Skip to main content

Singapura

Asbestos dijumpai di lagun, pantai Pulau Kusu

Serpihan-serpihan yang mengandungi asbestos dijumpai di sekitar lagun dan pantai Pulau Kusu.

Anggaran Waktu Membaca:
Asbestos dijumpai di lagun, pantai Pulau Kusu

Serpihan yang mengandungi bahan asbestos dijumpai di Pulau Kusu. (Gambar: SLA)

Diterbitkan : 04 May 2018 10:51PM Dikemas Kini : 04 May 2018 10:54PM

SINGAPURA: Serpihan-serpihan yang mengandungi asbestos dijumpai di sekitar lagun dan pantai Pulau Kusu.

Demikian menurut Penguasa Darat Singapura (SLA) hari ini (4 Mei).

Asbestos adalah sejenis bahan berbahaya yang boleh menyebabkan barah paru-paru dan penyakit lain jika terhidu bagi tempoh yang lama.

Kawasan yang terjejas dikepung dan akan terus ditutup kepada orang ramai sehingga kerja-kerja membersihkan serpihan tersebut selesai dijalankan, menurut SLA, sambil menambah ia mahu menyelesaikannya menjelang bulan Oktober ini.

Asbestos, bagaimanapun, tidak dikesan di kuil Da Bo Gong (Tua Pek Kong), perigi, kawasan perlindungan kura-kura, pusat penjaja sementara dan jeti. Oleh itu, kawasan-kawasan tersebut akan terus dibuka kepada para pengunjung.

Khidmat feri setiap hari untuk ke Pulau Kusu juga terus beroperasi.

Pengumuman itu dibuat menyusuli penemuan asbestos di Pulau St John pada bulan lalu.

Kerja-kerja pembersihan di Pulau St John pula sedang dijalankan.

Selepas penemuan di Pulau St John, SLA bekerjasama dengan agensi-agensi relevan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut asbestos di pulau-pulau lain yang dibuka kepada orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga, menurut SLA.

Sejauh ini, tiada serpihan yang mengandungi asbestos dijumpai di Pulau Sekijang Pelepah (Pulau Lazarus), Pulau Seringat dan Pulau Kias, menurut SLA.

Pemeriksaan asbestos bagi Pulau Hantu pula selesai menjelang minggu depan.

Sekiranya asbestos dijumpai, SLA akan menjalankan kerja-kerja yang diperlukan untuk membersihkannya dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan orang ramai, tambah SLA.

Agensi itu menyatakan asbestos diharamkan di Singapura sejak tahun 1989 disebabkan keprihatinan terhadap risiko kesihatan, menyusuli langkah serupa yang diambil oleh negara-negara lain.

Sekalipun begitu, bahan-bahan asbestos dalam bangunan-bangunan lama tidak mungkin menimbulkan risiko kesihatan selagi ia dalam keadaan baik dan tidak diganggu, tambah SLA.

Penyakit-penyakit berkaitan asbestos, seperti asbestosis, lazimnya menjejas mereka yang terdedah kepada bahan tersebut bagi tempoh yang lama dan ia biasanya berkaitan pekerjaan, menurut SLA.

Ia menambah, risiko mengalami penyakit disebabkan asbestos dalam kalangan mereka yang tidak sengaja terdedah kepadanya, termasuk para pengunjung ke pulau-pulau terjejas, adalah rendah.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita