Arena baharu 'antara terbaik di dunia' akan dibina di Kallang bagi gantikan Stadium Tertutup SG
SINGAPURA: Singapura merancang untuk membina sebuah arena baharu bagi menggantikan Stadium Tertutup Singapura yang telah dibuka hampir 35 tahun lalu.
Bakal ditempatkan bersebelahan dengan Stadium Tertutup, lokasi yang belum dinamakan itu akan menjadi "antara yang terbaik dalam kelasnya di seluruh dunia", menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pada Khamis (7 Mac) semasa membentangkan pelan perbelanjaan kementeriannya bagi tahun ini.
Konsert dan acara sukan biasanya memerlukan lebih banyak tenaga daripada yang boleh ditangani oleh infrastruktur Stadium Tertutup, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) semasa taklimat media minggu lalu.
Wang, masa dan sumber perlu dibelanjakan untuk menambah bekalan tenaga tambahan atau sokongan elektrik.
Sementara itu, negara-negara di rantau ini telah membina atau sedang membina arena tertutup yang boleh menganjurkan acara yang lebih canggih atau mempunyai masa pengubahsuaian yang lebih pantas. Mereka juga menawarkan saranan nilai yang lebih besar kepada penonton, seperti suite hospitaliti yang lebih pelbagai.
“Dengan persaingan yang semakin sengit, adalah penting untuk Singapura mempunyai kemudahan bertaraf dunia untuk terus menarik acara-acara gah dan menyokong kegunaan masyarakat,” menurut kementerian itu.
Singapura sudah "mengkaji dengan teliti beberapa arena terbaik di dunia, untuk belajar daripadanya", kata Encik Tong di Parlimen.
Arena tertutup baharu itu akan menyokong visi Singapura untuk kawasan di sekitar Kallang Alive untuk menganjurkan acara-acara bertaraf dunia dan berfungsi sebagai tempat latihan bagi para atlit negara juga.
Rancangan masih di peringkat awal dan Stadium Tertutup Singapura akan terus beroperasi buat masa ini.
MCCY sedang mempertimbangkan penggunaan masa hadapan untuk Stadium Tertutup, yang dibuka secara rasmi pada hari terakhir tahun 1989.
"MENINJAU-NINJAU' ACARA UTAMA
MCCY juga mengumumkan bahawa S$165 juta akan diperuntukkan selama empat tahun untuk Dana Acara Sukan Utama bagi menarik lebih banyak acara sukan bertaraf dunia ke Singapura.
MCCY turut menarik perhatian bahawa beberapa acara sedemikian diadakan sepanjang tahun lalu termasuk Minggu E-Sukan Olimpik, World Table Tennis Singapore Smash dan HSBC Singapore Rugby Sevens.
Apabila lebih ramai rakyat Singapura dapat menikmati aksi sukan besar seperti itu, ada yang mungkin mendapat inspirasi untuk mengambil bahagian, menurut MCCY.
Para atlit Team Singapore juga berpeluang untuk bersaing dengan atlit terbaik dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.