Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Arahan POFMA dikeluarkan terhadap The Alternative View; papar seolah HDB kaut untung BTO Ang Mo Kio

Arahan Pembetulan dikeluarkan terhadap laman Facebook The Alternative View kerana memuat naik catatan yang mengandaikan seolah-olah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meraih keuntungan daripada penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Central Weave @ AMK.

Anggaran Waktu Membaca:
Arahan POFMA dikeluarkan terhadap The Alternative View; papar seolah HDB kaut untung BTO Ang Mo Kio

Lakaran artis untuk flat BTO di Central Weave @ AMK. (Gambar: HDB)

SINGAPURA: Arahan Pembetulan dikeluarkan terhadap laman Facebook The Alternative View kerana memuat naik catatan yang mengandaikan seolah-olah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meraih keuntungan daripada penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Central Weave @ AMK.

Arahan pembetulan itu dikeluarkan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA).

Kes tersebut melibatkan satu catatan Facebook yang dimuat naik tiga hari lalu, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam kenyataan medianya pada Ahad (4 Sep).

Dalam catatan itu, The Alternative View menerbitkan semula tajuk berita sebuah rencana oleh AsiaOne dengan tajuk "Ang Mo Kio BTO flats: Strong demand for 5-room units despite prices of up to $877k" (Flat BTO Ang Mo Kio: Permintaan kukuh bagi unit 5 bilik sekalipun harga mencecah sehingga S$877,000).

Catatan tersebut disertakan dengan gambar menunjukkan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee memegang kantung wang.

Catatan itu juga dibubuhkan dengan kapsyen yang berbunyi: "Berapa banyak keuntungan yang dikaut oleh HDB?"

MND menjelaskan dalam kenyataan medianya: "Secara terang-terangan, catatan ini membayangkan seolah-olah HDB meraih keuntungan daripada penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Central Weave @ AMK, yang merupakan sebahagian daripada penjualan BTO pada Ogos 2022.

"Kenyataan ini adalah palsu."

The Alternative View dikehendaki menerbitkan satu notis pembetulan dan menyediakan akses kepada fakta-fakta yang betul.

MND menyatakan HDB tidak akan meraih keuntungan daripada penjualan flat.

"Sebenarnya, ia akan menanggung kerugian daripada projek ini kerana jumlah yang dianggarkan dikutip daripada penjualan tersebut adalah lebih rendah berbanding anggaran kos keseluruhan pembangunan projek.

"Jika kami mengambil kira geran perumahan CPF yang akan diperluaskan HDB kepada pembeli yang layak, defisitnya tetap lebih tinggi," terang MND lanjut.

HDB mengalami defisit setiap tahun, menurut MND, sambil menambah bahawa "jumlah yang diraih oleh HDB daripada penjualan flat pada setiap tahun kewangan adalah lebih rendah berbanding kos yang ditanggungnya, termasuk keseluruhan kos pembangunan (meliputi kos tanah dan kos binaan) serta geran perumahan CPF".

Bagi tahun kewangan 2021/2022, HDB mengalami defisit sebanyak S$3.85 bilion dalam Program Pemilikan Rumah.

Dalam tempoh tiga tahun lalu pula, defisit purata yang dialami oleh HDB adalah kira-kira S$2.68 bilion setiap tahun.

Defisit itu disebabkan terutamanya oleh "subsidi yang tinggi" untuk flat-flat baru dan pengagihan geran perumahan CPF untuk pembeli yang layak, jelas MND.

"Oleh kerana ini, kebanyakan pembeli kali pertama menggunakan kurang suku daripada pendapatan bulanan mereka untuk melunaskan pinjaman perumahan.

"Hampir 90 peratus keluarga pembeli kali pertama membayar pinjaman HDB mereka menggunakan CPF, dengan kurang atau tiada pembayaran tunai langsung," menurut kementerian itu.

Defisit tahunan dibiayai oleh Pemerintah dan tertera dalam penyata kewangan HDB yang diaudit dan diterbitkan setiap tahun, tambahnya.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan