Skip to main content

Singapura

Artis boleh suarakan keprihatinan kemanusiaan, tetapi jangan jejas ketenteraman awam: Tan Kiat How

Para artis boleh menyuarakan keprihatinan kemanusiaan mengenai konflik antarabangsa, tetapi tindakan sedemikian tidak seharusnya menjejas ketenteraman awam, keselamatan atau kestabilan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Artis boleh suarakan keprihatinan kemanusiaan, tetapi jangan jejas ketenteraman awam: Tan Kiat How

Robert Del Naja dan Grant Marshall daripada kumpulan Massive Attack mengibarkan bendera Palestin di atas pentas pada akhir persembahan mereka di Singapura pada 29 Julai 2026. (Gambar: Simran Panaech menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 02:45PM
  • Tan Kiat How menjelaskan di Parlimen bahawa artis boleh menyuarakan keprihatinan kemanusiaan, tetapi tidak boleh menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan di Singapura.
  • IMDA menilai niat dan kesan persembahan artis, serta memastikan kandungan mematuhi kod klasifikasi hiburan seni yang menjaga keharmonian kaum dan agama.
  • Contoh tindakan tegas termasuk larangan masuk semula terhadap kumpulan Massive Attack selepas insiden mengibarkan bendera Palestin semasa konsert pada Julai lalu.
  • Kandungan mengenai isu sosial dibenarkan jika sesuai, dengan pelesenan bertujuan melindungi golongan muda dan membolehkan masyarakat membuat pilihan, namun batasan tetap dikenakan demi keselamatan dan ketenteraman.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Para artis boleh menyuarakan keprihatinan kemanusiaan mengenai konflik antarabangsa, tetapi tindakan sedemikian tidak seharusnya menjejas ketenteraman awam, keselamatan atau kestabilan di Singapura.

Menteri Negara Kanan Pembangunan Digital dan Penerangan Tan Kiat How berkata Singapura tidak seharusnya digunakan oleh warga asing sebagai wadah untuk memperjuangkan agenda politik, termasuk yang berkaitan dengan konflik atau isu politik di luar negara.

Beliau menambah bahawa artis, sama ada warga Singapura atau asing, dijangka mematuhi undang-undang Singapura serta syarat lesen hiburan seni apabila membuat persembahan di sini.

Encik Tan berkata demikian di Parlimen pada Khamis (10 Sep) sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast Hazlina Abdul Halim mengenai bagaimana pihak berkuasa membezakan antara advokasi politik yang dilarang dengan luahan keprihatinan kemanusiaan.

Cik Hazlina turut bertanya bagaimana niat seseorang artis dan konteks sesuatu luahan diambil kira, serta sama ada syarat pelesenan akan disemak bagi mengecualikan luahan sokongan secara aman terhadap usaha kemanusiaan.

NIAT, KESAN PERSEMBAHAN DIAMBIL KIRA

Menurut Encik Tan, selain niat seseorang artis, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) turut mempertimbangkan kemungkinan kesan sesuatu persembahan apabila menilai sama ada ia memenuhi syarat pelesenan.

Di bawah Kod Klasifikasi Hiburan Seni IMDA, kandungan tidak seharusnya menjejas ketenteraman awam, keselamatan negara atau kestabilan.

Kod itu, yang menetapkan rangka kerja bagi menilai dan mengklasifikasikan hiburan seni secara langsung atau di tempat awam, turut menetapkan bahawa kandungan perlu peka terhadap keprihatinan kumpulan kaum atau agama yang berbeza serta jangkaan masyarakat dalam menjaga keharmonian kaum dan agama.

Pada Julai lalu, para anggota kumpulan muzik Britain Massive Attack diberi amaran keras dan dilarang memasuki semula Singapura selepas mengibarkan bendera Palestin semasa konsert, dengan seorang anggotanya melaungkan "Free Palestine".

KANDUNGAN MENGENAI ISU SOSIAL TIDAK DILARANG

Menjawab pertanyaan Cik Hazlina mengenai contoh persembahan berkaitan isu sosial yang dibenarkan, Encik Tan merujuk kepada acara 'To The Unforgotten' pada Mei lalu.

Acara yang menampilkan lagu, puisi dan karya seni berbilang media mengenai ketegangan antara Israel dengan Gaza itu diklasifikasikan sebagai R18.

Beliau turut memberikan contoh pementasan 6 Microlectures on Genocides, yang juga diklasifikasikan sebagai R18 dan menampilkan karya-karya pendek mengenai tema pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta konflik semasa.

Satu lagi contoh ialah persembahan komedi Namaste pada 2024, yang diklasifikasikan sebagai Advisory 16 dan mengandungi segmen mengenai ketegangan antara Israel dengan Gaza.

Encik Tan menegaskan bahawa kandungan mengenai sesuatu isu atau perjuangan itu sendiri tidak dilarang.

Menurutnya, rangka kerja pelesenan bertujuan melindungi golongan muda daripada kandungan yang tidak sesuai, di samping membolehkan orang ramai membuat keputusan mengenai kandungan yang mahu mereka tonton.

Namun, batasan tetap diperlukan terhadap kandungan yang mungkin mencetuskan gangguan ketenteraman awam atau menimbulkan pertimbangan berkaitan keselamatan negara.

Encik Tan berkata setiap penilaian sangat bergantung pada konteks dan menggalakkan pemohon Lesen Hiburan Seni supaya berhubung dengan IMDA lebih awal bagi mendapatkan penjelasan dan panduan mengenai kandungan yang boleh diluluskan atau yang mungkin menimbulkan keprihatinan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita