Skip to main content

Singapura

Arah MRT akan dilabel ikut 'arah jam' dan 'lawan arah jam' apabila Laluan Circle siap

Anggaran Waktu Membaca:
Arah MRT akan dilabel ikut 'arah jam' dan 'lawan arah jam' apabila Laluan Circle siap
Diterbitkan : 29 May 2026 11:21AM Dikemas Kini : 29 May 2026 12:10PM
SINGAPURA: Apabila Laluan Circle (CCL) siap pada Julai, MRT akan memaparkan arahnya sebagai "mengikut arah jam" atau "lawan arah jam" dan bukannya mengikut stesen terminal.

Pada masa ini, memandangkan CCL tidak beroperasi sebagai bulatan penuh, MRT memaparkan arahnya dengan menunjukkan stesen terakhir, seperti Harbourfront atau Dhoby Ghaut.

Untuk membantu para penumpang membiasakan diri dengan sistem baharu itu sebelum ia mula beroperasi, papan tanda penunjuk arah yang dikemas kini akan ditampilkan di stesen Promenade, Esplanade, Buona Vista dan Paya Lebar mulai Jumaat (29 Mei).

Orang ramai boleh meninjau-ninjau stesen Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road pada 4 Julai, sebelum perkhidmatan penumpang bermula pada 12 Julai. Pembukaan stesen-stesen tersebut melengkapkan bulatan tersebut, membolehkan MRT bergerak di seluruh bulatan tanpa terminal yang ditetapkan.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan ia sudah mendapatkan maklum balas penumpang dan kakitangan stesen untuk memahami cabaran yang mereka hadapi semasa menaiki CCL, dan menjalankan tinjauan awam pada Mac 2025 yang menarik lebih 3,000 respons.

“CCL yang lengkap memperkenalkan ciri-ciri operasi unik yang memerlukan penyelesaian penunjuk arah yang disesuaikan untuk membantu penumpang menggunakan laluan bulatan lengkap itu dengan lebih mudah,” katanya.

Responden lebih suka "mengikut arah jam" dan "lawan arah jam" berbanding label alternatif seperti "bulatan dalam" dan "bulatan luar". Menurut LTA, maklum balas itu digunakan untuk memperhalusi strategi penunjuk arah.

Apabila Mediacorp melawat stesen Promenade pada Jumaat (29 Mei), paparan yang dikemas kini boleh dilihat di pintu masuk aras atas, di atas pintu gantri dan di platform.

Sebaik sahaja bulatan itu lengkap, papan tanda platform akan menunjukkan arah setiap MRT, sama ada menunjukkan "laluan mengikut arah jam" atau "laluan lawan arah jam".

Walau bagaimanapun, CCL juga akan mengekalkan cabang yang menyimpang daripada bulatan utama dengan stesen Esplanade, Bras Basah dan Dhoby Ghaut. MRT di cabang tersebut tidak akan melengkapkan bulatan penuh dan akan membawa label tambahan, seperti "mengikut arah jam – berakhir di Dhoby Ghaut", untuk menunjukkan di mana ia berakhir.

LTA memberi jaminan akan terus mengumpul maklum balas dan memantau keadaan untuk memperjelas maklumat di laluan tersebut dengan lebih baik.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita