Skip to main content

Singapura

App bagi lebihan makanan berdepan cabaran masa, jarak & kemudahan untuk padankan hidangan dengan pengguna

Anggaran Waktu Membaca:
App bagi lebihan makanan berdepan cabaran masa, jarak & kemudahan untuk padankan hidangan dengan pengguna

Ilustrasi pengguna yang menggunakan app bagi lebihan makanan. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 28 Oct 2026 10:38AM Dikemas Kini : 28 Oct 2026 10:48AM
Surplus food apps face challenges with timing, distance and amenities in matching meals with users
  • Singapore’s Parliament passed a motion last month to strengthen community cooperation in reducing food waste; the country generated 790,000 tonnes of waste in 2025.
  • Apps such as Yindii and Treatsure sell surplus food at a discount, while Olio and GoodHood.SG distribute it for free; FoodToo ceased operations at the end of March.
  • The growth of Treatsure, Yindii and GoodHood.SG points to growing acceptance, but all the platforms face challenges including mismatches between supply and demand, distance, collection times, user preferences and the cost of scaling up.
  • Experts said discounted food is not necessarily food that has truly been saved from waste; preventing surplus should be the priority, followed by sales, community distribution, reuse and, as a last resort, disposal.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pertimbangan dari segi masa, jarak dan kemudahan merupakan antara cabaran yang dihadapi aplikasi makanan yang cuba mengelakkan makanan yang masih boleh dimakan daripada dibazirkan.

Pengguna mengambil kira faktor-faktor tersebut sebelum memutuskan sama ada berbaloi untuk mengambil makanan berkenaan.

Bulan lalu, Parlimen meluluskan satu usul yang dibentangkan Jawatankuasa Pemerintah Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Kemampanan dan Sekitaran, yang menggesa usaha dipertingkat untuk mengurangkan pembaziran makanan dan memperkukuh daya tahan makanan Singapura.

Antara cadangannya adalah untuk memperkukuh kerjasama dengan masyarakat bagi mengurangkan pembaziran makanan.

Pada 2025, Singapura menghasilkan sejumlah 790,000 tan sisa makanan, bersamaan purata kira-kira 128 kilogram sisa makanan bagi setiap orang setahun.

Usaha menyelamatkan makanan secara tradisinya diterajui para sukarelawan. Namun, kira-kira sedekad lalu, aplikasi yang membantu perniagaan menjual makanan pada harga diskaun mula muncul di Singapura.

Platform seperti Yindii dan Treatsure menyediakan saluran sedemikian kepada perniagaan, manakala aplikasi seperti Olio dan GoodHood.SG memudahkan pengagihan semula makanan serta barangan lain secara percuma kepada penerima.

Aplikasi dalam bidang ini melaporkan pertumbuhan ketara, namun berdepan cabaran sama untuk berkembang pada skala lebih besar disebabkan oleh ketidakpadanan antara permintaan dengan bekalan, termasuk dari segi lokasi dan waktu makanan tersedia.

KEMUDAHAN JADI FAKTOR UTAMA

Pengendali makanan dan minuman juga boleh menyenaraikan makanan di FoodToo dalam tempoh pengambilan yang ditetapkan apabila mereka menjangkakan terdapat lebihan makanan, seperti selepas waktu sarapan atau makan tengah hari.

“(Orang ramai) semua mahukan peniaga yang berdekatan dengan rumah atau pejabat, diskaun yang sangat besar dan waktu pengambilan yang sangat mudah,” kata pengasasnya Kelvin Yap.

Namun, cabaran tersebut terlalu besar untuk diatasi FoodToo, yang mula menghentikan operasinya secara berperingkat pada akhir Mac, kurang setahun selepas dilancarkan secara rasmi. Platform itu kini tidak lagi beroperasi.

Encik Yap, yang mula membangunkan platform itu pada 2024, berkongsi cabaran yang menghalang aplikasi tersebut daripada mendapat sambutan lebih meluas.

Menjelang akhir operasinya, FoodToo mempunyai kira-kira 2,200 pengguna dan sekitar 65 peniaga, terdiri daripada kedai makan, penjaja dan kedai roti, namun jumlah itu masih tidak mencukupi.

Usaha mendapatkan rangkaian kedai dan francais lebih besar untuk menyertai platform turut menjadi cabaran kerana mereka sering memerlukan aplikasi tersebut disepadukan dengan sistem dan aliran kerja masing-masing.

Keadaan itu juga menyebabkan pilihan yang tersedia berhampiran pelanggan terhad, sekali gus mengurangkan jumlah urus niaga.

Masa dan jarak turut menjadi masalah kerana pengguna biasanya tidak memilih melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan makanan yang hanya tersedia pada lewat hari.

“Kalau sudah pukul 9.00 malam, anda hanya akan pergi ke tempat seperti di bawah blok rumah, bukan? Tempat yang sangat dekat. Anda tidak akan pergi jauh. Tidak lebih daripada satu perhentian bas. Penanda aras kami ialah satu perhentian bas,” katanya.

“Di situlah kami mendapati pengguna mula tidak meneruskan pembelian.”

Satu lagi platform serupa yang berjaya berkembang pada skala lebih besar ialah Yindii, yang diasaskan di Bangkok dan dilancarkan di Singapura pada Ogos 2024.

Perniagaan menyenaraikan makanan yang tidak terjual dalam “beg kejutan” pada harga diskaun dan pelanggan boleh mengambilnya dalam tempoh yang ditetapkan.

Aplikasi itu mempunyai sekitar 250,000 pengguna pada akhir 2025 dan hampir 400,000 pengguna menjelang September tahun ini, kata Ketua Perkongsian Yindii, Terry Quek.

Sekitar 60 peratus pengguna membuat pembelian berulang dan kumpulan itu menyumbang kira-kira 95 peratus daripada semua tempahan.

Namun, Yindii turut berdepan cabaran memadankan bekalan dengan permintaan di kawasan tertentu.

“Lokasi yang lebih baik ialah tempat yang mudah dikunjungi dan berdekatan stesen MRT. Lokasi seperti itu sudah tentu mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencatat kadar jualan habis yang lebih tinggi.

“Bagi lokasi yang lebih terpencil dan memerlukan pengguna memandu ke sana, sudah tentu kadar penjualan habis lebih rendah,” kata Encik Quek.

Yindii kini menjalankan percubaan khidmat penghantaran baharu, Yindii Drop, yang membolehkan produk lebihan dengan jangka hayat lebih panjang dihantar kepada pelanggan.

Profesor Strategi dan Kemampanan Universiti James Cook, Adrian Kuah, berkata faktor kemudahan serta keperluan mencapai skala dan kepadatan rangkaian yang mencukupi merupakan antara cabaran utama platform tersebut.

Walaupun Singapura mempunyai kepadatan penduduk tinggi yang boleh menyokong pengangkutan cekap, pasaran domestiknya masih kecil. Justeru, sesebuah platform memerlukan penyertaan besar daripada peniaga dan pengguna untuk menjana jumlah urus niaga yang mencukupi.

Walaupun pengguna mungkin menyokong usaha mengurangkan pembaziran makanan, mereka mungkin masih keberatan untuk melakukan perjalanan jauh, menerima waktu pengambilan yang kurang sesuai, berdepan ketidakpastian mengenai makanan yang tersedia atau membeli makanan yang dianggap kurang segar.

“Kemudahan kepada pengguna – khususnya lokasi, waktu pengambilan, pilihan dan tanggapan terhadap mutu makanan – oleh itu merupakan faktor penting yang menentukan permintaan pengguna,” kata Prof Kuah.

JUMLAH PENGGUNA SEMAKIN MENINGKAT

Treatsure, yang menghubungkan pengguna dengan hotel dan kedai runcit yang mempunyai lebihan makanan, menyatakan pengguna dan perniagaan secara umumnya semakin terbuka terhadap konsep tersebut, seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan kadar pengambilan makanan.

Treatsure terkenal dengan konsep “bufet dalam kotak”, yang membolehkan pengguna membayar untuk sebuah kotak dan mengisinya dengan makanan daripada bufet hotel sejurus sebelum bufet berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap pengasas bersama Treatsure, Preston Wong, berkata pada tahun-tahun awal aplikasi itu antara 2017 dengan 2018, ia mempunyai beberapa ribu pengguna dan secara purata sekitar 10 hingga 20 peratus makanan diambil pengguna.

Hampir sedekad kemudian, sesetengah cawangannya kini kerap mencatat kadar pengambilan antara 70 dengan 100 peratus.

Encik Wong berkata jumlah pengguna Treatsure meningkat 81 peratus pada 2025.

“Kami menganggarkan sekurang-kurangnya satu daripada empat merupakan pengguna berulang dan secara purata, setiap pengguna aktif membeli lebihan makanan daripada kami sekurang-kurangnya dua hingga empat kali sebulan,” katanya.

Menurut Encik Wong, roti dan makanan yang sudah dimasak biasanya lebih banyak tersedia menjelang waktu perniagaan ditutup, tetapi kurang tersedia pada waktu pagi, kecuali di hotel yang menyediakan roti dan pastri untuk sarapan.

Waktu lebihan makanan tersedia juga berbeza mengikut lokasi. Lebihan makanan muncul lebih awal di kawasan seperti Raffles Place atau Changi Business Park berbanding kawasan perumahan kerana sesetengah premis di kawasan tersebut ditutup lebih awal.

Prof Kuah berkata bekalan lebihan makanan yang sukar diramal dan nilai urus niaga yang agak rendah turut menjadi cabaran perniagaan.

Kos seperti tenaga kerja, pembungkusan, teknologi, pembayaran dan logistik boleh dengan cepat mengatasi sebarang margin keuntungan yang ada, katanya.

BAGAIMANA PULA DENGAN MAKANAN PERCUMA?

Cabaran memadankan bekalan dengan permintaan turut dihadapi aplikasi yang menawarkan makanan secara percuma.

Olio, aplikasi yang memudahkan pengagihan semula makanan secara percuma dan sudah tersedia di Singapura selama lebih lapan tahun, berkata permintaan terhadap makanan adalah “sangat tinggi”.

Lebih 200,000 orang sudah menyertai aplikasi itu di Singapura, dengan sekitar 15,000 menggunakannya sepanjang bulan lalu.

Permintaan dan bekalan juga tidak semestinya tertumpu di kawasan yang sama.

Jurucakap itu memberitahu Mediacorp bahawa Bukit Timah, Tengah, Sembawang dan Novena merupakan antara kawasan yang mempunyai lebih banyak makanan ditawarkan berbanding jumlah orang yang mengambilnya.

Sebaliknya, Ang Mo Kio, Kallang dan Jurong West mencatat “permintaan yang sangat tinggi berbanding bekalan”, dengan setiap penyenaraian sering menerima permintaan daripada sehingga lima orang.

Olio turut menyediakan slot untuk sukarelawan mengambil makanan daripada gerai makanan dan minuman sebelum menyenaraikannya dalam aplikasi untuk diambil orang lain.

GoodHood.SG, aplikasi masyarakat yang memberi tumpuan utama kepada perkongsian barangan secara percuma dan tidak berorientasikan keuntungan, menyatakan sekitar 300 pengguna memberikan atau mengambil makanan menerusi platformnya pada 2021.

Menjelang 2025, sekitar 8,000 pengguna berkongsi makanan secara tetap.

Platform itu menganggarkan lebih 10,000 orang terlibat jika pengagihan semula seterusnya turut diambil kira, kata pengasasnya Nigel Teo.

Sekitar 74 peratus merupakan pengguna berulang. Produk bakeri dan pencuci mulut merupakan makanan yang paling kerap diberikan secara percuma, diikuti makanan siap dimasak serta buah-buahan dan sayur-sayuran.

GoodHood.SG bekerjasama dengan D2L.sg, sebuah perusahaan sosial teknologi yang memberi tumpuan kepada kerjasama dengan pembekal dan sukarelawan penyelamat makanan, manakala GoodHood.SG menyediakan teknologi serta masyarakat bagi tujuan pengagihan semula.

Prof Kuah berkata aplikasi perkongsian percuma dan platform yang menjual makanan pada harga diskaun memainkan peranan berbeza dalam ekosistem tersebut.

Platform perkongsian percuma memudahkan pengagihan semula antara pengguna dengan menyediakan teknologi yang membolehkan makanan yang diselamatkan diagihkan dengan pantas di peringkat setempat.

Platform yang menjual makanan pada harga diskaun pula berpotensi mendapatkan semula nilai ekonomi daripada makanan tersebut.

ADAKAH MAKANAN BENAR-BENAR DISELAMATKAN?

Satu lagi cabaran dalam mengukur kesan aplikasi sedemikian adalah untuk menentukan sama ada makanan yang dijual menerusinya benar-benar akan dibuang jika tidak dibeli.

Pengasas D2L.sg, Lin Qinghui, membezakan platform berdasarkan peringkat makanan itu diagihkan semula dan bukannya sama ada pengguna perlu membayar untuk mendapatkannya.

Menurut beliau, di platform seperti Yindii dan Treatsure, makanan masih mempunyai nilai ekonomi kepada perniagaan dan masih ditawarkan untuk dijual.

Sebaliknya, Olio dan GoodHood.SG mengagihkan semula makanan yang tidak lagi mempunyai nilai ekonomi kepada perniagaan yang menyediakannya.

Dari sudut itu, makanan yang dijual pada harga diskaun menerusi aplikasi tidak semestinya boleh dianggap sebagai makanan yang “diselamatkan” kerana sukar untuk mengetahui apa yang akan berlaku pada makanan tersebut jika tidak dijual menerusi khidmat aplikasi sedemikian.

Cik Lin menyifatkan platform tersebut sebagai saluran tambahan bagi perniagaan mempromosikan makanan pada harga diskaun kepada pengguna, khususnya mereka yang lebih mengambil berat tentang kemampanan.

“Masalahnya ialah mereka masih beroperasi dalam waktu perniagaan, jadi sangat sukar untuk mengatakan bahawa pembaziran makanan dikurangkan disebabkan aplikasi atau platform ini,” kata Cik Lin.

Beliau menambah bahawa aplikasi tersebut kelihatan lebih banyak membantu perniagaan mengelakkan lebihan makanan daripada menjual makanan yang benar-benar sudah menjadi lebihan.

Lebihan makanan daripada perniagaan merujuk kepada makanan yang masih tidak terjual atau tidak dimakan selepas waktu operasi, yang mungkin berpunca daripada pengeluaran berlebihan atau permintaan lebih rendah.

“Saya rasa tepat untuk mengatakan bahawa mereka berpotensi membantu mengurangkan pembaziran, tetapi tidak begitu tepat untuk mengatakan bahawa mereka benar-benar menyelamatkan makanan tersebut,” katanya.

Sesuatu hidangan yang dijual menerusi aplikasi mungkin akhirnya dibazirkan, tetapi ia juga mungkin dibeli pelanggan lain, kata Cik Lin.

Pengalamannya bersama D2L.sg turut menunjukkan kesukaran untuk memperluas usaha mengalihkan sisa makanan kepada kegunaan lain.

D2L.sg pada mulanya bermula sebagai kumpulan penyelamat makanan yang dikendalikan sukarelawan sebelum dijadikan sebuah syarikat secara rasmi bagi membolehkan ia bekerjasama lebih rapat dengan perniagaan dan menjadi lebih mampan dari segi kewangan.

D2L.sg kini menyifatkan dirinya sebagai pengurus sisa makanan yang menggunakan teknologi dan data untuk membantu perniagaan menjejaki sisa mereka serta menyalurkan pelbagai jenis sisa kepada kegunaan yang paling sesuai.

Ia turut menyediakan data kepada pelanggan mengenai bagaimana dan di mana sisa makanan mereka dihasilkan, yang boleh membantu mereka mengenal pasti cara untuk mencegah pembaziran.

Prof Kuah juga meletakkan platform-platform tersebut pada peringkat berbeza dalam satu “rantaian” lebihan makanan yang lebih luas, dengan pencegahan lebihan makanan kekal sebagai keutamaan.

Jika masih terdapat lebihan makanan yang boleh dimakan, platform yang menjual makanan pada harga diskaun boleh “mewujudkan pasaran peringkat kedua” dengan menghubungkan perniagaan dengan pengguna, katanya.

Makanan yang tidak dapat dijual dengan mudah kemudian boleh diagihkan semula menerusi badan amal, bank makanan dan rangkaian masyarakat.

Makanan yang tidak lagi sesuai dimakan pula boleh dialihkan kepada kegunaan lain, termasuk dijadikan kompos, manakala pelupusan melalui pembakaran menjadi pilihan terakhir.

Namun, walaupun makanan berjaya diagihkan semula, pengalaman platform-platform ini menunjukkan bahawa mencari individu yang sanggup mengambil makanan tersebut hanyalah satu daripada pelbagai cabaran yang perlu ditangani.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita