Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Artis rap Subhas Nair didakwa cuba hasut kebencian antara agama, kaum berbeza

Penyanyi rap tempatan Subhas Nair didakwa di mahkamah pada Isnin (1 Nov) dengan empat tuduhan cuba menghasut kebencian dalam kalangan kumpulan kaum dan agama yang berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:
Artis rap Subhas Nair didakwa cuba hasut kebencian antara agama, kaum berbeza

Subhas Nair di luar bangunan Mahkamah Negara pada 1 Nov 2021 (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 01 Nov 2021 11:20AM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 11:26AM

SINGAPURA: Penyanyi rap tempatan Subhas Nair didakwa di mahkamah pada Isnin (1 Nov) dengan empat tuduhan cuba menghasut kebencian dalam kalangan kumpulan kaum dan agama yang berbeza.

Lelaki berusia 28 tahun itu, yang nama penuhnya tertera dalam kertas pertuduhan sebagai Subhas Govin Prabhakar Nair, dituduh melakukan kesalahan itu sebanyak empat kali antara Julai 2019 dengan Mac 2021.

Insiden pertama dipercayai dilakukan pada 29 Jul 2019 apabila Nair menerbitkan video rap online. Menurut kertas pertuduhan, Nair melalui video tersebut cuba mewujudkan permusuhan antara kaum Cina dengan kaum-kaum lain.

Nair dikenakan amaran bersyarat selama dua tahun oleh pihak polis pada 14 Ogos 2019 berhubung kejadian tersebut. Amaran itu menetapkan bahawa jika dia melakukan kesalahan yang sama, dia boleh didakwa atas kejadian tersebut selain sebarang kesalahan baru.

Insiden kedua dipercayai berlaku pada 25 Jul 2020, apabila Nair memuat naik komen ke akaun media sosialnya sebagai respons terhadap video orang Cina beragama Kristian yang membuat komen berbaur kebencian terhadap masyarakat lain.

Nair juga dipercayai mengeluarkan komen yang mendakwa seolah-olah orang Melayu beragama Islam yang membuat komen serupa akan diberikan layanan yang berbeza oleh pihak berkuasa, berbanding dengan orang Cina yang beragama Kristian.

Insiden ketiga pula berhubung pergaduhan yang tercetus di Orchard Towers pada Julai 2019. Nair dituduh cuba menghasut permusuhan antara kaum Cina dan India dengan mendakwa pada 15 Okt 2020 bahawa salah seorang tertuduh - seorang lelaki Cina - terlibat dalam kematian seorang lelaki India menerima hukuman lebih ringan oleh pihak berkuasa disebabkan oleh bangsanya.

Pada 11 Mac 2021, ketika Nair sedang disiasat oleh polis mengenai komen berhubung Orchard Towers, Nair dipercayai cuba menghasut kebencian antara orang Cina dengan India sekali lagi. Ini dipercayai dilakukan dengan sengaja memaparkan lukisan kartun pada akaun media sosialnya pada 15 Okt 2020 semasa satu persembahan tertutup.

Nair didakwa atas kesalahan pada Julai 2019, iaitu berhubung video rapnya, kerana melanggar syarat amarannya dengan melakukan kesalahan baru.

Jika didapati bersalah kerana cuba menghasut kebencian antara kumpulan kaum dan agama yang berbeza, Nair boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan didenda bagi setiap kesalahan.

Dalam kenyataannya, polis menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang membuat "dakwaan tidak berasas" seolah-olah undang-undang, atau agensi-agensi penguatkuasanya, memberikan layanan berbeza berdasarkan agama atau kaum.

Dakwaan sedemikian "berpotensi menggugat keharmonian kaum dan agama di Singapura dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap agensi penguat kuasa undang-undang kita", menurut polis.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan