ASEAN bentangkan rangka kerja bagi bantu negara anggota tangani masalah berita palsu
Negara-negara anggota ASEAN mengusulkan satu rangka kerja sebagai rujukan untuk menetapkan dasar bagi menangani masalah berita palsu.
(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Negara-negara anggota ASEAN mengusulkan satu rangka kerja sebagai rujukan untuk menetapkan dasar bagi menangani masalah berita palsu.
Antara strategi utama yang akan ASEAN laksanakan termasuk mendidik rakyat supaya mampu mengesan sebarang berita palsu, pemerintah menjalankan pemeriksaan secara kerap untuk memantau berita, dan saling bekerjasama dengan rakyatnya.
Satu lagi strategi yang digariskan dalam rangka kerja itu menyatakan salah satu cara untuk membangunkan masyarakat yang bijak menilai adalah dengan mendidik mereka untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab apabila menyebarkan sebarang maklumat.
Rangka kerja, yang diluluskan dalam Sidang ke-14 Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI), juga menggalak negara-negara anggota untuk mempertimbangkan keadaan negeri masing-masing sebelum melakarkan undang-undang, norma dan garis panduan.
Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata masalah berita palsu sesuatu yang universal dan ia perlu ditangani pemerintah.
"Ia merupakan satu kepentingan bagi rakyat kita untuk memastikan Internet dan ruang digital kekal selamat, boleh dipercayai dan digunakan untuk kebaikan orang ramai," kata beliau.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat, yang berucap di sidang itu sebagai tetamu terhormat, berkata setiap negara anggota ASEAN sudah menjalankan langkah-langkah bagi membendung kesan negatif berita palsu.
Misalnya, Singapura menubuhkan Jawatankuasa Parlimen untuk mendengar pandangan orang awam tentang cara menangani masalah berita palsu.
"Bagaimanapun, trend dan ancaman dunia digital sememangnya isu antarabangsa. Jadi, jika negara cuba menangani masalah ini secara sendiri, ia tidak mencukupi. Kita harus bekerjasama untuk memupuk ekosistem digital yang berdaya bingkas dan dipercayai di merata ASEAN," kata Encik Heng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.