Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asatizah perlu dampingi golongan LGBT secara berhemah, elak pecah belah antara masyarakat: Ustaz Mizi Wahid

Golongan asatizah perlu bersikap berhati-hati apabila menangani isu-isu berkaitan LGBT, jelas Ustaz Mizi Wahid. Peguam dan Presiden AML pula rasakan definisi keluarga "lebih selamat" dengan pemansuhan seksyen 377A.

Anggaran Waktu Membaca:
Asatizah perlu dampingi golongan LGBT secara berhemah, elak pecah belah antara masyarakat: Ustaz Mizi Wahid

Gambar fail para asatizah pada 2019. (Gambar: Mediacorp)

BERITAmediacorp: Golongan asatizah perlu juga perlu diberi latihan dalam menangani isu-isu berkaitan golongan LGBT agar tidak menimbulkan salah faham dan memecahbelahkan masyarakat.

Demikian yang dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Holdings Pte Ltd Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid mengenai kepentingan peranan asatizah terhadap golongan tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim (AML), Noor Mohamed Marican merasakan bahawa terdapat hikmah di sebalik pemansuhan seksyen 377A, memandangkan ia hanya akan memperkukuhkan lagi definisi 'keluarga' dan selepas dimasukkan ke dalam perlembagaan.

Mereka berdua menyertai barisan panelis dalam Detik Dialog di samping Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli bagi membincangkan isu-isu berkaitan pemansuhan seksyen 377A yang diumumkan dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini.

ASATIZAH PERLU DIBERI LATIHAN, TANGANI ISU RUMIT DENGAN PENUH BERHEMAH

Ustaz Tarmizi, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi akur bahawa lebih banyak usaha bagi mempersiapkan masyarakat, lebih-lebih lagi para asatizah, untuk mendampingi golongan LGBT dalam masa akan datang.

"Saya rasa asatizah perlu menjadi contoh yang utama kerana masyarakat sentiasa melihat tingkah laku dan respons kami terhadap isu-isu seperti ini. Bukan saja apa yang kami ucapkan dalam kelas-kelas bimbingan tetapi respons kami secara umumnya," ujar Ustaz Mizi.

Beliau menambah: "Sama ada kita ini akan membuat mereka lebih jauh daripada kita, lebih jauh daripada keluarga, lebih jauh daripada agama ataupun kita menjadi penyebab mereka tetap dapat berpegang dengan sebahagian daripada nilai-nilai yang akan membantu mereka untuk meneruskan kehidupan mereka dengan keadaan yang tenang dan juga masih lagi berpegang dengan akidah dan agama mereka."

Menurut beliau, ia adalah penting golongan tersebut tidak dipinggirkan, dalam apa jua bentuk tindakan.

"Antara perkara saya rasa amat penting untuk membuat mereka rasa selamat dan tidak merasa seperti mereka ini dikenakan stigma."

"Kita juga ingin menjaga dan memastikan apabila mereka datang kepada kami untuk menanyakan soalan atau masalah yang mereka hadapi, mereka tidak akan rasa seperti mereka diancam. Mereka akan rasa selamat," ujar Ustaz Mizi.

Bagi Ustaz Mizi, pendekatan tersebut adalah cara bagaimana para asatizah boleh menunjukkan sifat empati dan rahmah kepada golongan LGBT.

"Sekiranya mereka datang kepada kita, kita pastinya akan membantu dan juga menjaga nama baik mereka, tidak akan mendedahkan nama, siapa yang memerlukan bantuan-bantuan ini," kata Ustaz Mizi.

Ustaz Mizi menambah bahawa cara pendekatan terhadap golongan LGBT juga perlu dibuat secara berhemah bagi mengelak salah faham antara satu sama lain.

"Isu-isu ini sangat rumit. Ada orang yang mungkin melihatnya sebagai satu dimensi sahaja, iaitu golongan ini seperti ini maka cara menanganinya seperti ini sahaja."

"Sebenarnya ada aspek-aspek lain, aspek sosial, psikologi, aspek nilai-nilai agama, banyak sangat. Jadi kita perlu berhemah dan berhati-hati supaya kita tidak silap dalam ingin membantu dan memastikan masyarakat ini terus kuat bersatu dan tidak berpecah-belah akibat isu-isu ini," ujar Ustaz Mizi.

Ustaz Mizi juga menyentuh tentang pendekatan beberapa program yang pernah dikendalikan para asatizah untuk mendampingi golongan LGBT.

"Institusi saya pernah mengendalikan beberapa bengkel membincangkan isu ini secara terbuka dan penerimaannya sangat baik. Perbincangan diadakan dengan cara penuh sivil dan kematangan. Itu sangat penting," ujar Ustaz Mizi.

"Apa yang kita bimbang mungkin setiap kali isu ini dibangkitkan dalam kelas-kelas tertentu, ia penuh emosi. Apabila kita melihatnya secara objektif dan bertujuan hanya untuk memperkukuhkan masyarakat kita," tambah beliau.

Ustaz Mizi merasakan bahawa dengan tujuan dan objektif yang betul, ia dapat memastikan bahawa masyarakat tidak akan mempunyai pandangan yang meminggirkan golongan LGBT.

HIKMAH DI SEBALIK PEMANSUHAN SEKSYEN 377A

Berkenaan Seksyen 377A yang pernah dicabar di mahkamah, Encik Marican berkata bahawa dari perspektif perundangan, ia "sudah tiba masanya" seksyen tersebut dimansuhkan, demi melindungi definisi 'keluarga'.

"Banyak cabaran telah berlaku di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang boleh merosakkan keluarga yang dinamakan lelaki dan perempuan. Jadi, masanya telah sampai, dan Mahkamah Tinggi pun sudah beritahu yang kalau mereka terus mencabar seksyen ini, kemungkinan mereka akan dibenarkan untuk tarik balik seksyen ini," kata Encik Marican.

"Bila ini berlaku, akan jadi susah pada semua kerana apa bermakna perkahwinan dalam keluarga? Lelaki dengan lelaki? Perempuan dengan perempuan? Jadi, kita harus tahu yang tak ada jalan keluar lagi. Perkara ini harus diselesaikan sekarang," tambah beliau.

Encik Marican malah menyokong tindakan memansuhkan seksyen 377A kerana merasakan bahawa ada hikmahnya di sebalik pemansuhan seksyen itu bagi masyarakat Melayu/Islam.

Ini kerana ia memberi jaminan definisi serta institusi keluarga bakal diperkukuh seperti termaktub dalam perlembagaan negara.

Encik Marican berkata: "Itu akan dicadangkan di parlimen. Jadi parlimen akan menjaga apa definisi keluarga. Kita tahu di dalam Islam, keluarga itu adalah lelaki dan perempuan, bukan sesama jenis."

"Kita harus berbangga bahawa perkara ini lebih kuat, lebih dijaga dengan sempurna, lebih-lebih lagi dalam perlembagaan Singapura. Jangan salah faham apabila kita menarik seksyen 377A, kita akan menjadi lebih susah, tidak," ujar beliau.

Lantaran itu, Encik Marican merasakan bahawa pemansuhan seksyen 377A tidak perlu dibahaskan lagi kerana kebaikan yang ia membawa terhadap pengukuhan keluarga.

"Kita sudah selamat. Perkara ini dimasukkan ke dalam parlimen dan perlembagaan. Apabila di dalam perlembagaan, tidak lagi boleh dicabar," kata Encik Marican.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata bahawa usaha pemerintah melakukan pengukuhan kepada institusi keluarga dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan