Arahan POFMA dikeluarkan kepada pengguna TikTok berkait program kepimpinan masyarakat Cina
Satu arahan pembetulan dikeluarkan kepada pengguna TikTok, Jay Ish'haq Rajoo, pada Ahad (7 Sep) di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo mengarahkan Pejabat POFMA untuk mengeluarkan arahan tersebut selepas Encik Jay memuat naik satu catatan yang mengandungi dakwaan palsu berhubung Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina yang baharu pada 26 Ogos.
Dalam catatannya, Encik Jay mengatakan bahawa Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat, mengumumkan bahawa pemerintah akan menyediakan wang dan sumber untuk menarik rakyat China dari tanah besar untuk ke Singapura, dan melatih mereka bagi jawatan-jawatan kepimpinan.
Beliau juga menuduh bahawa pemerintah hanya menggunakan wang dan sumbernya untuk membangunkan pemimpin daripada kaum Cina.
“Kenyataan-kenyataan palsu yang dibuat oleh Encik Jay menyebabkan salah faham serius dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap komitmen pemerintah untuk berkhidmat demi kepentingan Singapura dan rakyatnya, tanpa mengira kaum, bahasa atau agama,” menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan media.
“Bagi melindungi kepercayaan awam dan memastikan fakta disampaikan dengan tepat, kementerian mengeluarkan arahan pembetulan POFMA kepada Encik Jay. Beliau dikehendaki untuk menyiarkan notis pembetulan di akaun TikToknya.”
Menolak tuduhan Encik Jay, MCCY menyatakan bahawa hanya warga Singapura yang aktif dalam masyarakat Cina dan sudah “menunjukkan minat untuk berkhidmat” layak untuk menyertai Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina.
Warga asing tidak layak untuk mengikuti kursus tersebut, tambah kementerian berkenaan, sambil menjelaskan bahawa Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Singapura akan menguruskan pemilihan para peserta, yang akan dicalonkan oleh suku kaum Cina tempatan serta kumpulan-kumpulan perniagaan.
MCCY turut menyatakan bahawa inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada “gerakan lebih besar untuk membimbing pemimpin muda daripada semua kaum di Singapura”, selain memberikan contoh program yang disokong pemerintah untuk masyarakat Melayu dan India.
Setakat Ahad pukul 3.45 petang, video TikTok Encik Jay itu tidak lagi disiarkan di akaunnya. Arahan pembetulan itu mewajibkan Encik Jay untuk menyiarkan satu catatan baharu dengan pautan ke penjelasan rasmi pemerintah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.