Skip to main content

Singapura

Arab Saudi pertimbang permohonan SG tambah kuota haji: Masagos

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah akan mempertimbangkan permohonan Singapura untuk kuota tambahan.

Anggaran Waktu Membaca:
JEDDAH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah akan mempertimbangkan permohonan Singapura untuk kuota tambahan.

Permohonan itu disampaikan Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dalam pertemuan mereka di Jeddah.

Dalam catatannya di Facebook pada Isnin (13 Jan), Encik Masagos juga memberi jaminan kepada warga Singapura yang sudah mendaftar namun tidak terpilih untuk menunaikan ibadah haji tahun ini bahawa pemerintah akan terus bekerja rapat dengan kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan kuota haji yang lebih tinggi bagi Singapura.

Dalam pertemuan itu juga, Encik Masagos dan Dr Tawfiq memeterai perjanjian bagi musim haji yang akan datang pada Jun ini.

Ini bagi merasmikan kuota bagi 900 jemaah Singapura kali ini.

"Saya telah menyatakan ribuan terima kasih daripada pemerintah Singapura atas perhatian beliau dan kakitangan beliau," kata Encik Masagos yang kini berada di Arab Saudi, dalam rangka lawatan rasmi ke negara itu dan Mesir sehingga 15 Januari.

"Alhamdulillah tahun lalu, semua dapat menjalankan ibadah haji dan pulang dengan selamat dan tahun ini telah memberi jaminan kuota yang rasmi yang diberikan kepada Singapura. Saya juga telah meminta supaya kita diberikan tambahan daripada kuota tersebut dan beliau akan memberikan perhatian atas permintaan tersebut," tambah beliau.
Mereka juga mengesahkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.

Encik Masagos turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Arab Saudi atas bimbingan dan kerjasama mereka dalam meluluskan permohonan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura untuk mengendalikan klinik perubatan bagi menyokong keperluan jemaah Singapura di sana.
Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita