Skip to main content

Singapura

Ariel Heriyanto bangkit daripada kekecewaan untuk jadi antara Pelajar Terbaik PSLE Sekolah Rendah Kranji

Pengalaman menantikan keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sudah semestinya sesuatu perkara yang mendebarkan bukan saja buat murid itu sendiri tetapi juga ibu bapa serta guru sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Nov 2019 07:16PM Dikemas Kini : 22 Nov 2019 12:27AM

BERITAmediacorp: Pengalaman menantikan keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sudah semestinya sesuatu perkara yang mendebarkan bukan saja buat murid itu sendiri tetapi juga ibu bapa serta guru sekolah.

Namun, bayangkan jika anda perlu melalui pengalaman sebegitu bukan sekali tetapi dua kali?

Itulah yang dilalui seorang murid Sekolah Rendah Kranji, Ariel Heriyanto Salim, yang menduduki PSLE keduanya tahun ini.

"Kalau saya yang dahulu, saya sedikit malas dan tidak hadir ke sekolah. Saya akan ponteng berada di rumah dan bermain permainan elektronik dan sebagainya," kata Ariel.

PERUBAHAN KETARA SELEPAS KEMATIAN AYAH

Ariel, 13 tahun, berkongsi bahawa selepas kematian bapanya akibat serangan jantung pada tahun 2017, dia hilang motivasi untuk belajar. Perkara itu juga menjejas tingkah lakunya di sekolah dan rumah.

Ariel tidak hadir ke sekolah meskipun dipujuk ibu serta guru-guru di sekolah.

Pihak sekolah juga turut membuat kunjungan ke rumahnya untuk membantu Ariel kembali bersemangat untuk ke sekolah.

Ibu Ariel semakin menjadi bimbang selepas melihat anak sulungnya itu mula melakukan "perkara-perkara aneh".

"Kadang-kadang dia akan mula mengambil benda-benda tajam seperti gunting atau pisau dan menikam bantalnya. Ada pula dia keluar bersama rakannya dan mereka akan melakukan perkara seperti mencuri basikal dan sebagainya," kongsi ibunya.

Disebabkan itu, pada awal tahun ini Ariel dimasukkan ke Boys Town iaitu persatuan khidmat sosial yang menempatkan belia berisiko.

PERUBAHAN TERUS DILIHAT SELEPAS SESUAIKAN DIRI DI BOYS TOWN

Perubahan pada diri Ariel mula dilihat sejurus memasuki Boys Town. Dia menjadi lebih aktif dan yakin diri setelah menyertai program-program di pusat berkenaan.

Ariel juga menunjukkan nilai-nilai murni seperti sikap penyayang dan prihatin terhadap para penghuni yang lain.

Baru-baru ini, Ariel diiktiraf dengan Anugerah Penghuni Penyayang.

"Bagi Ariel, ia benar-benar mengenai daya bingkas dirinya serta pembangunan dirinya sendiri kerana saya rasa kebanyakannya adalah usaha dia sendiri untuk menyesuaikan kepada struktur yang diberikan dalam tempoh enam bulan ini.

"Jika tidak atas sikap ketekunan dan keazamannya sendiri untuk merubah diri, dia tidak akan berjaya sebegini," kata Pekerja Kes Boys Town Cik Luanne Tan.

Sikapnya atas pembelajaran juga berubah. Dengan bimbingan serta sokongan ibu dan guru-guru di sekolah, Ariel mula belajar dengan tekun.

Hasilnya, Ariel meraih tiga gred satu bagi subjek asas bahasa Melayu, Matematik serta Sains dan gred dua bagi subjek asas bahasa Inggeris dalam PSLE kali ini.

Bukan itu saja, Ariel juga dinobatkan sebagai salah seorang Pelajar Terbaik Aliran Asas sekolahnya.

"Saya sedar yang pendidikan itu penting untuk masa depan saya dan saya ingin menjadi contoh kepada orang lain supaya mereka boleh mengatasi masalah mereka," ujar Ariel.

Ketua Peringkat Sekolah Rendah Kranji Cik Nur Fazalina Husin berkata: "Kisah Ariel ini saya harap dapat dijadikan teladan bagi ramai terutamanya bagi pelajar-pelajar yang rasanya sudah putus asa ataupun tidak mendapat sokongan yang sepatutnya daripada pihak-pihak tertentu. Kalau mereka terus berusaha dengan daya bingkas yang perlu ada dalam setiap pelajar, mereka akan terus berjaya."

Ariel berazam untuk terus belajar dan mencapai impiannya menceburi bidang teknologi atau kejuruteraan pada masa depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita