekerja keras dan para anggotanya menghargai nilai dan manfaat bekerjasama,” kata beliau.

PM Lee turut menarik perhatian bahawa ia sukar bagi setiap negara anggota ASEAN untuk membawa perubahan secara sendirian. “Tetapi apabila kita bergabung tenaga, ASEAN lebih berkesan.”

Dalam ucapannya, PM Lee juga menerangkan rasional di sebalik pemilihan tema ‘daya tahan’ dan ‘inovasi’ sambil menjelaskan bahawa tema-tema tersebut ‘menggambarkan keadaan kita hari ini’.

“Kami harus berdaya tahan menangani ancaman konvensional dan bukan konvensional seperti pengganasan dan serangan siber,” kata beliau sambil menarik perhatian bahawa serangan siber semakin berleluasa di tengah-tengah usaha merangsang pendigitalan.

Namun, pada masa yang sama, negara-negara harus bersikap inovatif dan memanfaatkan teknologi untuk mengembangkan ekonomi.

“Sekiranya negara anggota ASEAN boleh bekerjasama dalam usaha ini, kita akan dapat mengukuhkan ekonomi kita,” kata beliau.

PM Lee juga menggariskan pelbagai inisiatif yang dipersetujui negara-negara anggota ASEAN dalam pernyataan wawasannya yang didedahkan semalam (27 Apr).

Salah satu daripadanya adalah para pemimpin bersetuju untuk menyokong kenyataan berhubung kerjasama keselamatan siber yang menurut PM Lee ‘mencerminkan wawasan untuk mewujudkan ruang siber yang aman, selamat dan berdaya tahan’.

PM Lee selanjutnya menambah bahawa Singapura akan melancarkan beberapa inisiatif bagi mengukuhkan Masyarakat ASEAN.

Misalnya, satu bengkel latihan yang diberi nama program Akademi Undang-Undang ASEAN akan ditubuhkan untuk para pegawai ASEAN, pengamal undang-undang dan pendidik bidang itu untuk menggalak integrasi dan pendidikan dalam bidang tersebut.

Singapura juga akan menokok S$5 juta kepada Dana Belia Singapura-ASEAN yang memupuk pembangunan kepimpinan, khidmat masyarakat dan keusahawanan dalam kalangan belia ASEAN. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan