Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asatizah masjid, madrasah bakal dapat tangga gaji lebih tinggi

Golongan asatizah yang bekerja di institusi utama seperti masjid dan madrasah boleh menjangkakan tangga gaji yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Asatizah masjid, madrasah bakal dapat tangga gaji lebih tinggi

Gambar fail asatizah bersama pelajar madrasah.

SINGAPURA: Golongan asatizah yang bekerja di institusi utama seperti masjid dan madrasah boleh menjangkakan tangga gaji yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Ia antara perubahan yang bakal dilaksanakan selepas Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) membentangkan 10 saranan dalam laporan pertamanya semalam (24 Feb).

Laporan itu mengandungi strategi dan langkah bagi membangunkan para asatizah tempatan secara holistik.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan lagi kewibawaan dan kekaryawanan mereka untuk membantu masyarakat Singapura menghadapi cabaran kontemporari; dan agar mereka menjadi peran-peran contoh.

Mengenai tangga gaji para asatizah, laporan itu menyatakan satu garis panduan gaji akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Gambar fail para asatizah pada 2019. (Gambar: Mediacorp)

Menurut seorang anggota COFA, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar, langkah itu akan memastikan wujud penyelarasan berdasarkan kemahiran golongan asatizah dengan golongan karyawan di luar.

Selain tangga gaji, para asatizah juga boleh menjangkakan pakej faedah yang lebih baik.

“Saya rasa itu salah satu daripada saranan tiga teras yang diberikan dan
disarankan oleh COFA. Ini untuk meningkatkan sikap profesionalisme dalam kalangan asatizah. Jadi memang kita lihat bahawa asatizah masa kini mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk mengatasi masalah-masalah yang ada sekarang dalam masyarakat. Saranan-saranan ini adalah untuk memastikan bahawa gaya hidup asatizah juga diselaraskan dengan gaya hidup masyarakat masa ini.

“Jadi gaji para asatizah begitu juga dengan guru-guru agama, akan ditingkatkan mengikut tangga gaji yang berada di antara masyarakat-masyarakat lain, ataupun mengikut kepakaran masing-masing,” kongsinya bersama pihak kami.

PEJABAT PERHUBUNGAN

Saranan-saranan tersebut didedahkan sendiri oleh Pengerusi COFA, Dr Mohd Maliki Osman.

Beliau juga berkongsi bahawa asatizah tidak lama lagi boleh mendapatkan bantuan daripada Pejabat Perhubungan atau liason office yang akan ditubuhkan.

Pejabat tersebut akan bertindak sebagai platform dan tempat rujukan sekiranya mereka ingin meneroka peluang pekerjaan di dalam sektor agama mahupun sektor lain.

“Pejabat ini juga akan berfungsi sebagai pusat sumber bagi asatizah mendapatkan maklumat dan bahan rujukan dalam bidang-bidang baru dan ruang-ruang di mana para asatizah dapat menyumbang ke arah memenuhi keperluan masyarakat dan pembangunan negara. MUIS sedang mengkaji cara terbaik untuk menubuhkan pejabat ini,” kongsi Dr Maliki.

Menulis di Facebook, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pula berkata Pemerintah gembira menerima saranan-saranan COFA yang dibentangkan Dr Maliki dan dilakar setelah mendapat maklum balas daripada hampir 2,000 orang.

Asatizah sekarang dan masa depan kata Encik Masagos, bukan sahaja memberi nasihat tentang soal akidah dan muamalat.

Mereka juga kian menjadi sumber rujukan tentang soal-soal kewangan, hartanah, sains dan perubatan, serta dalam isu-isu keluarga.

Lantaran itulah Encik Masagos mengalukan-alukan saranan tersebut bukan sekadar meniktiberatkan kemahuan asatizah, malah keperluan asas mereka.

Bertunjangkan tiga teras utama iaitu Meningkatkan Taraf Profesionalisme Sektor Asatizah, Memperkasa Institusi-institusi, serta Memupuk Siswazah Agama Cemerlang, berikut adalah 10 saranan yang dibentangkan jawatankuasa COFA:

1. Membangunkan program-program pengurusan bakat yang berstruktur yang memberi tumpuan ke arah mempersiapkan asatizah masa depan untuk memenuhi pelbagai jawatan kepimpinan di dalam sektor keagamaan,

2. Membangunkan rangka kemahiran (yang merangkumi laluan kerjaya dan rangka kerja kecekapan) bagi asatizah masa depan yang berlandaskan peranan dalam sektor keagamaan, dan juga peluang untuk menceburi sektor-sektor lain,

3. Memperkenalkan garis panduan gaji serta peningkatan faedah bagi asatizah di dalam institusi-institusi utama termasuk madrasah dan masjid, sealiran dengan usaha peningkatan kemahiran,

4. Menyemak dan menggiatkan semula aset masyarakat (sebagai contoh MBMF bagi Pendidikan Agama dan Wakaf Ilmu) dan menggalakkan sumbangan kreatif masyarakat untuk menyokong terus usaha pembangunan asatizah dengan lebih baik,

5. Menubuhkan pejabat perhubungan (liasion office) bagi Asatizah Masa Depan untuk meneroka peluang laluan kerjaya dan pembangunan profesional, baik dalam sektor keagamaan mahupun yang lainnya,

6. Mempertingkatkan program pendidikan dan bimbingan kerjaya dan latihan amali bagi pelajar-pelajar madrasah sepenuh masa untuk menyokong pembangunan holistik para pelajar. Ini akan membolehkan mereka membuat pilihan yang baik dalam laluan pendidikan mereka,

7. Menyokong visi untuk menubuhkan institusi tempatan yang menawarkan program peringkat siswazah atau possiswazah dalam pengajian Islam (Kolej Islam Singapura), yang bertujuan menjadi institusi yang berwibawa dan bertaraf dunia,

8. Memperkukuhkan pembangunan kemahiran para asatizah melalui wadah Pendidikan Profesional Berterusan ARS, bagi menangani bidang sedia ada, dan juga yang baru,

9. Memperkasakan kemahiran para lulusan dalam menerapkan pengajian mengikut konteks sosial Singapura, memudahkan pembangunan kerjaya, dan menawarkan pengalaman kerja melalui initiative Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS),

10. Meningkatkan sokongan bagi golongan siswazah dan possiswazah dalam mempertingkatkan kemahiran semasa mereka berada di luar negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan