Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

App ulang-alik S'pura-Johor tidak tertakluk peraturan LTA, kata Sameride

Sameride, sebuah aplikasi perkongsian kereta (carpool) untuk penumpang yang melakukan perjalanan antara Johor dengan Singapura, menegaskan bahawa ia adalah sebuah wadah komunikasi dan oleh itu tidak tertakluk di bawah peraturan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Anggaran Waktu Membaca:
App ulang-alik S'pura-Johor tidak tertakluk peraturan LTA, kata Sameride

Gambar: Sameride

Diterbitkan : 31 Dec 2019 07:42PM Dikemas Kini : 31 Dec 2019 07:48PM

SINGAPURA: Sameride, sebuah aplikasi perkongsian kereta (carpool) untuk penumpang yang melakukan perjalanan antara Johor dengan Singapura, menegaskan bahawa ia adalah sebuah wadah komunikasi dan oleh itu tidak tertakluk di bawah peraturan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Kenyataannya pada Selasa (31 Dis) itu menyusuli amaran LTA mengenai "tindakan penguatkuasaan tegas" terhadap kenderaan yang terlibat dalam perkhidmatan kongsi kereta rentas sempadan yang mengambil upah tanpa lesen kenderaan khidmat awam (PSVL) yang sah.

Aplikasi tersebut melancarkan khidmat bagi perjalanan Johor-Singapura pada Isnin dan mencatat lebih 500 tawaran dan permintaan, yang disifatkannya sebagai "lebih tinggi daripada yang dijangkakan".

Dalam kenyataannya, Sameride menekankan bahawa ia bukan sebuah aplikasi khidmat kereta sewa privet (e-hailing).

"Sameride tidak mengendalikan sekumpulan kereta atau mengambil pemandu untuk menawarkan khidmat pengangkutan. Ia bukan aplikasi teksi.

"Sebaliknya ia adalah wadah sosial dan kiriman mesej (membolehkan pengguna dikumpulkan mengikut) kawasan rumah, tempat kerja dan jadual. Lantas, sama seperti wadah pengiriman pesanan dan sosial, penggunaan app Sameride tidak tertakluk di bawah peraturan," menuut kenyataan itu.

LTA dalam kenyataannya pada Sabtu menasihati para penumpang agar tidak menggunakan khidmat pemandu tanpa kenderaan berlesen kerana kenderaan-kenderaan tersebut mungkin tidak mendapat perlindungan insurans secukupnya terhadap liabiliti pihak ketiga.

Para pemandu yang didapati menawarkan khidmat sedemikian tanpa PSVL boleh dipenjara dan didenda, tambah LTA.

Beberapa penumpang yang mendaftar untuk Sameride memberitahu Mediacorp bahawa mereka bimbang sesetengah pemandu beroperasi tanpa PSVL wajib itu dan mengelak apabila ditanya.

PEMANDU KENAKAN YURAN TINGGI

Para penumpang menambah bahawa para pemandu juga mahu mengenakan tambang berlebihan untuk perjalanan sehala menyeberangi Koswe yang setara dengan tambang teksi berlesen.

Sameride memadankan tawaran pemandu dengan permintaan penumpang yang ingin melakukan perjalanan.

Di lamannya, Sameride menyatakan harga dipersetujui antara pemandu dengan penumpang, dan ini harus berdasarkan dua faktor - harga pasaran, atau harga yang dikenakan oleh pemandu lain, dan harga kos iaitu kos perjalanan.

Sameride menambah pihaknya tidak mengawal kos perjalanan dan app tersebut boleh dibandingkan dengan wadah jual beli, dengan perjalanan dianggap sebagai "barangan diperdagangkan”.

App tesrebut tidak mempunyai fungsi bayaran.

Para penumpang yang dihubungi Mediacorp berkata mereka diberi sebutan harga antara S$38 hingga S$90 seorang untuk pemandu menumpangkan mereka dari Singapura ke Johor Bahru.

'CARPOOL' TANPA PSVL PATUT DIBENARKAN: PENUMPANG

Encik Razali Tompang, seorang warga Malaysia yang memandu dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari atas sebab kerja, memberitahu Mediacorp beliau sebelum ini mendaftar sebagai seorang pemandu di app itu, namun menarik balik tawarannya menyusuli amaran LTA.

Beliau menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai PSVL dan tidak mahu menghadapi risiko melanggar undang-undang.

"Matlamat saya sebagai seorang pemandu bukan untuk mengaut untung, namun untuk berkongsi kos ke seberang," kata beliau.

Encik Razali berpendapat app tersebut boleh memudahkan perkongsian kereta dan mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan darat antara Singapura dengan Johor Bahru.

"Ia adalah satu cara baik untuk mengurangkan jumlah kereta di jalan raya," tambah beliau.

Encik Razali berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk membenarkan penumpang berkongsi kereta tanpa lesen PSVL jika tidak melakukannya untuk tujuan komersil.

"App tersebut adalah satu inisiatif baik. Jika lebih ramai orang menggunakannya, mungkin kita akan lihat kurang trafik di Koswe dan semua orang akan meraih manfaat," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan