Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asatizah lulusan PCICS, bekerja di masjid dan madrasah terima gaji tambahan S$1,200 setahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Asatizah yang menamatkan Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan bekerja di masjid dan madrasah, kini mendapat pendapatan tambahan sebanyak S$1,200 setahun.

Ia diberi dalam bentuk pendapatan latihan tetap sebanyak S$100 dalam gaji bulanan mereka.

Demikian didedahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, semasa berucap di majlis tamat kursus dan menyampaikan sijil kepada 56 asatizah dari kumpulan pertama program tersebut pada Ahad (30 Jan).

valedictorian

Majlis itu turut dihadiri Presiden MUIS, Encik Mohd Saat Abdul Rahman, Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen Mohamed dan Mufti Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.

GAJI TAMBAHAN S$100 SEBULAN BAGI ASATIZAH LULUSAN PCICS

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), insentif S$100 sebulan itu akan diberikan kepada asatizah berkenaan sepanjang kerjaya mereka di masjid dan madrasah.

"Ini (insentif S$100) bertujuan mengiktiraf masa dan usaha yang diberikan para lulusan ini untuk meningkatkan kemahiran melalui program ini dan sebagai mengiktiraf nilai yang lulusan PCICS bawa kepada peranan mereka sebagai asatizah di masjid dan madrasah.

"Saya yakin para lulusan kami akan dapat terus menambah nilai program-program dan inisiatif-inisiatif dalam sektor ini menerusi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh," kata Encik Masagos.

Dalam pada itu, Encik Masagos juga menyuarakan penghargaannya terhadap sokongan masjid-masjid dan madrasah-madrasah dalam mengiktiraf usaha mempertingkatkan kemahiran para asatizah.

Ketika ditanya, pihak manakah yang membiayai tokokan pendapatan tambahan S$100 bagi setiap asatizah berkenaan, pihak MUIS menyatakan ia akan ditanggung oleh pihak masjid dan madrasah.

Bagaimanapun yang pasti, bukan semua asatizah lulusan PCICS menerima insentif tersebut kerana ia hanya diberi kepada asatizah yang bekerja di masjid dan madrasah. MUIS tidak mendedahkan pecahannya.

Asatizah lulusan PCICS

PARA LULUSAN BERJAYA DALAMI PEMAHAMAN MENGENAI KONTEKS S'PURA

Setelah melalui program setahun itu, para asatizah yang lulus PCICS diiktiraf sebagai asatizah Tahap 1 di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

PCICS, yang diperkenalkan pada 2020, bertujuan memperkukuh para graduan yang baru pulang dari universiti luar negara agar lebih progresif dan membimbing masyarakat menangani cabaran-cabaran moden dan kontemporari.

BACA: Pendaftaran PCICS dibuka, kohort pertama mula April 2020

Para asatizah baru itu turut didedahkan kepada ilmu sains kemasyarakatan, kemahiran kaunseling, kerja-kerja amal dan kemahiran kejuruan lain bagi mempersiapkan mereka untuk hari muka.

Satu teras penting kursus itu ialah mendidik para asatizah dengan kemahiran dan pengetahuan untuk menerapkan tradisi dan prinsip keagamaan mengikut konteks tempatan.

valedictorian

Dalam hal itu, Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, yang menyampaikan ucapannya pada sesi kedua majlis tamat kursus PCICS itu berkata: "Para graduan kini telah dapat mendalami pemahaman mereka mengenai konteks masyarakat Singapura bagi mengaplikasikan pengajaran dan nilai-nilai agama kepada konteks semasa.

"Pada masa yang sama, melalui program PCICS, mereka telah dapat menggilap lagi kemahiran-kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran digital, komunikasi dan pemikiran kritikal serta mengaplikasikannya dalam latihan amali di tempat kerja sama ada di sektor keagamaan mahupun di sektor-sektor lain."

Dr Maliki yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Hadapan (COFA) menambah para asatizah juga mempunyai kemahiran dan pengetahuan baru untuk ditawarkan selepas menamatkan kursus PCICS itu.

"Bidang-bidang seperti kerja sosial dan kaunseling, pendidikan awal kanak-kanak, perniagaan dan undang-undang serta penterjemahan profesional adalah beberapa sektor yang boleh diceburi dan ditambah nilai oleh asatizah kami," ujar Dr Maliki.

Menambah kepada kenyataan itu, Encik Masagos juga berkata: "Kepakaran dan peranan asatizah semakin diakui dan diperlukan dalam pelbagai sektor. Ilmu, kemahiran dan perspektif mereka semakin mendapat perhatian bukan sahaja dari majikan di sektor keagamaan, tetapi juga sektor-sektor lain seperti kaunselling, kerja-kerja kemasyarakatan dan bidang akademia."
Asatizah lulusan PCICS
KOHORT PERTAMA PCICS RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG

Menariknya golongan asatizah itu berjaya meraih keputusan baik meski menghadapi pelbagai cabaran di tengah-tengah pandemik COVID-19, dengan kohort pertama PCICS berjaya lulus dengan meraih markah purata 89% untuk semua modul.

Kursus itu dibangunkan dengan kerjasama Jawatankuasa Akademik Bersama PCICS (JPAC) yang terdiri dari Universiti Al-Azhar, Universiti Jordan, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

"Ketabahan yang anda tunjukkan sepanjang tahun adalah peringatan tentang keupayaan anda untuk mengatasi cabaran, menerima pengalaman baru serta semangat untuk meluaskan kemahiran anda," kata Encik Masagos.

"Bersedialah untuk merebut peluang untuk berkembang, sama ada melalui inisiatif Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) untuk asatizah ARS, latihan semasa kerja atau melalui perkhidmatan kepada masyarakat."

Menurut Dr maliki pula dengan selesainya pengajian asatizah dari kohort pertama dan kedua PCICS, Singapura melangkah setapak lagi ke arah merealisasikan visi bagi asatizah masa hadapan.

"Usaha untuk mengukuhkan keupayaan graduan PCICS tidak akan berhenti setakat ini," ujar Dr Maliki.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan