Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Arahan POFMA dikeluarkan ke atas Asia Sentinel berhubung kenyataan mengenai Lee Hsien Yang, M Ravi

Anggaran Waktu Membaca:
Arahan POFMA dikeluarkan ke atas Asia Sentinel berhubung kenyataan mengenai Lee Hsien Yang, M Ravi

Tangkapan skrin portal berita Asia Sentinel pada 26 Mei 2023.

SINGAPURA: Arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) telah dikeluarkan ke atas Asia Sentinel berhubung rencana tulisan Andy Wong Min Jun di Nikkei Asia yang dikatakan mengandungi   kenyataan fakta yang palsu.

Di bawah arahan POFMA, Asia Sentinel yang berdaftar di California, dikehendaki menyertakan notis pembetulan bersama artikel berjudul 'Singapore kills a Chicken to Scare the Monkeys' yang diterbitkan pada 24 Mei, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (26 Mei). 

Rencana itu ditulis oleh editor John Berthelsen, yang menemu bual Wong, penulis komentar yang diterbitkan pada 2021. Wong dalam komentarnya mengkritik cara Singapura mengendalikan isu pusat hiburan KTV di tengah-tengah pandemik COVID-19. 

Berthelsen menulis bahawa Wong "dipaksa hidup dalam buangan" susuli komentar itu dan menyamakan situasinya dengan individu-individu lain, seperti peguam M Ravi dan Lee Hsien Yang, adik lelaki Perdana Menteri Lee Hsien Loong.  

MHA pada Jumaat menyatakan, rencana yang dikeluarkan Asia Sentinel mengandungi beberapa kenyataan palsu. 

Ini termasuk dakwaan bahawa Encik Ravi digantung tugas selama lima tahun kerana mengkritik pemerintah dan Lee Hsien Yang serta isterinya, Lee Suet Fern, dipaksa meninggalkan Singapura kerana tindakan pemerintah yang mengancam mereka kerana "bergaduh" dengan Encik Lee Hsien Loong. 

Satu lagi kenyataan palsu adalah susuli rencana yang ditulis oleh Wong, pemerintah mengancam untuk menghentikan operasi perniagaan Nikkei di negara ini, menurut NHA. 

MHA menekankan bahawa rencana  Wong berkaitan Nikkei itu mengandungi "banyak fakta yang tidak tepat". 

"Nikkei Asia menerbitkan respons MHA sebagai surat kepada editor pada 29 Julai 2021. Pemerintah Singapura tidak pernah sekalipun mengancam untuk menghentikan operasi Nikkei di Singapura," menurut kementerian itu dalam kenyataan media tersebut. 

Mengenai Encik Ravi digantung tugas yang berkuat kuasa pada Mac, MHA menyatakan, ia setelah  Mahkamah Tiga Hakim mendapati pelbagai dakwaannya terhadap Peguam Negara, Timbalan Peguam Negara, pihak pendakwa raya serta Persatuan Guaman telah "dengan cuai dan tanpa asas" mencemarkan tunggak sistem perundangan Singapura.  

Berhubung Lee Hsien Yang dan isterinya, kementerian itu menyatakan, pasangan tersebut meninggalkan Singapura selepas polis  menjalankan  siasatan ke atas mereka. 

Pasangan itu enggan menghadiri temu janji polis pada Julai 2022 kerana berbohong semasa angkat sumpah dalam prosiding kehakiman mengenai wasiat mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Siasatan polis itu tidak ada kaitan dengan "pergaduhan bersama Lee Hsien Loong", tegas MHA. 

DIDENDA KERANA BAHAN LUCAH 

Rencana Wong pada 2021 dibidas MHA, dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam kemudian merujuk pada isu tersebut dalam catatannya ke Facebook yang menyifatkan artikel tersebut sebagai "satu cereka semata-mata". 

Encik Shanmugam kemudian berkata, Wong "secara ironinya" didakwa kerana memiliki bahan lucah dan bertanya sama ada siasatan jenayah terhadapnya adalah sebab dia mengeluarkan kenyataan palsu. 

Pada April tahun lalu, Wong didenda S$42,000 kerana memiliki lebih 4,200 video dan gambar lucah. 

Dia menganggotai kumpulan sembang Telegram yang dikaitkan dengan Sammy Boy Forum, ruang sembang tempatan yang lucah. Siasatan terhadapnya dan ahli-ahli lain bermula pada November 2019. 

Empat anggota kumpulan itu, termasuk Wong, didakwa dan dikenakan hukuman kerana memiliki bahan lucah. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan