Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

App baru bantu pengguna kerusi roda cari laluan bebas hadangan

Satu aplikasi untuk membantu para pengguna kerusi roda sedang diusahakan.

Anggaran Waktu Membaca:
App baru bantu pengguna kerusi roda cari laluan bebas hadangan

Sensor akan dipasang pada kerusi roda untuk mengenal pasti laluan bebas hadangan. (Gambar: Wendy Wong)

Diterbitkan : 10 Feb 2018 03:01PM Dikemas Kini : 10 Feb 2018 03:04PM

SINGAPURA: Satu aplikasi untuk membantu para pengguna kerusi roda sedang diusahakan.

Ia bertujuan untuk menjejak laluan-laluan bebas hadangan di kawasan perumahan awam.

Aplikasi itu juga akan dapat mengesan laluan paling singkat untuk para penduduk berkerusi roda bergerak. Ia akan dirintis di Bukit Panjang, di mana aplikasi tersebut dilancarkan hari ini (10 Feb).

Dihasilkan oleh pertubuhan kajian dan teknologi bukan untuk mencari untung Trampolene dan juga Universiti Pengurusan Singapura (SMU), aplikasi SmartBFA itu akan memanfaatkan data yang dikumpulkan daripada para sukarelawan untuk menjejak lokasi-lokasi bebas hadangan di lebih 400 blok di merata Bukit Panjang.

KEMUDAHAN BEBAS HADANGAN PENTING DI S'PURA

Mulai April, sekumpulan 20 sukarelawan akan direkrut setiap dua bulan untuk terlibat sama dalam usaha tersebut, menerusi penggunaan teknologi data yang mengenal pasti lokasi (geotagging) dan sensor masa nyata yang dipasang pada kerusi roda.

Kajian itu akan mengumpulkan data daripada 260 penduduk Bukit Panjang sehingga bulan Jun 2019, sebelum mula memasarkan aplikasi tersebut.

"Kami tahu terdapat banyak aplikasi seumpama itu yang dijadikan panduan bagi orang-orang yang boleh berjalan seperti biasa dan kami bertanya kepada diri sendiri mengapa tiada aplikasi untuk mereka yang memerlukan laluan bebas hadangan," kata ketua kajian tersebut, Dr Liang Huiguang.

"Oleh itu kami berpendapat memandangkan kami mengetahui cara-caranya, mengapa tidak ia diusahakan bersama."

Menekankan faktor penduduk Singapura yang semakin menua, kemudahan-kemudahan bebas hadangan begitu penting untuk para penduduk yang mengalami masalah pergerakan, kata Anggota Parlimen SMC Bukit Panjang, Dr Teo Ho Pin.

"Walaupun kami sudah membangunkan kemudahan-kemudahan bebas hadangan di semua kawasan, kadangkala terdapat kawasan yang masih boleh dipertingkat, khususnya di Bukit Panjang kerana kawasan ini agak berbukit dan mencabar bagi penduduk yang mengalami pelbagai isu pergerakan."

Dr Teo menambah: "Jadi apa yang mahu kami lakukan adalah mengumpulkan data seluruh bandar ini, kenal pasti semua laluan bebas hadangan dan ketahui di manakah kekurangan-kekurangan bagi kemudahan bebas hadangan, yang boleh kami pertingkat di Bukit Panjang.

"Dari itu, kami akan dapat melihat bagaimana kami boleh membantu para penduduk untuk mencari laluan paling singkat dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain di bandar ini.

"Jika kami boleh jadikan Bukit Panjang sebuah bandar bebas hadangan dan dengan bantuan aplikasi itu untuk ke sana dan ke mari, saya rasa kami boleh berkongsi pengalaman kami dengan majlis-majlis bandaran lain."

PEJALAN KAKI TIDAK BERI LALUAN

Sekalipun begitu, seorang pengguna kerusi roda berkata walaupun aplikasi tersebut akan dapat membantu mereka, ia masih sesuatu yang mencabar untuk memastikan para pejalan kaki memberi laluan kepada mereka.

"Sukar untuk bergerak di bandar ini kerana terdapat begitu ramai orang," kata Encik Kamarudin Bin Mohd Noor, 57 tahun.

"Aplikasi itu membantu saya untuk bergerak tetapi sesetengah orang tidak memberi laluan, itulah masalahnya."

Pasukan yang menerajui kajian tersebut menerima dana sebanyak S$700,000 dari Tote Board awal tahun ini.

Ini setelah pasukan itu membuat permohonan bagi mendapatkan geran SG Enable, iaitu sebuah agensi yang dikhususkan untuk memperkasa golongan kurang upaya.

Pasukan itu merancang untuk menggabungkan data-data dari sumber lain seperti telefon bimbit, dengan tujuan menyediakan khidmat pemetaan kepada majlis-majlis bandaran dan memperluas khidmatnya seperti Google Maps pada masa akan datang, menurut Dr Liang.

Aplikasi itu boleh dimuat turun percuma oleh para pengguna Android dan iOS dalam tempoh antara enam dengan lapan bulan. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan