App terbaharu ‘Kubur Search’ mudahkan anda cari pusara dengan hanya 2 butiran sahaja
Gambar: Kubur Search/Facebook, Ramzul Ihsan Abdul Nadjieb
SINGAPURA: Dengan adanya puluhan ribu pusara dan landskap tanah perkuburan yang kian berubah-ubah demi memenuhi permintaan ruang pengebumian saban tahun, ia menjadi bertambah sukar bagi Encik Ramzul Ihsan Abdul Nadjieb untuk mencari pusara tertentu.
Masalah ini kerap dihadapi beliau, yang sering berada di pekarangan tanah perkuburan selama lebih dua tahun, bagi membantu dalam perniagaan ibu bapanya menguruskan pusara, termasuk membuat dapur kubur.
Sedangkan beliau sendiri berdepan kesukaran, apatah lagi bagi mereka yang hanya menziarahi pusara kaum keluarga sekali-sekala.
Ini sekali gus mencetuskan idea Encik Ramzul, 36 tahun, untuk membangun aplikasi ‘Kubur Search’.
Aplikasi terbaharu itu bermatlamat untuk memudahkan para pengguna untuk mencari pusara saudara-mara mereka ketika menziarahi tanah perkuburan tersebut.
Dilancarkan pada awal bulan ini, app itu mempunyai maklumat sekitar lebih 66,000 pusara.
App itu juga sudah boleh dimuat turun dari Apple Store dan Google Play.
HANYA DUA BUTIRAN DIPERLUKAN
Untuk menggunakan app ini bagi mencari di mana terletaknya pusara saudara-mara, pengguna hanya perlu menaip dua butiran sahaja - nombor plot dan blok.
Kemudian, pengguna akan dirujuk kepada ciri peta yang akan membimbingnya untuk berjalan mahupun memandu ke pusara berkenaan.
Butiran peribadi seperti nama yang sepadan dengan pusara, bagaimanapun tidak disertakan dalam pangkalan data tersebut. Ini agar app tersebut mematuhi piawai Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Mantan guru seni sambilan itu menjelaskan bahawa beliau juga menawarkan khidmat percuma untuk mencari pusara saudara-mara yang mungkin tidak disertakan dalam pangkalan data app itu.
KEISTIMEWAAN APP ‘KUBUR SEARCH’
Ditanya mengenai keistimewaan yang ditawarkan ‘Kubur Search’ berbanding aplikasi lain yang berada di pasaran, pengasas app itu menarik perhatian bahawa maklumat yang tersedia di dalam app tersebut lebih menyeluruh.
“Saya menghabiskan masa setahun lebih untuk membina pangkalan data itu bagi hampir kesemua pusara di sana. Setelah saya menentukan koordinat seluruh tanah perkuburan itu, saya pun mula mengumpulkan maklumat setiap pusara di sana dengan mengirimkan maklumat lokasi menerusi WhatsApp. Setiap hari, saya dapat kumpul maklumat bagi hampir 100 pusara. Saya kemudian akan menyemak semula butiran bagi setiap pusara yang saya kumpulkan dengan ‘Google Earth’ di rumah sebelum saya memadankan butiran tersebut dengan peta digital,” kongsi Encik Ramzul kepada BERITA Mediacorp.
Encik Ramzul kini bertugas dari rumah sebagai pemaju aplikasi dan menyediakan khidmat pencetakan 3D serta pemotongan laser, setelah mengalami kecederaan di bahagian belakangnya yang memaksa beliau untuk berhenti bekerja di tanah perkuburan.
TIDAK JANGKA TERIMA SOKONGAN MEMBERANGSANGKAN
Encik Ramzul akur bahawa beliau tidak dapat membangun app ini tanpa sokongan daripada masyarakat.
Dalam sebulan sahaja, beliau berjaya melepasi sasaran kempen pengumpulan dana‘Kubur Search’, yang dikendalikannya di laman ‘Kickstarter’. Lebih S$4,000 telah dikumpulkan bagi menampung kos membangun dan mengendalikan app tersebut.
“Saya amat berterima kasih terutama sekali kepada masyarakat umum kerana membantu dalam merealisasikan impian untuk membangun app ini. Sokongan ini sememangnya lebih daripada apa yang saya jangkakan,” luah Encik Ramzul.
Encik Ramzul menzahirkan harapan agar app ini dapat berterusan bagi tahun-tahun akan datang dan dimanfaatkan seramai orang yang mungkin.
“Ziarahlah pusara sekerap mungkin. Jangan takut lagi untuk menziarahi pusara,” pesan Encik Ramzul.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.