Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Asas gaji lebih tinggi pekerja tempatan di bawah peraturan pekerja asing baru

Gaji kelayakan yang menetapkan jumlah minimum perlu dibayar syarikat-syarikat kepada para pekerja tempatan setiap bulan jika mereka ingin menggajikan pekerja asing akan dinaikkan kepada S$1,300 pada Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Asas gaji lebih tinggi pekerja tempatan di bawah peraturan pekerja asing baru

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 Mar 2019 08:58PM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 10:00PM

SINGAPURA: Gaji kelayakan yang menetapkan jumlah minimum perlu dibayar syarikat-syarikat kepada para pekerja tempatan setiap bulan jika mereka ingin menggajikan pekerja asing akan dinaikkan kepada S$1,300 pada Julai.

Demikian diumumkan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan hari ini (5 Mac).

Pemerintah mengambil kira kenaikan gaji tenaga kerja tempatan apabila menyesuaikan asas gaji S$1,200 sekarang, kata Cik Teo.

Kesan terhadap kos syarikat dijangka kecil tambahnya, berdasarkan penyesuaian-penyesuaian yang dijalankan sebelum ini.

Semakan terakhir dilakukan pada 2017 apabila Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengumumkan kenaikan gaji kelayakan pekerja tempatan secara berperingkat - iaitu daripada S$1,000 kepada S$1,100 pada Julai 2017, dan kepada S$1,200 daripada Julai 2018.

Penyesuaian itu dibuat menyusuli pengumuman Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam pembentangan Belanjawan bulan lalu untuk mengurangkan Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) - yang menetapkan nisbah pekerja asing dalam sektor perkhidmatan dan jumlah pemegang Pas S dalam sektor perkhidmatan.

Cik Teo berkata bahawa keputusan bagi dasar perkerja asing yang lebih ketat dipertimbangkan dengan teliti untuk mengelakkan "perubahan mendadak".

"Pertama, penyusunan semula paling diperlukan dalam sektor perkhidmatan. Kedua, di samping langkah-langkah yang sudah dijalankan, kami tidak akan merubah kuota dalam sektor-sektor lain mahupun cukai pada tahun ini," tambah Cik Teo.

Dengan perubahan yang dijalankan pada dua tahap hingga 2021, syarikat-syarikat juga diberikan lebih banyak masa untuk membuat penyesuaian berbanding langkah-langkah ketat yang dilaksanakan sebelumnya.

Cik Teo akur keprihatinan yang ditimbulkan beberapa Anggota Parlimen tentang bagaimana sesetengah sektor kecil perkhidmatan mungkin menghadapi cabaran membuat penyesuaian kerana kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

"Tidak saya nafikan, kami akan terus memerlukan tenaga kerja asing dalam sektor perkhidmatan tetapi ada risiko jika kami terlalu bergantung kepada mereka dan ia tidak berdaya kekal," katanya.

"Sedang negara mereka membangun, adakah semua pekerja asing hari ini akan sentiasa bersedia untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan ini di Singapura? Lebih penting lagi, adakah kita sebagai satu masyarakat dapat menerima bahawa banyak pekerjaan dalam sektor Perkhidmatan tidak lagi menarik untuk rakyat tempatan?

"Bukankah kita sepatutnya melaburkan tenaga untuk menjadikan pekerjaan-pekerjaan ini lebih menarik untuk rakyat tempatan?"

Bantuan disediakan untuk firma-firma melalui perubahan tersebut, seperti Skim Pembangunan Perusahaan Cekap, serta lanjutan kepada Geran Pembangunan Perusahaan dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan, kata Cik Teo.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan