Skip to main content

Singapura

ASEAN berisiko hilang kredibiliti jika gagal bersatu, tegas PM Wong

Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) harus “bersatu teguh” dalam dunia yang semakin tidak menentu atau berisiko kehilangan kredibiliti dan kedudukannya di peringkat global, kata Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Ahad (26 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN berisiko hilang kredibiliti jika gagal bersatu, tegas PM Wong

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong (dua dari kiri), bersama ketua-ketua negara ASEAN lain bergambar semasa majlis pembukaan Sidang Puncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 27 Oct 2025 12:17PM
  • Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) harus “bersatu teguh” dalam dunia yang semakin tidak menentu atau berisiko kehilangan kredibiliti dan kedudukannya di peringkat global, kata Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Ahad (26 Okt).
  • Mengenai Myanmar, yang masih bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan pemerintah pilihan rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi dan mencetuskan pemberontakan bersenjata, Encik Wong berkata keutamaan segera ialah untuk meredakan keganasan, memudahkan akses kemanusiaan dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk berdialog.
  • Encik Wong turut menggesa blok itu untuk memperdalam integrasi ekonomi dan “berusaha untuk membawa turun tarif ke paras sifar” dalam kawasan perdagangan bebas ASEAN, sambil mengulangi kenyataannya semasa mesyuarat pertama ASEAN tahun ini pada Mei lalu.
  • Encik Wong juga menekankan keperluan ASEAN untuk memperkukuh daya tahannya dalam menghadapi ancaman baharu yang muncul.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) harus “bersatu teguh” dalam dunia yang semakin tidak menentu atau berisiko kehilangan kredibiliti dan kedudukannya di peringkat global, kata Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Ahad (26 Okt).

Berucap di sesi rahat tertutup yang diadakan di penghujung hari pertama Sidang Puncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, beliau berkata ASEAN mesti mempertahankan kedudukannya di pusat rantau itu serta menunjukkan keupayaannya menyelesaikan perbezaan dan mengekalkan keamanan antara negara anggotanya.

Dalam transkrip yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada pagi Isnin, Encik Wong menyatakan harapan agar huraian segera dapat dicapai bagi dua isu utama, iaitu ketegangan sempadan antara Kemboja dengan Thailand, serta krisis politik yang berterusan di Myanmar.

Thailand dan Kemboja sebelum ini terlibat dalam pertikaian sempadan bertambah runcing pada Julai lalu dan menjadi pertempuran ketenteraan paling berdarah dalam tempoh beberapa dekad, mengorbankan lebih 40 nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk untuk melarikan diri dari rumah mereka.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata pada 28 Julai lalu selepas rundingan di Kuala Lumpur yang diantarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN.

Di luar Sidang Puncak ASEAN pada Ahad, satu perjanjian untuk menghentikan semua pertempuran di kawasan sempadan yang dipertikaikan serta membebaskan askar yang diculik dimeterai oleh kedua-dua negara.

Encik Wong memuji usaha Malaysia dalam mencari penyelesaian diplomatik dan mengalu-alukan pemeteraian perjanjian tersebut.

Namun, beliau berkata ini “baru permulaan sahaja”.

“Masih ada perjalanan yang panjang di hadapan, dan Singapura menggesa kedua-dua pihak agar terus menunjukkan sikap berhemah untuk mengelak sebarang peningkatan ketegangan, serta menyelesaikan perbezaan melalui pelibatan dan dialog secara aman serta menggunakan mekanisme sedia ada.”

Mengenai Myanmar, yang masih bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan pemerintah pilihan rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi dan mencetuskan pemberontakan bersenjata, Encik Wong berkata keutamaan segera ialah untuk meredakan keganasan, memudahkan akses kemanusiaan dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk berdialog.

“Penyelesaian mampan dan keamanan berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog dan pelibatan konstruktif antara semua pihak utama yang berkepentingan dan kita semua sudah tegaskan sebelum ini bahawa sebarang huraian mesti dipimpin dan dimiliki oleh Myanmar sendiri,” kata beliau.

Encik Wong menegaskan bahawa usaha utusan khas serta Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN amat penting, dan menyeru pelantikan seorang utusan khas dengan tempoh pelantikan berbilang tahun “bagi memastikan kesinambungan” selepas penggal Malaysia berakhir.

Utusan khas semasa ialah mantan diplomat Malaysia, Othman Hashim, yang memegang peranan itu sejak Januari. Beliau ditugaskan untuk memantau kemajuan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui ASEAN pada April 2021, yang menggesa penghentian keganasan dengan serta-merta.

“Singapura akan terus menyokong usaha ASEAN dan pengerusi dalam isu Myanmar, termasuk dengan melaksanakan Konsensus Lima Perkara tersebut,” kata Encik Wong.

Terdahulu pada hari yang sama, Encik Wong turut menghadiri sesi pleno tertutup bagi para pemimpin ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Sesi itu, yang diadakan selepas majlis pembukaan, turut disertai anggota baharu ASEAN, Timor-Leste, buat pertama kali.

Dengan sidang puncak tersebut berlangsung di tengah-tengah perubahan dunia yang mendalam, Perdana Menteri Singapura menyeru blok tersebut supaya melakukan lebih banyak usaha dalam tiga bidang utama untuk menjamin masa depannya.

Pertama, memperdalam integrasi ekonomi dan “berusaha untuk membawa turun tarif ke paras sifar” dalam kawasan perdagangan bebas ASEAN, katanya, sambil mengulangi kenyataannya semasa mesyuarat pertama ASEAN tahun ini pada Mei lalu.

Selain tarif, perniagaan masih berdepan persekitaran operasi yang rumit di ASEAN, dan lebih banyak boleh dilakukan untuk membantu mereka beroperasi dengan lebih lancar di seluruh rantau ini, termasuk dengan mengurangkan rintangan bukan tarif serta menyeragamkan peraturan dan garis panduan.

Ekonomi serantau juga boleh diperkukuhkan dengan menghubungkan sistem pembayaran digital, memanfaatkan perjanjian seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, kata beliau.

Kedua, keperluan untuk mewujudkan perkongsian baharu, ujar Encik Wong, sambil menyebut minat daripada Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan ASEAN.

Beliau menambah bahawa hubungan baharu akan menjadi semakin penting dalam dunia yang menyaksikan lebih banyak halangan terhadap perdagangan dan pelaburan, sambil menggesa ASEAN agar kekal terbuka dan “mencari cara untuk memastikan aliran utama bagi perdagangan kekal terbuka.”

Akhir sekali, Encik Wong menekankan keperluan ASEAN untuk memperkukuh daya tahannya dalam menghadapi ancaman baharu yang muncul.

Ini termasuk meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan rakyat terhadap jenayah siber dan penipuan online, serta menangani isu kesihatan awam yang berpunca daripada rokok elektronik dan produk vape yang kini “bergerak dengan bebas merentasi rantau ini,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita