Skip to main content

Singapura

Arah tuju masa depan Dikir Barat SG lebih moden tanpa gadai asas seni

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 08:23PM Dikemas Kini : 13 Jul 2026 01:28PM
SINGAPURA: Masa depan seni Dikir Barat Singapura akan tampak lebih moden, namun tetap teguh dengan nilai-nilai tradisional dalam persembahannya.

Demikian gambaran yang dibayangkan para anggota panel bagi sesi perbincangan yang bertajuk Gelanggang Wacana: Identiti, Polemik dan Evolusi Dikir Barat pada Ahad (7 Jun).
Related article image
Panelis Gelanggang Wacana: (dari kiri) Mohamed Nazri, Dr Roszalina Rawi (moderator), Suhaili 'Abe Yie' (Malaysia) dan Rohasliza Rohmadon (Gambar: Instagram/Wisma Geylang Serai)
Pensyarah dan pengkaji di jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) NTU-NIE, Dr Roszalina Rawi, yang juga menjadi moderator bagi perbincangan panel itu berkata: "Kita hendak lihat lebih banyak lagi kemasukan elemen-elemen yang, walaupun moden, mengekalkan aspek-aspek tradisi dalam Dikir Barat yang tidak lari terlalu jauh daripada keaslian Dikir Barat itu, tapi pada masa yang sama juga, menggalakkan anak-anak muda untuk bereksperimen."
Related article image
Dr Roszalina Rawi, moderator panel perbincangan Gelanggang Wacana (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Pengerusi Mega Perdana 2025, Mohamed Nazri pula berkongsi pendapat bahawa kemasukan perkataan Inggeris untuk mencantikkan naskhah dibolehkan tanpa menggadai bahasa Melayu.

Beliau menambah bahawa bahasa penulisan seni kata Dikir Barat perlu ada fleksibiliti - tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar.

Encik Nazri juga melahirkan kerisauan tentang pemahaman penonton Singapura apabila menonton sebuah persembahan Dikir Barat.

Beliau mempersoalkan sama ada wajar mengekalkan nilai sastera tinggi dalam penulisan seni kata ataupun menulis dengan bahasa yang lebih mudah agar difahami khalayak ramai.

Antara soalan yang diajukan mengenai topik itu juga sama ada perkataan Inggeris boleh digunakan dalam penulisan seni kata.

Jawapan soalan tersebut, menurut Naib Presiden Singapore Dikir Barat Federation (SDBF), Rohasliza Rohmadon, bergantung kepada siapa yang menonton serta konteks persembahan.

FESTIVAL TIGA HARI MENYAMBUT 50 TAHUN DIKIR BARAT DI SINGAPURA
Related article image
Festival Dikir Singapura 2026 menyambut 50 tahun Dikir Barat di Singapura (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Perbincangan panel tersebut merupakan sebahagian daripada Festival Dikir Singapura 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun di Wisma Geylang Serai (WGS).

Festival tiga hari itu menyambut Jubli Emas, yakni 50 tahun sejak seni Dikir Barat bertapak di Singapura.

Anjuran bersama Serumpun DK SG, SDBF dan kumpulan Andika Kencana, festival tersebut yang turut disiarkan secara langsung di YouTube Wisma Geylang Serai, menerima lebih 10,000 pengunjung.

Antara acara kemuncak festival tersebut termasuk Malam Anugerah Dikir pada Jumaat (5 Jun).
Related article image
Malam Anugerah Dikir (Gambar: Instagram/Wisma Geylang Serai)
Majlis tersebut meraikan dan mengiktiraf sumbangan para pendikir yang telah membentuk dan yang terus mewarnakan seni Dikir Barat di Singapura.

GABUNGAN SINGAPURA-MALAYSIA TURUT MENYEMARAKKAN FESTIVAL

Sebuah lagi acara kemuncak festival tersebut ialah Gelanggang Dikir pada Ahad (7 Jun) yang membawa lebih 40 pendikir dari Singapura dan Malaysia ke atas pentas sebagai penutup tirai festival.

Kumpulan-kumpulan yang terlibat ialah Andika Kencana dari Singapura dan Sunang Detaga dari Kelantan, Malaysia.
Related article image
Andika Kencana (SG) dan Sunang Detaga (MY) bergabung di atas pentas untuk acara penutup tirai Festival Dikir Singapura 2026 (Gambar: Athirah Karim/ BERITA Mediacorp)
Bagi Tukang Karut Sunang Detaga, Mohd Muslih Aling, evolusi Dikir Barat di Singapura dilihatnya sebagai tiga fasa.
Related article image
Tukang Karut Sunang Detaga, Mohd Muslih Aling, sudah hampir 20 tahun dalam dunia Dikir Barat Malaysia-Singapura (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
"Fasa pertama banyak kepada tiru-tiruan - membuat persembahan tanpa memahami maksud sebenar. Fasa kedua, mula ada identiti sendiri tetapi masih dalam eksplorasi. Fasa ketiga, dah kenal apa itu Dikir Barat Singapura (dan) berdiri sebagai Dikir Barat Singapura," jelas beliau.

Tukang Karut Andika Kencana, Syafiq Moklas, juga berkongsi tentang pencapaian Dikir Barat di Singapura.

"Dari segi mutu persembahan dan pertandingan, saya rasa dah cukup padat, dah cukup baik. Pendedahan dan sokongan daripada badan-badan tertentu di Singapura pun dah semakin padat," kata beliau.
Related article image
Tukang Karut Andika Kencana, Syafiq Moklas (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Namun, beliau berpendapat bahawa masih banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan persepsi umum terhadap seni tersebut.

"Saya menyeru kepada semua pendikir Singapura untuk meningkatkan diri lagi sebagai pendikir, bukan sahaja di atas pentas tapi di luar pentas supaya umum dapat melihat kami daripada lensa yang lebih positif," tambah beliau.

BEBERAPA LAGI ACARA DIRANCANG SEMPENA SAMBUTAN JUBLI EMAS

Selain Festival Dikir Singapura 2026, beberapa acara sedang dirancang sepanjang tahun bagi menyambut 50 tahun Dikir Barat Singapura.

"Kita boleh mengharapkan pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan seperti Hikayat Putera Emas iaitu pertandingan Persada Gemintang yang akan dianjurkan pada penghujung bulan Jun nanti dan juga GeylangGang Dikir (yang) akan kembali tahun ini di Wisma Geylang Serai pada bulan September," kongsi Presiden SDBF, Muhammad Hydil Jamil.
Related article image
Presiden Singapore Dikir Federation, Muhammad Hydil Jamil (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Menurut beliau lagi, SDBF juga akan berusaha untuk menyelaraskan acara-acara lain untuk menyemarakkan lagi sambutan 50 tahun Dikir Barat di Singapura.

Selain itu, orang awam juga boleh melihat Pameran Dikir 50 di WGS sehingga pertengahan bulan Oktober ini.
Related article image
Pameran Dikir 50 di WGS (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita