Skip to main content

Singapura

Apple Pay Express Mode kini di MRT & LRT; seluruh pengangkutan awam jelang akhir 2027

Para penumpang sudah boleh menggunakan Apple Pay Express Mode di rangkaian MRT dan LRT Singapura sejak pertengahan Ogos.

Anggaran Waktu Membaca:
Apple Pay Express Mode kini di MRT & LRT; seluruh pengangkutan awam jelang akhir 2027

Sebuah MRT menghampiri stesen Buona Vista di Laluan Timur-Barat. (Gambar fail: CNA)

Diterbitkan : 05 Sep 2026 07:06AM
  • LTA mengumumkan Apple Pay Express Mode sudah boleh digunakan di MRT dan LRT Singapura sejak pertengahan Ogos, dan akan diperluas ke seluruh pengangkutan awam menjelang akhir 2027.
  • Ciri ini membolehkan penumpang membayar tambang dengan hanya menyentuh iPhone atau Apple Watch tanpa perlu membuka kunci peranti.
  • Bagi bas awam, penggunaan Express Mode kini terhad kepada alat pengimbas kad yang dipertingkatkan, yang sedang dipasang secara berperingkat.
  • LTA menjalankan ujian operasi sebenar untuk memastikan alat pengimbas baharu ini berfungsi lancar dan mesra pengguna sebelum pelaksanaan penuh.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Para penumpang sudah boleh menggunakan Apple Pay Express Mode di rangkaian MRT dan LRT Singapura sejak pertengahan Ogos. Ciri tersebut akan diperluaskan ke seluruh rangkaian pengangkutan awam menjelang akhir 2027, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (4 Sep).

Express Mode membolehkan para penumpang menyentuh iPhone atau Apple Watch ketika masuk dan keluar tanpa perlu mengaktifkan atau membuka kunci peranti, mahupun membuat pengesahan menggunakan Face ID, Touch ID atau kata laluan. Ia menjadikan proses pembayaran tambang lebih pantas dan mudah.

Bagi bas, ciri tersebut buat masa ini hanya boleh digunakan pada alat pengimbas kad yang dipertingkatkan, yang pertama kali diumumkan menerusi laman Facebook LTA pada Jun.

Alat pengimbas tersebut sedang dipasang secara bertahap-tahap pada bas-bas awam, menurut LTA.

LTA sebelum ini menyatakan alat pengimbas kad yang dipertingkatkan itu mempunyai paparan lebih besar, visual yang lebih jelas dan boleh mengemas kini urus niaga SimplyGo dengan lebih pantas. Ia juga membolehkan para penumpang menyentuh di mana-mana bahagian skrin untuk membayar tambang.

"Ujian terhadap alat pengimbas baharu dalam keadaan operasi sebenar membolehkan kami menilai prestasi dan kebolehpercayaannya sebelum ia dipasang pada seluruh armada. Ini akan membantu memastikan pengalaman yang lebih lancar dan mesra pengguna bagi para penumpang," menurut LTA.

Menurut LTA, ia menyasarkan untuk memperkenalkan Apple Pay Express Mode di seluruh rangkaian pengangkutan awam menjelang akhir 2027.

Maklumat lanjut akan dikongsi apabila ia tersedia, tambahnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita