Skip to main content

Singapura

Artis Rap Subhas Nair didakwa atas komen berbaur perkauman & hina agama; langgar syarat amaran

Artis muzik rap tempatan Subhas Nair akan didakwa pada Isnin depan (1 Nov) atas empat tuduhan cuba menghasut kebencian antara kumpulan berlainan agama dan kaum.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Artis muzik rap tempatan Subhas Nair akan didakwa pada Isnin depan (1 Nov) atas empat tuduhan cuba menghasut kebencian antara kumpulan berlainan agama dan kaum.

Dalam kenyataan medianya, Pasukan Polis Singapura (SPF) memberikan perincian empat kejadian membabitkan lelaki berusia 29 tahun itu.

Pada 25 Julai 2020, Encik Nair menulis komen di akaun media sosialnya sebagai respons terhadap satu video memaparkan individu kaum Cina beragama Kristian yang mengeluarkan komen bersifat kebencian terhadap sebuah lagi masyarakat.

Dia dipercayai berkata bahawa seseorang individu Melayu/Islam yang membuat komen berunsur kebencian sedemikian akan diberi layanan berbeza daripada pihak berkuasa berbanding dengan individu Cina beragama Kristian, menurut pihak berkuasa.

Dalam satu lagi kejadian pada 15 Oktober 2020, Encik Nair didakwa cuba menyemai kebencian antara kaum Cina dan India dengan mendakwa bahawa seorang suspek Cina yang terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki India di Orchard Towers pada 2 Julai 2019 diberi hukuman ringan oleh pihak berkuasa disebabkan oleh kaumnya.

Pada 11 Mac lalu, ketika disiasat polis berkaitan catatan pada 15 Oktober 2020, Encik Nair menunjukkan lukisan kartun tentang catatan sedemikian semasa membuat persembahan di atas pentas "untuk menghasut perasaan benci antara kaum Cina dan India", menurut polis.

Sebelum ini, Encik Nair diberikan amaran bersyarat selama 24 bulan pada 14 Ogos 2019 di bawah sebuah seksyen Kanun Jenayah yang memelihara keharmonian sosial, atas perbuatannya memuat naik sebuah video rap "berbaur perkauman" yang cuba membangkitkan kebencian antara kaum Cina dan kaum-kaum lain, menurut SPF.

"Salah satu daripada syarat amaran itu menyatakan bahawa jika melakukan kesalahan sekali lagi, dia boleh didakwa atas kesalahan yang dia diberi amaran, selain didakwa atas kesalahan baru," menurut polis.

Setelah melanggar syarat-syarat amaran dengan melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut menyusuli amaran bersyarat yang dikeluarkan terhadapnya, dia akan didakwa atas kejadian yang berlaku pada 29 Julai 2019.

Video 'rap' itu, yang menampilkan Subhas, adalah responsnya terhadap iklan kontroversil oleh NETS bagi menggalak E-Pay.

Jika sabit kesalahan cuba membangkitkan kebencian antara kumpulan berlainan agama atau kaum, Encik Nair boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

"Dakwaan bahawa undang-undang atau agensi penguatkuasaan undang-undang memberi layanan berbeza berdasarkan kaum atau agama adalah tidak berasas dan berpotensi menjejas keharmonian kaum dan agama di Singapura dan menghakis kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang," menurut polis, sambil menambah bahawa tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang membuat dakwaan sedemikian yang tidak berasas.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita