Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

App Moments of Life kini LifeSG; 'akses sehenti, diperibadikan' tawar lebih 40 khidmat

Dari mendaftarkan kelahiran anak hinggalah mengakses maklumat kelayakan bagi bantuan kewangan berkaitan COVID-19, aplikasi mudah alih Moments of Life sudahpun menyepadukan khidmat-khidmat daripada agensi-agensi pemerintah untuk menyokong keperluan rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
App Moments of Life kini LifeSG; 'akses sehenti, diperibadikan' tawar lebih 40 khidmat

(Aplikasi LifeSG. Gambar: GovTech)

Diterbitkan : 20 Aug 2020 09:03AM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 09:04AM

SINGAPURA: Dari mendaftarkan kelahiran anak hinggalah mengakses maklumat kelayakan bagi bantuan kewangan berkaitan COVID-19, aplikasi mudah alih Moments of Life sudahpun menyepadukan khidmat-khidmat daripada agensi-agensi pemerintah untuk menyokong keperluan rakyat bagi pelbagai peristiwa penting sejak pelancarannya pada Jun 2018.

Ia kini dijenamakan semula sebagai aplikasi LifeSG dan akan menyediakan pengguna dengan "akses sehenti lebih khusus" kepada lebih 40 perkhidmatan - naik daripada 12 - dengan menambah baik pengalaman mereka. Demikian menurut Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) pada Rabu (19 Ogos).

Antara khidmat-khidmat baru itu termasuk membuat tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), melunaskan bayaran perumahan dengan CPF serta memohon bagi pasport, tempat letak kenderaan tetap atau kad PAssion.

Antara muka baru itu akan memaparkan maklumat mengikut topik yang diminati seperti keluarga dan keibubapaan, pekerjaan dan pengambilan pekerja jagaan kesihatan, perumahan dan hartanah serta perkhidmatan digital lain yang sering digunakan, dengan lebih banyak perkhidmatan akan ditambah secara bertahap-tahap.

Sebuah papan pemuka yang dikhususkan memberi saranan mengenai kandungan dan panduan akses yang memudahkan proses seperti pencarian pekerjaan dan prasekolah. Rancangan akan datang ke atas papan pemuka itu adalah untuk menyediakan rakyat dengan gambaran umum tentang maklumat peribadi seperti butiran CPF, perumahan dan pendidikan mereka.

Pengguna juga boleh mengetahui tentang manfaat-manfaat pemerintah menerusi ciri-ciri seperti Kalkulator Sokongan Keluarga.

Aplikasi itu, yang dibangunkan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), juga akan meliputi janji temu perubatan dan sekolah akan datang selain mengingatkan pengguna untuk menyelesaikan permohonan penting seperti pendaftaran kelahiran, bonus bayi dan pendaftaran sekolah rendah.

Semua perubahan itu diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak Vivian Balakrishnan semasa satu sesi webinar bertajuk 'Putting People First in Tech Design'.

Sesi itu adalah sebahagian daripada perbincangan berterusan mengenai Negara Bijak, dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA), SNDGG yang merangkumi Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital - sebahagian daripada Pejabat Perdana Menteri - dan GovTech.

70 PERATUS PENDAFTARAN KELAHIRAN GUNAKAN APLIKASI

Apabila aplikasi itu pertama kali disediakan, tujuannya adalah untuk menyokong ibu bapa dengan anak-anak berusia bawah enam tahun. Ia mengurangkan masa yang diluangkan bagi pendaftaran kelahiran dan permohonan Bonus Bayi dari sejam kepada 15 minit, menurut pihak-pihak berkuasa.

Sedari itu, ciri-ciri baru ditambah ke dalam aplikasi tersebut secara bertahap-tahap untuk menyediakan khidmat kepada rakyat dalam aspek lain perjalanan kehidupan mereka. Ini termasuk sebuah modul penuaan aktif bagi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang dilancarkan pada September 2019. Baru-baru ini pula, satu panduan sokongan pengambilan pekerja bagi pemohon kerja dilancarkan pada Jun.

Setakat ini, aplikasi itu sudah dimuat turun lebih 165,000 kali dan membantu dalam pelbagai khidmat seperti pendaftaran tujuh daripada 10 bayi tempatan yang baru lahir; pemeriksaan kelayakan bagi lebih 30 jenis geran dan bantuan COVID-19; serta akses kepada e-kad Generasi Merdeka dan maklumat mengenai manfaat peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutif GovTech Kok Ping Soon berkata aplikasi yang dikemas kini itu mengandungi ciri-ciri "tepat pada masanya" bagi mereka yang memerlukan bantuan di tengah-tengah pandemik COVID-19. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan