Skip to main content

Singapura

Arahan pembetulan POFMA dikeluarkan kepada Facebook atas catatan palsu dakwa budak 3 tahun mati kerana COVID-19

Satu arahan pembetulan dikeluarkan kepada Facebook atas catatan palsu yang mendakwa bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) dan kematiannya tidak dilaporkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Arahan pembetulan POFMA dikeluarkan kepada Facebook atas catatan palsu dakwa budak 3 tahun mati kerana COVID-19

(Gambar: Gov.sg)

Diterbitkan : 15 Aug 2021 07:14PM Dikemas Kini : 15 Aug 2021 07:15PM

SINGAPURA: Satu arahan pembetulan dikeluarkan kepada Facebook atas catatan palsu yang mendakwa bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) dan kematiannya tidak dilaporkan.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada Facebook, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (15 Ogos).

Facebook perlu menerbitkan notis pembetulan itu kepada semua pengguna di Singapura yang menggunakan wadah itu.

"Pemerintah memandang serius sebaran secara sengaja terhadap kenyataan-kenyataan palsu ini, dan siasatan jenayah di bawah POFMA akan djalankan," menurut MOH.

Catatan Facebook tersebut yang ditulis oleh pengguna bernama Eileen Loh, tular online dan mendakwa bahawa seorang budak tiga tahun meninggal dunia kerana COVID-19 di KKH.

Catatan itu dikongsi sebanyak 200 kali setakat petang Sabtu.

Setakat Sabtu, tidak ada sebarang kes kanak-kanak yang meninggal dunia akibat COVID-19 di KKH atau di mana-mana hospital di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan pada Ahad.

Catatan itu juga mendakwa varian "Delta Plus" virus COVID-19 kini menular di Singapura, menurut MOH.

"Setakat 14 Ogos, MOH tidak mengenal pasti varian 'Delta Plus' dalam kalangan kes-kes COVID-19 yang diketahui di Singapura,"tambahnya.

Kementerian itu juga menggesa orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang mungkin menimbulkan kecemasan dalam kalangan orang ramai. Orang awam boleh melungsuri laman www.moh.gov.sg bagi kemas kini tentang situasi COVID-19.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita