Skip to main content

Singapura

Archifest 2023: 'Dulang-Dulang' serlahkan sikap kemasyarakatan orang Melayu

Adat makan berdulang orang Melayu ditampilkan sebagai salah satu daya tarikan acara Archifest tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Adat makan berdulang orang Melayu ditampilkan sebagai salah satu daya tarikan acara Archifest tahun ini.

Seni pemasangan atau 'installation' yang dinamakan 'Dulang-Dulang' gabungan kreatif Syafiq Jubri dan Syazwan Hanif meraikan budaya makan serta sikap kemasyarakatan di Singapura.

"Kami menggunakan dulang-dulang sebagai pencetus idea kerana dalam pandangan kami, dulang ini dapat menyatukan kumpulan masyarakat dan juga menggalakkan sikap kebersamaan," kata Syafiq, 34 tahun, seorang arkitek.

(Gambar: Archifest 2023)

Berkongsi kepada BERITA Mediacorp, Syafiq berkata beliau juga terdorong dengan pengalamannya sendiri apabila kembali ke Singapura selepas menamatkan pengajian dan dan bekerja di London selama lebih 10 tahun.

"Semasa COVID-19 sewaktu orang ramai tidak dapat makan atau menjamu selera di dalam restoran, kami lihat sesetengah orang yang menggunakan kawasan kami iaitu tempat letak kereta Aliwal sebagai ruang sementara untuk berkumpul. Pada waktu malam, mereka membawa kerusi meja untuk berkumpul dan untuk makan bersama-sama.

"Kami rasa kagum menyaksikan sesuatu seperti itu - melihat masyarakat dapat menyesuaikan diri dalam masa yang begitu mencabar semasa COVID-19. Ini juga melambangkan sesuatu yang positif kerana ia menunjukkan bahawa budaya makan kami di Singapura begitu kuat dan kaya," tambah Syafiq yang kali terakhir terlibat dalam Archifest pada 2006.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pemasangan tersebut yang terletak di ruang letak bas di kawasan Aliwal Street mengambil sekitar empat bulan untuk dihasilkan.

Setiap ciri-ciri dulang keluli tahan karat atau 'stainless steel' itu juga mempunyai makna yang tersirat.

"Kami mereka pemasangan ini dengan menghasilkan dulang-dulang dalam pelbagai bentuk dan juga ukurannya, juga dalam ketinggiannya. Ada yang bertindih dan ada yang bersilang agar dapat memenuhi citarasa dan kepelbagaian warga masyarakat kita," kata Syazwan, 30 tahun, seorang Pengurus Projek di sebuah syarikat persekitaran terbina.

Selain menggalak ruang berkumpul, kedua-dua anak muda ini mahu menggunakan kesempatan itu untuk memperkenalkan masakan budaya Melayu yang kaya.

"Dalam seni pemasangan ini kami juga ada memuatkan tumbuh-tumbuhan dan daun herba yang lazim digunakan dalam masakan Melayu dan juga masakan etnik yang lain. Sebagai contoh herba seperti daun selasih, daun kesum, daun kunyit, daun limau purut, serai, pandan, serai, pokok pisang dan juga pokok belimbing," tambah Syazwan yang pertama kali terlibat dalam acara Archifest.

Menurut penganjur, pemasangan tersebut akan terus dikekalkan di kawasan tersebut untuk sekitar tujuh bulan,meskipun Archifest sudah berakhir.

Syafiq dan Syazwan berharap para pengunjung dapat menikmati pengalaman yang lebih mengasyikkan dan mendekatkan mereka kepada warisan dan budaya kulinari Singapura yang kaya.

"Setiap dulang melambangkan masyarakat yang pelbagai di Kampong Gelam. Dan kami berharap agar pemasangan dulang-dulang ini dapat menjadi suatu ruang yang membolehkan masyarakat berkumpul, berkomunikasi dan bergaul antara satu sama lain," tambah Syazwan.

LEBIH 80 ACARA TERSEDIA, SASARAN LEBIH 10,000 PENGUNJUNG

Karya Syazwan dan Syafiq itu adalah salah satu daripada enam pemasangan yang dipasang di sekitar kawasan Kampong Gelam untuk edisi ke-17 acara tahunan itu.

Kawasan itu juga dipilih oleh kerana sejarahnya yang lama serta warisan budaya yang amat kuat.

Ini juga kali pertama Archifest diadakan di sebuah daerah kebudayaan seperti Kampong Gelam.

Sebelum ini, ia diadakan di Pusat URA atau di Marina Bay Sands.

"Kami melihat Archifest sebagai satu makmal, platform untuk mencuba idea-idea baharu untuk ruang-ruang awam dan konsep atau idea baharu ke arah bagaimana aspek ruang dibina dibentuk," kata Pengarah Festival, Encik Calvin Chua.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Acara tahun ini yang bermula hari ini (29 Sep) sehingga 28 Oktober menampilkan lebih 80 acara termasuk pameran, program-program inkubator, bengkel dan ceramah.

Arkitek-arkitek dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun turut diundang untuk berkongsi idea.

Acara anjuran Institut Arkitek Singapura (SIA) itu juga mahu menggalak orang ramai untuk lebih memahami bidang reka bina dan memikirkan bidang tersebut sebagai salah satu disiplin untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi ruang terbina.

"Kami mahu orang ramai memikir semula bandar bukan sebagai objek statik tetapi sebagai sebuah bandar yang sentiasa dalam peralihan. Bagaimana kita dapat membina masa hadapan yang berdaya tahan dan mampan dengan memikirkan semula ruang-ruang bandar, bagaimana untuk membawa orang ramai bersama untuk memikirkan semula masa hadapan berkemungkinan," tambah Encik Chua.

Lebih 10,000 orang dijangka menghadiri Archifest tahun ini.

Orang ramai boleh layari lelaman berikut untuk maklumat lanjut: www.archifest.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita