Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

App ICA sediakan lebih banyak e-khidmat termasuk permohonan NRIC, pasport

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Mar 2022 08:16PM Dikemas Kini : 03 Mar 2022 09:43PM

SINGAPURA: Orang awam kini boleh memohon untuk kad pengenalan (NRIC) dan pasport serta melanjutkan pas lawatan mereka melalui aplikasi mudah alih MyICA menjelang tahun ini.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) juga akan menyediakan lebih banyak dokumen digital dan membolehkan pengguna membuat permohonan dokumen secara digital, termasuk sijil kelahiran dan kematian, pas lawatan jangka panjang serta pas pelajar.

"Ini akan membuat proses permohonan digital sepenuhnya dan kita tidak perlu lagi khuatir tentang kehilangan dokumen penting seumpama itu," Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo memberitahu Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementerian beliau pada Khamis (3 Mac).

"Ini juga dapat menjimatkan masa perjalanan dan mengambil dokumen fizikal di bangunan ICA."

Namun begitu, Cik Teo berkata kad pengenalan dan pasport akan kekal sebagai dokumen fizikal kerana undang-undang semasa masih memerlukan IC diserahkan secara fizikal dalam persekitaran tertentu manakala pasport perlu mematuhi piawaian antarabangsa.

Khidmat baru itu diumumkan ketika Home Team mempercepatkan pendigitalan khidmatnya untuk mengurangkan tempat sentuhan fizikal selain menjangkaui lebih ramai rakyat Singapura dengan selamat lagi mudah di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Di pusat imigresen Singapura, ICA akan memperkenalkan sebuah inisiatif tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pelawat yang layak untuk menggunakan kemudahan pelepasan automatik tanpa membuat permohonan terlebih dahulu.

Cik Teo menekankan bahawa kumpulan lebih besar pelawat yang layak untuk kemudahan pelepasan automatik tidak akan membawa kepada masa pelepasan yang lebih lama bagi rakyat Singapura.

Beliau menarik perhatian bahawa laluan automatik memakan kurang separuh daripada masa yang diambil bagi pelawat melepasi kastam berbanding kaunter manual.

GRID SENSOR HAZMAT BARU

Home Team juga menggunakan teknologi baru untuk meningkatkan keberkesanan operasinya.

Sebagai contoh, dalam beberapa tahun akaan datang, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan menggunakan sebuah alat grid sensor bahan berbahaya di seluruh negara untuk membolehkan pengesanan awal bahan berbahaya.

"Dengan pengesanan awal, SCDF boleh mengerahkan sumber-sumber dengan pantas untuk menyiasat dan mengurus keadaan," kata Cik Teo.

"Pengurusan kejadian yang melibatkan bahan berbahaya adalah penting kerana bahan-bahan ini membawa risiko ketara kepada kesihatan masyarakat awam, harta benda dan alam sekitar".

Cik Teo juga memberikan kemas kini mengenai usaha polis untuk memasang lebih 200,000 kamera menjelang 2030 bagi meningkatkan tindak balas jenayah, pertama kali diumumkan di Parlimen pada Ogos lalu.

Setakat hujung 2021, polis sudah selesai memasang 90,000 kamera di blok-blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tempat letak kenderaan bertingkat, pusat bandaran, pusat kejiranan dan pusat penjaja, kata Cik Teo.

Beliau menambah pemasangan kamera akan terus diperluaskan untuk meliputi lebih banyak ruang awam dan kawasan kejiranan.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan