Skip to main content

Singapura

ASEAN harus 'gandakan' integrasi di tengah ancaman tarif Trump: Vivian Balakrishnan

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN harus 'gandakan' integrasi di tengah ancaman tarif Trump: Vivian Balakrishnan

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan menghadiri sesi pleno mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia pada Rabu 9 Julai 2025. (Gambar: AP/Vincent Thian)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 11 Jul 2025 09:50PM Dikemas Kini : 11 Jul 2025 09:51PM
SINGAPURA: Dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meluaskan perang perdagangannya sejak beberapa hari lalu, blok Asia Tenggara, ASEAN, harus "menggandakan usaha" dalam integrasinya.

Demikian kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan pada Jumaat (11 Jul).

Bercakap kepada wakil media di luar mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur, Dr Balakrishnan berkata ASEAN perlu memastikan "kita benar-benar sudah menghapuskan setiap tarif dan halangan bukan tarif serta mengoptimumkan kedudukan daya saing kita".

"Itu jalan yang tidak akan dikesali, dan saya rasa keperluan untuk melakukannya sekarang lebih jelas," tambah beliau.

Awal minggu ini, Encik Trump mengumumkan tarif import baharu sehingga 40 peratus ke atas negara-negara tertentu.

Surat-surat yang dihantar kepada 14 negara, terutamanya di Asia, menyatakan bahawa tarif akan berkuat kuasa pada 1 Ogos melainkan perjanjian dicapai dengan Amerika Syarikat terlebih dahulu.

Singapura tidak termasuk dalam 14 negara yang menerima surat-surat ini.

Sekalipun demikian, negara-negara Asia Tenggara lain, termasuk Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, dan Thailand, berdepan duti antara 25 hingga 40 peratus.

Di Asia Tenggara, perdagangan adalah strategi, maka aliran perdagangan dan pelaburan adalah "fokus strategik utama" semua pemerintah di rantau ini, kata Dr Balakrishnan.

"Kejayaan utama kita adalah pertama, mengekalkan keamanan, dan kedua, integrasi ekonomi dan meluaskan peluang ekonomi."

KETEGANGAN THAI-KEMBOJA

Menyentuh isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja, Dr Balakrishnan berkata kedua-dua negara memerlukan "ruang dan masa menerusi saluran tertutup agar usaha diplomasi dapat berjalan dengan berkesan".

Publisiti yang berlebihan atau membiarkan orang ramai memberi respons melalui sidang media atau media sosial "tidak pernah menjadi formula yang baik untuk menyelesaikan isu-isu yang sukar, sensitif, dan rumit," katanya.

Jiran-jiran Asia Tenggara itu berbalah sejak seorang tentera Kemboja terbunuh pada hujung Mei apabila tentera berbalas tembakan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Memandangkan pertikaian sempadan dan persempadanan adalah "sangat sukar" dan mengambil masa "sangat lama" untuk diselesaikan, Dr Balakrishnan mengingatkan para diplomat untuk bersabar.

"Jangan mencari penyelesaian yang cepat, hanya dalam semalaman. Sementara itu, jangan memburukkan keadaan. Jangan memburukkan, jangan mengapi-apikan situasi."

INISIATIF BAHARU BANTU PALESTIN

Turut berucap semasa Persidangan Keempat Kerjasama Dalam Kalangan Negara-Negara Asia Timur (CEAPAD) mesyuarat peringkat menteri pada Jumaat, Dr Balakrishnan mengumumkan bahawa Singapura akan melancarkan dua inisiatif pada tahun 2026 untuk meluaskan sokongan kepada rakyat Palestin.

Bersama dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Singapura akan menjalankan program latihan mengenai kepolisan masyarakat untuk Pasukan Polis Awam Palestin.

Singapura juga akan menganjurkan program pemimpin muda untuk berkongsi pengalaman Singapura dalam tadbir urus dan pentadbiran awam dengan pemimpin-pemimpin Palestin yang baharu muncul.

"Singapura berharap usaha kolektif kita pada mesyuarat CEAPAD ini akan mengukuhkan Pihak Berkuasa Palestin dan membantu mempersiapkan rakyat Palestin untuk negara mereka sendiri," katanya.

Israel melancarkan kempennya di Gaza sebagai tindak balas kepada serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023. Lebih 1,000 orang terbunuh pada hari itu, menurut angka Israel.

"Kami mengulangi gesaan kami dengan segera untuk gencatan senjata serta-merta, pembebasan semua tebusan tanpa syarat, dan penghantaran bantuan kemanusiaan yang pantas dan tidak terhalang serta sokongan untuk UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin). Kami perlu meringankan, segera, penderitaan orang awam di Gaza," kata Dr Balakrishnan.

"Selepas itu, gencatan senjata kekal diperlukan supaya pembinaan semula dapat dimulakan. Keperluan Gaza akan sangat besar," tambahnya.

Apabila ditanya oleh media sama ada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan menghantar bantuan perubatan selanjutnya untuk membantu situasi di Gaza, Dr Balakrishnan berkata SAF sudah melakukan beberapa "kajian skop awal" untuk melihat bagaimana bantuan perubatan dapat diberikan secara langsung.

"Masih terlalu awal untuk masuk ke butiran mengenai penempatan yang tepat atau sebenar, tetapi yakinlah bahawa kami berhasrat untuk menyediakan sokongan kemanusiaan dan perubatan untuk orang awam di Palestin."
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita