Arus sukar diramal, perairan padat semakin bahayakan infrastruktur pantai SG
Sebuah bot feri di selat Singapura pada 15 Okt 2023. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Kapten itu tidak lama kemudian menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan kedudukan kapalnya berbanding pelampung navigasi tetap, satu petanda bahawa ia berada di bahagian berbahaya kawasan tersebut.
Kapal sepanjang 35m itu sebenarnya telah ditolak oleh angin kuat ke beting tersembunyi di Lazarus, destinasi popular dalam kalangan pencinta alam dan pengunjung pantai.
Tindakan pantas kapten tersebut untuk melencongkan kapalnya secara mendadak ke kanan membantu mengelakkan insiden yang tidak diingini.
"Ia begitu hampir merempuh beting yang tidak dapat dilihat kerana air pasang," kata kapten yang kini sudah bersara, Iskandar Ismail kepada Mediacorp.
Beliau menambah bahawa penggera kapalnya dibunyikan beberapa meter dari perairan cetek, dan jika kapalnya merempuh beting berkenaan, ia boleh mencetuskan risiko terhadap alam sekitar di kawasan tersebut.
Insiden itu menjadi peringatan kepada Encik Iskandar, yang selama lima tahun belayar dengan kapal tangki bunker dan kapal-kapal lain, tentang cabaran mengemudi di perairan Singapura.
Pada Jun lalu, sebuah kapal kontena terkandas di Pantai Tanjong di Sentosa. Tiada kerosakan, kecederaan atau pencemaran alam sekitar dilaporkan, dan kapal itu kemudian ditunda untuk menjalani pemeriksaan dan siasatan.
Dua tahun lalu, sebuah kapal layar juga terkandas berhampiran Selat Buran berhampiran Sentosa.
"Kapal kehilangan kawalan bukanlah satu fenomena baharu, tetapi mujur ia jarang berlaku," kata Encik Toby Stephens, ketua perkapalan di Asia untuk firma guaman maritim global HFW.
Ia bagaimanapun menjadi kebimbangan di pelabuhan yang sibuk seperti Singapura, terutamanya di kawasan sekitar seperti Pulau Jurong dan terminal gas asli cecair (LNG), tambahnya.
Encik Stephens memetik contoh insiden Vox Maxima pada 2024 - tumpahan minyak terburuk di Singapura dalam 10 tahun.
Kapal berdaftar Belanda itu hilang kawalan stereng sebelum bertembung dengan kapal Marine Honor berdaftar Singapura di Terminal Pasir Panjang pada Jun tahun lalu, menyebabkan kira-kira 400 tan minyak tumpah ke laut.
Tumpahan minyak itu menjejas teruk pantai-pantai di selatan Singapura, termasuk pantai di Sentosa, Taman East Coast dan Kawasan Alam Semula Jadi Hutan Simpanan Labrador. Operasi pembersihan mengambil masa selama lebih dua bulan.
Di luar negara, terdapat juga kes-kes berkala di mana kapal besar berlanggar dengan infrastruktur pantai apabila melalui laluan padat.
Kapal kontena berdaftar Singapura, Dali merempuh jambatan Baltimore pada Mac tahun lalu, selepas kehilangan kuasa dan walaupun terdapat percubaan untuk berhenti tepat pada masanya dengan menjatuhkan sauh.
Pada bulan Mei lalu, sebuah kapal Tentera Laut Mexico, Cuauhtemoc juga hilang kuasa dan merempuh Jambatan Brooklyn di New York.
APA YANG SEDANG DILAKUKAN?
Seorang kapten kapal yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata dia mengambil langkah keselamatan tambahan apabila kapalnya menghampiri pantai dan pelabuhan Singapura.
Ini termasuk mengerahkan anak kapal untuk memantau persekitaran secara visual, selain menggunakan radar dan carta elektronik.
Encik Stephens menyatakan bahawa bagi Singapura, terdapat "zon pengecualian di sekitar semua pangkalan tentera laut dan infrastruktur kritikal yang meminimumkan lalu lintas dan juga risiko berlaku kerosakan".
"Pantai di kawasan timur Singapura, khususnya, sesak dan padat dengan kapal-kapal berlabuh, yang menyediakan sempadan bagi mana-mana kapal yang hilang kawalan, bermakna ia mungkin akan melanggar kapal lain sebelum sampai ke pantai," katanya.
Encik Stephens juga merujuk kepada Sistem Maklumat Trafik Kapal Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), yang sentiasa menjejaki dan memantau masalah baharu yang berkembang di perairan dan boleh mengerahkan bot tunda untuk membantu apabila diperlukan.
Sebagai sebuah hab maritim, terdapat banyak kapal tunda komersial di Singapura, katanya.
Singapura juga mempunyai sistem keselamatan berbilang lapisan - termasuk elemen seperti tentera laut, polis dan perisikan - untuk melindungi infrastruktur pantai dan akses maritimnya, kata Prof Rohan Gunaratna dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), sambil menyatakan bahawa kapal-kapal telah diprofilkan terlebih dahulu sebelum ia sampai ke Singapura.
MPA memberitahu Mediacorp bahawa kapal yang melakukan persinggahan di sini dikehendaki melaporkan pergerakannya kepada Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan.
Terdapat dua pusat kawalan sedemikian, dilengkapi untuk memantau dan menyelaras lalu lintas kapal sepanjang masa, menurut MPA.
Ia juga sedang membangunkan Sistem Pengurusan Trafik Kapal Generasi Seterusnya yang akan menggunakan analisis data dan pembelajaran mesin untuk mengendalikan trafik kapal yang lebih berat dan kompleks dengan selamat.
MPA juga menekankan peranan utama yang dimainkan oleh para pengemudi pelabuhan dalam membantu kapal mengemudi perairan dan pelabuhan Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.