Skip to main content

Singapura

Asatizah SG sambut baik APVN; bantu perluas kepakaran di luar bidang agama

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN) yang dilancarkan oleh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) pada Sabtu (4 Okt) disambut baik oleh golongan asatizah.

Asatizah tempatan menyifatkannya sebagai wadah untuk mengukuhkan jaringan profesional serta meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang, termasuk kaunseling dan pembangunan masyarakat.

APVN turut ditubuhkan dengan tujuan mempersiapkan asatizah tempatan dalam menangani keperluan masyarakat Islam yang kian rencam.
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
RUANG UNTUK KOLABORASI DAN BINA KEPAKARAN

Bagi Ustaz Syafiq Rahmat, yang memegang diploma possiswazah dalam bidang kaunseling Islam di bawah naungan PERGAS, APVN memberi peluang kepada asatizah memperluas kepakaran dan membina jaringan profesional yang kukuh.

“Saya rasa ia inisiatif yang baik. Ia adalah platform untuk asatizah yang ingin menceburi pelbagai bidang berhubung dengan asatizah lain yang telah lama berkecimpung dengan bidang tersebut.
Ustaz Syafiq Rahmat (Gambar: Mediacorp)
"Menerusi platform itu juga, asatizah dapat saling menyokong antara satu sama lain dalam sesuatu bidang itu,” ujar beliau, yang kini bertugas sebagai kaunselor sepenuh masa di Kelab HEAL dan penyedia khidmat di Asatizah Solace Care (ASC).

Dengan pengalaman membantu individu dan keluarga yang berdepan cabaran kesihatan mental, Ustaz Syafiq menekankan pentingnya sokongan rakan setugas.

“Melalui APVN, asatizah yang, seperti contoh, dalam bidang kaunseling dapat saling menyokong antara satu sama lain. Jika mereka mahukan sesuatu sumber, mereka boleh saling bertanya sesama asatizah dalam bidang itu.

"Sebagai contoh, bila saya baru-baru ingin menceburi bidang kaunseling, saya ada bertanya kepada para asatizah yang sudah berada dalam bidang kaunseling dan dari situ, saya mendapat sokongan, petunjuk daripada mereka, apa yang patut saya lakukan untuk meneruskan dalam bidang itu,” tambah beliau.

Beliau juga berpandangan bahawa masyarakat kini semakin memerlukan asatizah yang mempunyai pelbagai kemahiran di luar bidang agama.

“Kadangkala soalan yang diajukan kepada asatizah bukan hanya tentang hukum-hakam, tetapi juga isu kemasyarakatan, keluarga dan emosi.

"Jadi, APVN boleh menjadi jambatan bagi asatizah untuk mengukuhkan keupayaan mereka membantu masyarakat secara menyeluruh,” tambahnya.

Pandangan senada turut dikongsikan Ustazah Nur Hayati Yusoff, yang juga kaunselor di AMP Singapore.

Beliau juga aktif dalam pengajaran dan kaunseling agama.
 
Ustazah Nur Hayati Yusoff (Gambar: Mediacorp)
Bagi beliau, APVN bukan sekadar platform jaringan, tetapi satu ekosistem sokongan yang membolehkan asatizah berkongsi idea dan pengetahuan bagi menangani isu-isu masyarakat yang semakin rumit.

“APVN memberikan satu ruang bagi asatizah seperti saya untuk lebih mendekati masyarakat dan juga untuk sekumpulan asatizah yang mahir dalam sesuatu bidang, untuk berkumpul dan bertukar-tukar idea, bagaimana untuk tolong lebih ramai anggota masyarakat kita yang menghadapi kesulitan dan soalan-soalan yang luar daripada bidang agama dan lebih kompleks,” katanya.

Dengan lebih 10 tahun pengalaman dalam bidang kaunseling belia dan keluarga, Ustazah Nur Hayati melihat APVN sebagai pemangkin kepada usaha meningkatkan kemahiran profesional dalam kalangan asatizah.

“(Ini terutamanya) dari segi kemahiran dan pengetahuan, dan kepakaran dari asatizah kanan yang boleh mengadakan perbincangan dengan asatizah muda serta untuk belajar daripada mereka bagi membantu kita mempersiapkan diri membantu masyarakat menghadapi cabaran,” jelas beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita