Skip to main content

Singapura

Asap putih dalam gerabak MRT di Raffles Place paksa penumpang dipindahkan

Alat pemampat hawa dingin yang bocor menyebabkan asap putih menyelubungi ruang dalam gerabak kereta api yang berhenti di stesen MRT Raffles Place pada tengah hari Jumaat (10 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Asap putih dalam gerabak MRT di Raffles Place paksa penumpang dipindahkan

Asap putih dalam gerabak MRT pada 10 Jan 2020. (Gambar: Pearlyn Hoon)

Diterbitkan : 10 Jan 2020 10:27PM Dikemas Kini : 10 Jan 2020 10:30PM

SINGAPURA: Alat pemampat hawa dingin yang bocor menyebabkan asap putih menyelubungi ruang dalam gerabak kereta api yang berhenti di stesen MRT Raffles Place pada tengah hari Jumaat (10 Jan).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SMRT menyatakan insiden tersebut berlaku pada sekitar 12.45 tengah hari di platform stesen yang menghala ke timur.

"Kami mengesahkan pengeluaran asap itu disebabkan alat pemampat hawa dingin yang bocor, yang mengeluarkan gas Freon," menurut ketua pegawai perhubungan SMRT Margaret Teo.

Cik Teo juga menambah, sebagai langkah berjaga-jaga, semua penumpang kereta api yang terjejas itu diminta turun dan menaiki kereta api seterusnya.

"Kereta api terjejas itu ditarik balik daripada perkhidmatan bagi pemeriksaan lanjut," katanya. "Kami meminta maaf kerana menjejas perjalanan anda."

Sekeping gambar di media sosial menunjukkan para penumpang menutup mulut dan hidung mereka di tengah-tengah kabus putih itu.

Pengurus kreatif kanan Pearlyn Hoon, yang menaiki kereta api itu dari stesen Outram Park, berkata gerabak itu mula diselubungi asap antara stesen Tanjong Pagar dengan Raffles Place.

Asap itu mempunyai bau tidak enak yang "agak kuat", serupa dengan penyemburan asap dan menyebabkan "sedikit kekecohan", kata wanita berusia 31 tahun itu.

"Seorang wanita sebelah saya mengeluarkan pelitupnya dan memakainya, beberapa orang lain dalam gerabak itu mula membongkok, kebanyakan daripada mereka menutup hidung dan mulut mereka dan mula batuk-batuk," tambahnya.

Para penumpang turun di stesen Raffles Place dan asap bertiup keluar daripada gerabak kereta api itu ke platform kereta api.

Pada Jun 2018, kebocoran gas freon pada kereta api yang menghala ke timur memaksa para penumpang turun di stesen MRT Tanjong Pagar.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita