Skip to main content

Singapura

Arahan pembetulan POFMA dikeluarkan berhubung rencana mengandungi dakwaan palsu varian XBB

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Arahan Pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) dikeluarkan kepada beberapa pihak berhubung rencana yang membuat dakwaan palsu tentang varian XBB Omicron.

Arahan Pembetulan itu dikeluarkan kepada Thailand Medical News, yang menerbitkan rencana tersebut pada 9 Oktober, ahli politik pembangkang Goh Meng Seng, laman Facebook Parti Kuasa Rakyat yang dianggotai Encik Goh Meng Seng dan Forum HardwareZone.

Encik Goh mengongsi rencana itu pada kedua-dua laman Facebook tersebut.

Rencana yang sama turut dimuat naik ke Forum HardwareZone pada hari yang sama.

Pihak-pihak yang dikenakan Arahan Pembetulan dikehendaki menyertakan notis pada catatan atau rencana asal dengan pautan kepada penjelasan daripada pihak pemerintah.

Dalam kenyataan media hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa terdapat kenyataan palsu dan mengelirukan pada rencana bertajuk "BREAKING! Singapore Is Under Attack By The New SARS-CoV-2 XBB Recombinant Variant".

Rencana itu mendakwa peningkatan pada jumlah kes teruk COVID-19 semakin menjadi lazim sekalipun untuk orang-orang yang sudah lengkap divaksin.

Rencana yang sama turut mendakwa bahawa jumlah kes kematian COVID-19 yang diuruskan oleh rumah mayat semakin meningkat.

Menurut MOH, tiada bukti yang menunjukkan bahawa varian XBB menyebabkan lebih banyak kes jangkitan teruk dan kematian berbanding varian-varian lain.

Rencana itu pertama kali diterbitkan di laman web Thailand Medical News dan pada laman Facebook dan Twitternya.

Thailand Medical News sudahpun mematuhi Arahan Pembetulan tersebut.

Setakat pukul 2.00 petang hari ini, notis Arahan Pembetulan itu belum lagi diterbitkan oleh tiga pihak lain.

XBB adalah subvarian Omicron yang juga dikesan di negara-negara seperti Australia, Bangladesh, Denmark, India, Jepun dan Amerika Syarikat sejak Ogos lalu.

Para pakar yang ditemui Mediacorp berkata vaksinasi COVID-19 masih berkesan dalam mencegah penyakit teruk.
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita