Arahan POFMA dikeluarkan terhadap pelawak Amerika Sammy Obeid
Arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) dikeluarkan terhadap pelawak Amerika Syarikat, Sammy Obeid, selepas pertikaian berhubung persembahan beliau yang dibatalkan di Singapura.
Pelawak Amerika Syarikat Sammy Obeid mengatakan bahawa skrip untuk persembahannya di Singapura ditolak sebanyak dua kali dan beliau diminta untuk menghapuskan rujukan kepada konflik di Gaza, antara lain. (Gambar: Facebook/Sammy Obeid)
“Perincian Encik Obeid tentang interaksi dengan pihak pemerintah adalah tidak tepat,” menurut Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Isnin (1 Sep).
“Dalam catatan beliau, beliau berkata bahawa Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) meminta suntingan, mengarahkannya untuk ‘menghapuskan sepenuhnya’ bahagian-bahagian skrip beliau, dan menyatakan bahawa ia ‘tidak menyukai’ bahagian-bahagian lain.”
MDDI menegaskan bahawa semua tuduhan tersebut tidak berlaku, dan IMDA tidak pernah membincangkan skrip atau kandungan Encik Obeid dengan beliau mahupun wakilnya.
Kementerian itu turut menambah bahawa IMDA “tidak pernah meminta suntingan” dan tidak membuat cadangan agar sebarang kandungan dikeluarkan.
“Pembatalan tersebut tidak ada kena-mengena dengan kandungannya,” menurut MDDI.
Kementerian itu juga menyatakan pihaknya sedar tentang tuduhan-tuduhan yang dibuat berdasarkan satu rakaman perbualan peribadi.
Ia menegaskan bahawa IMDA tidak terlibat dalam perbualan tersebut.
“IMDA tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan - secara langsung atau tidak langsung - dengan Encik Obeid atau wakilnya tentang skrip beliau dan sama sekali tidak pernah meminta sebarang suntingan atau penghapusan (kandungan),” menurut kementerian tersebut.
Di bawah arahan pembetulan POFMA, Encik Obeid dikehendaki memaparkan notis pembetulan bersama catatan Facebook, Instagram dan X yang diterbitkannya pada 27 Ogos.
Beliau, bagaimanapun, tidak perlu memadamkan catatannya.
“Notis-notis ini akan menyediakan pautan kepada penjelasan pemerintah agar pembaca boleh membaca kedua-dua versi dan membuat kesimpulan sendiri,” menurut MDDI.
GARIS MASA
MDDI juga menyediakan garis masa berhubung pertikaian tersebut:
- 8 Julai: Pembantu Encik Obeid menghubungi IMDA mengenai garis masa permohonan dan dimaklumkan pada 9 Julai bahawa permohonan perlu dikemukakan 40 hari bekerja lebih awal melalui wakil tempatan.
- 15 Ogos: Permohonan rasmi bagi Lesen Hiburan Seni (AEL) dikemukakan oleh wakil tempatan beliau (“pemohon”) - hanya 10 hari bekerja sebelum persembahan yang dijadualkan pada 31 Ogos.
- 19 Ogos: IMDA memaklumkan pemohon bahawa permohonan tersebut terlalu lewat untuk diproses.
- 20 Ogos: Pemohon membuat rayuan untuk dipertimbangkan semula.
- 25 Ogos: IMDA menegaskan semula bahawa permohonan itu tidak dapat diproses kerana dikemukakan lewat 30 hari bekerja.
MDDI menyatakan bahawa tuduhan palsu Encik Obeid berisiko menimbulkan “salah faham serius” dan “menjejas kepercayaan awam terhadap peranan pelesenan IMDA”.
Ia juga boleh mencetus sentimen orang ramai terhadap isu yang sudah pun sensitif, menurut MDDI.
“Kami maklum ramai rakyat Singapura sangat prihatin terhadap Gaza. Kami ingin memberi jaminan bahawa kes ini bukan soal menyekat suara sesiapa.
"Rakyat Singapura akan sentiasa mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan mereka secara munasabah dan membina berhubung Gaza dan isu-isu penting lain,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.