Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asatizah perlu peka dengan perkembangan teknologi kewangan agar dapat beri panduan Syariah kepada masyarakat

Para asatizah diajak untuk sama-sama memahami dan peka akan perkembangan isu-isu berkaitan teknologi kewangan termasuk pelaburan dalam talian serta 'metaverse' agar dapat memberi panduan syariah yang sewajarnya kepada masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para asatizah digalak untuk sama-sama memahami dan peka akan perkembangan isu-isu berkaitan teknologi kewangan termasuk pelaburan dalam talian serta 'metaverse' agar dapat memberi panduan syariah yang sewajarnya kepada masyarakat.

Demikian antara tujuan yang harap dicapai menerusi penganjuran persidangan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-17 yang diadakan di Singapura.

Acara itu menghimpunkan lebih 220 para ulama, penasihat Syariah, cendekiawan Islam dan pengamal kewangan serta pakar-pakar dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand.

'

Menerusi persidangan tersebut, para peserta diharap dapat memperdalami ilmu bagaimana untuk mengaplikasikan garis panduan agama dan undang-undang Syariah dalam penggunaan teknologi kewangan (Fintech) demi memberi manfaat kepada ekonomi masyarakat.

Ini dilakukan menerusi perbincangan dan pembentangan mereka yang pakar dalam bidang-bidang tersebut.

Menerusi usaha itu, pihak penganjur juga berharap para asatizah dapat mendalami perkembangan-perkembangan teknologi kewangan dari sudut berbeza.

Perunding Utama syarikat S Tradition, Encik Aminuddin Abu Bakar yang juga merupakan anggota lembaga Pergas Investment Holdings berkata, "Ianya satu wadah baik sekali untuk para asatizah setempat kami untuk pelajari daripada pengalaman dari negara-negara lain dalam isu-isu kewangan Islam."

"Perkembangan ini akan berterusan maka, sebagai asatizah di Singapura, untuk memastikan mereka dapat memainkan peranan berkesan dan baik, mereka perlu peka akan perkembangan, terutama sekali sebagai pemberi panduan agama bagi masyarakat kami," ujar Encik Aminuddin.

Acara yang bertemakan 'Syariah Pemangkin Pembangunan Teknologi Kewangan dan Agenda Kelestarian' itu dirasmikan Anggota Parlimen Encik Zhulkarnain Abdul Rahim pada Rabu (31 Mei).

Encik Zhulkarnain berkata, "Saya berharap dengan adanya wadah untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan dari pelbagai negara ASEAN, kita dapat berkongsi cara menaikkan mutu dalam inovasi seperti wakaf dan teknologi kewangan."

Menurut beliau, ini akan dapat membantu dalam menjadi penggerak utama untuk pembangunan masyarakat Melayu/Islam setempat.

"Ia selaras dengan tujuan kita di Singapura untuk mewujudkan Wakaf Masyarakat Singapura dan para ulama dan asatizah memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menjadi penggerak utama dalam masyarakat tetapi untuk memperhalusi pendekatan dan mengikuti perkembangan teknologi yang kian berkembang pada masa sekarang," kata Encik Zhulkarnain.

MENYELAMI ALAM METAVERSE, MEMILIKI MATA WANG KRIPTO BERCANGGAH DENGAN UNDANG-UNDANG SYARIAH?

Para peserta juga dapat memperluaskan ilmu mengenai teknologi kewangan termasuk mempelajari aset-aset kewangan digital seperti mata wang kripto, serta produk 'Non-Fungible Token' (NFT).

Dalam pembentangannya, penasihat syarikat Islamic Finance Singapore, Dr Hazik Mohamed
juga mengupas aset-aset tersebut daripada pandangan Syariah yang berdasarkan perkembangan semasa.

'

Dr Hazik berkongsi, "Metaverse adalah satu bidang yang teramat baru, jadi ia mengelirukan bagi mereka yang tidak biasa dengan teknologi. Saya bincangkan dari segi Syariah, apa yang harus kita awasi dalam mengembangkan bidang ini."

"Kaum muda yang celik dalam hal ini, mereka mudah terpengaruh. Dalam rangkaian sosial, mereka terpengaruh dengan apa yang biasa dalam alam maya. Mereka akan lupa apa yang betul dan salah, tidak fikir tentang Syariah. Kita harus memberi garis panduan supaya bidang ini akan digunakan dengan baik kerana kalau tidak, ia sangat mudah untuk dipesongkan," tambah beliau.

'

Menerusi pembentangannya, beliau berharap bahawa para peserta dapat tahu untuk membezakan apa yang dibenarkan dalam menggunakan aset-aset kewangan digital itu dan apa yang bercanggah dengan Syariah.

Dr Hazik berkata: "Kita harus selalu sedar bahawa apa sahaja kelakuan kami di alam realiti atau Metaverse dalam menggunakan aplikasi NFT, kontrak-kontrak bijak, mata wang kripto, kita harus pertama sekali, mengikut Syariah. Kelakuan kita di dunia perlu sejajar dengan Syariah."

"Pada masa yang sama, jangan takut untuk mendakapi sekitaran baru ini cuma kita perlu sedar dan awasi perkara-perkara yang akan melanggar Syariah," tambah beliau lagi.

Dalam pembentangannya juga, Dr Hazik mengatakan bahawa apabila penggunaan teknologi kewangan digunakan mengikut Syariah, ia mempunyai potensi untuk memberi kesan positif kepada masyarakat, termasuk kecekapan, daya penghasilan dan ketelusan.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu juga akan mengetengahkan isu-isu berkaitan pelaburan harta wakaf dan cabaran industri kewangan Islam hingga esok (1 Jun) di Holiday Inn Atrium, Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan