Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ASEAN gesa junta Myanmar segera laksana Konsensus 5 Perkara

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN gesa junta Myanmar segera laksana Konsensus 5 Perkara

(Gambar: Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur)

SINGAPURA: ASEAN menggesa tentera Myanmar supaya melaksanakan Konsensus Lima Perkara "dengan segera dan sepenuhnya", menurut Menteri Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut Dr Balakrishnan, pasukan tentera juga digesa bekerjasama dengan ASEAN dan bakal Duta Khas Pengerusi ASEAN di Myanmar untuk mencapai kemajuan yang ketara, termasuk memberi akses kepada Duta Khas menemui semua pihak yang terlibat di Myanmar.

Dr Balakrishnan berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai "sejauh mana terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan negara anggota ASEAN mengenai pendekatan yang perlu diambil berhubung situasi politik di Myanmar."

Menurutnya, ASEAN mengambil pendekatan "tegas dan konsisten" terhadap situasi di Myanmar berikutan rampasan kuasa pada 1 Feb 2021.

Konsensus Lima Perkara itu dirumuskan oleh para pemimpin ASEAN dan diterima oleh jeneral kanan junta Min Aung Hlaing pada mesyuarat 24 April 2021 di Jakarta, menurutnya dalam jawapan tersebut.

Namun katanya ASEAN "tetap kecewa terhadap kemajuan terhad yang dicapai dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara berkenaan."

Sehubungan itu, katanya, para pemimpin ASEAN mengesahkan semula Konsensus Lima Perkara itu pada Sidang Puncak ASEAN pada November 2022 dan "bersetuju mengenai beberapa langkah untuk memberi isyarat jelas kepada tentera Myanmar".

Konsensus Lima Perkara itu adalah: menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan yang membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan; ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; utusan khas ASEAN dilantik untuk mengendalikan rundingan; dan membenarkan utusan khas berkenaan melawat negara itu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan