Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

App Singpass ditambah baik; lebih banyak ciri diperkenal termasuk lesen memandu digital

Aplikasi Singpass akan dilengkapi dengan lebih banyak kad pengenalan (IC) digital sedang Pemerintah berusaha untuk memperkenalkan lebih banyak inisiatif digital bagi meningkatkan kemudahan serta kebolehcapaiannya.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Mar 2022 06:32PM Dikemas Kini : 02 Mar 2022 10:31PM

SINGAPURA: Aplikasi Singpass akan dilengkapi dengan lebih banyak kad pengenalan (IC) digital sedang Pemerintah berusaha untuk memperkenalkan lebih banyak inisiatif digital bagi meningkatkan kemudahan serta kebolehcapaiannya.

Lesen memandu digital akan dilancarkan pada Isnin depan (7 Mac) manakala sijil digital bagi pengamal jagaan kesihatan sudahpun disediakan sejak Januari, menurut Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) dalam satu lembaran fakta hari ini (2 Mac).

Para pengguna perniagaan pula akan dapat mengakses profil syarikat masing-masing dan maklumat berkaitan melalui aplikasi itu menjelang hujung Mac, menurut SNDGG.

Pemerintah juga sedang menimbangkan untuk memperluaskan penggunaan khidmat pembayaran digital, GovWallet. Buat masa ini, ia dimanfaatkan oleh Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengagihkan dana dengan mudah serta selamat.

Langkah itu diusahakan sedang tinjauan tahunan ke atas pengguna akhir menunjukkan skor kepuasan rakyat bagi khidmat digital pemerintah meningkat dari 73 peratus pada 2016 kepada 85 peratus pada 2021.

Sementara itu, menurut SNDGG, skor kepuasan perniagaan meningkat dari 64 peratus kepada 76 peratus sepanjang tempoh yang sama.

SNDGG menyatakan ia akan bekerjasama dengan rakyat dan perniagaan untuk mengenal pasti bidang-bidang untuk penambahbaikan dan mewujudkan huraian secara bersama.

Ia sudah melancarkan sebuah kumpulan ciptaan bersama rakyat pada Januari lalu dengan wakil-wakil bagi warga emas serta keluarga berpendapatan rendah akan memberikan maklum balas mengenai khidmat digital.

Satu huraian sedia ada adalah aplikasi Singpass, yang kini mempunyai lebih 3.5 juta pengguna. Ia membolehkan pengguna mengakses khidmat-khidmat pemerintah dan sektor swasta termasuk memeriksa simpanan CPF mereka, memohon flat HDB serta urus niaga perbankan online.

Aplikasi itu disediakan dalam empat bahasa rasmi sejak Februari dan Agensi Teknologi Pemerintah akan secara bertahap-tahap memperluaskan urus niaga kepada lebih banyak ciri-ciri Singpass. Ini selain bekerjasama dengan agensi-agensi awam untuk menyertakan ciri-ciri berbilang bahasa dalam lebih banyak khidmat.

Aplikasi itu juga dilengkapi dengan NRIC digital. Pengguna boleh menunjukkannya di kaunter khidmat pemerintah untuk mengesahkan identiti atau mengimbas kod bar NRIC digital itu di kios seperti di perpustakaan awam atau poliklinik.

Namun, terdapat beberapa pengecualian di mana kad NRIC fizikal disyaratkan sisi undang-undang seperti untuk pendaftaran perkahwinan dan daftar masuk bagi penginapan hotel, menurut SNDGG.

NRIC digital mempunyai lambang singa animasi dan holografik di satu sudut gambar pengguna untuk mencegah pemalsuan gambar atau penipuan melibatkan petikan gambar. Bagi melindungi privasi, nombor NRIC atau Nombor Pengenalan Asing (FIN) - untuk warga asing yang menggunakan Singpass - diselindungi secara automatik.

Menjelang hujung Mac, pengguna dengan akaun Corppass yang sah boleh melihat maklumat entiti perniagaan mereka melalui aplikasi Singpass. Ini termasuk pendaftaran perniagaan dan maklumat pemegang saham serta maklumat mengenai kontrak yang dianugerahi pemerintah.

Para pengguna ini meliputi pemilik perniagaan dan pekerja yang diberi kebenaran untuk mengakses akaun tersebut daripada lebih 550,000 perniagaan serta entiti seperti pertubuhan dan persatuan tidak meraih untung.

Corppass bagaimanapun kekal menjadi sistem kelulusan tunggal bagi perniagaan dan entiti untuk menguruskan akses khidmat digital pekerja yang perlu melakukan urus niaga korporat dengan pemerintah, menurut SNDGG.

"GovTech akan mengumumkan dan melancarkan secara bertahap-tahap lebih banyak peningkatan untuk menambah baik serta memudahkan urus niaga korporat yang lebih selamat lagi lancar," tambahnya.

PERLUAS PENGGUNAAN GOVWALLET

Menyentuh tentang GovWallet, SNDGG menyatakan ia menjangkakan "lebih banyak agensi dan pengguna" akan memanfaatkannya.

“GovWallet meningkatkan dengan ketara pengalaman pengguna dengan mendigitalkan proses pengambilan baucar fizikal atau menebus kredit daripada skim pemerintah," menurut SNDGG.

Ia menarik perhatian bahawa proses yang mengambil beberapa langkah dengan lawatan fizikal kini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

GovWallet boleh disepadukan dengan aplikasi mudah alih dan wang serta kredit yang kemudian boleh digunakan di 164,000 peniaga berdaftar dengan mengimbas kod QR dengan PayNow.

Untuk menyediakan lebih banyak pilihan berbelanja bagi rakyat, pasukan GovWallet sedang menimbangkan untuk memanfaatkan ekosistem pembayaran NETS yang mempunyai lebih 120,000 tempat penerimaan merentasi 42,000 peniaga di Singapura, tambah SNDGG.

MEMPROMOSI PENYERTAAN DIGITAL

Berhubung penyertaan digital, kumpulan ciptaan bersama rakyat terdiri daripada duta Negara Bijak yang merupakan pemimpin masyarakat yang mewakili pelbagai kumpulan, termasuk golongan kurang upaya, keluarga berpendapatan rendah, warga emas, persatuan suku kaum serta perusahaan kecil dan sederhana (SME)

Sehingga kini, 15 kumpulan masyarakat seperti Lions Befrienders dan Persatuan Orang Kurang Upaya sudahpun mendaftar.

Kumpulan itu menyasarkan untuk mengadakan dua sesi dialog terbuka setahun.

Melalui perbincangan ini, para wakil akan memberikan maklum balas bagi pihak masyarakat yang diwakili supaya dasar dan khidmat digital pemerintah boleh menimbangkan keperluan masyarakat dari awal lagi, menurut SNDGG.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan