Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Arahan POFMA dikenakan kepada kumpulan antihukuman mati atas dakwaan palsu tentang layanan terhadap aktivis

Anggaran Waktu Membaca:
Arahan POFMA dikenakan kepada kumpulan antihukuman mati atas dakwaan palsu tentang layanan terhadap aktivis

(Gambar fail: Perkhidmatan Penjara Singapura)

SINGAPURA: Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) dikenakan arahan pembetulan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Rabu (9 Okt).

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan ADPAN membuat kenyataan palsu dengan mendakwa pemerintah menjalankan hukuman mati tanpa mengambil kira proses undang-undang.

Ia juga membuat dakwaan palsu yang menyatakan pemerintah menyasar, mendiamkan dan mengganggu The Transformative Justice Collective (TJC) serta individu lain yang bersuara menentang hukuman mati.

Dakwaan palsu itu dimuat naik di akaun Facebook, Instagram dan LinkedIn ADPAN pada 3 Oktober.

MHA menyatakan pemerintah mengambil "pandangan serius mengenai kenyataan palsu yang disengajakan".

Ia menambah bahawa pemerintah "tidak menyasar, mendiamkan dan mengganggu pertubuhan dan individu kerana bersuara menentang hukuman mati".
MENJALANI PROSES YANG DITETAPKAN

MHA menyatakan hukuman mati hanya akan ditetapkan apabila banduan kehabisan semua hak rayuan dan proses pengampunan berhubung sabitan dan hukumannya.

Begitu juga dalam kes Mohammad Azwan Bohari, yang disebut ADPAN dalam catatan media sosialnya.

Pada 2009, Azwan sabit kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan rotan kerana mengedar methamphetamine dan diamorphine.

Dia juga sabit kesalahan kerana mengambil methamphetamine dan morfin, dan memiliki ganja, derivatif cannabinol dan diamorphine, pada waktu yang sama, tambah MHA.

Dia dibebaskan dari penjara pada Oktober 2014.

Azwan ditahan sekali lagi pada 17 Oktober 2015 kerana mengedar dadah dan menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi atas kesalahan pengedaran dadah baharunya.

“Azwan diberikan proses undang-undang yang sewajarnya. Pada perbicaraan Azwan, pendakwa memanggil saksi untuk membuktikan pertuduhan mengedar dadah tersebut, dan membentangkan kenyataan Azwan yang dirakam oleh pegawai dari Biro Narkotik Pusat, di mana dia mengaku semasa siasatan bahawa semua dadah itu bertujuan untuk dijual," jelas MHA.

Mahkamah Tinggi mendapati dakwaan Azwan ketika perbicaraan bercanggah dengan pengakuannya ketika memberi kenyataan kepada pegawai CNB.

Pada 11 Februari 2019, Azwan sabit kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana memiliki tidak kurang daripada 26.5 gram diamorphine, juga dikenali sebagai heroin tulen, untuk tujuan dijual.

ADPAN akan dikehendaki untuk memuat naik notis pembetulan di akaun Facebook, Instagram dan LinkedInnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan