Aplikasi TraceTogether dikemas kini; papar status vaksinasi, ujian di skrin daftar masuk
Versi aplikasi TraceTogether yang dikemas kini akan memaparkan status vaksinasi dan ujian COVID-19 individu di skrin utama daftar masuk, umum GovTech pada Khamis (11 Nov).

Contoh pas hijau dengan gambar memerang (kiri) dan pas putih bagi SafeEntry di aplikasi TraceTogether yang dikemas kini. (Gambar: GovTech)
SINGAPURA: Versi aplikasi TraceTogether yang dikemas kini akan memaparkan status vaksinasi dan ujian COVID-19 individu di skrin utama daftar masuk, umum GovTech pada Khamis (11 Nov).
Kemas kini tersebut disediakan bagi mereka yang menggunakan versi 2.11 dan ke atas, menurut GovTech, dalam satu catatan di laman TraceTogether.
Dengan perubahan itu, pengguna tidak perlu kembali ke skrin utama aplikasi tersebut apabila diminta untuk menunjukkan maklumat tersebut.
Versi dikemas kini itu akan membantu mempercepatkan proses kemasukan ke tempat-tempat yang mensyaratkan pemeriksaan status, menurut GovTech dalam catatan di Facebook.
Apabila pengguna aplikasi menunjukkan mereka sudah lulus pemeriksaan status vaksinasi dan ujian, gambar seekor memerang dengan latar belakang hijau akan terpapar di skrin daftar masuk SafeEntry berwarna hijau.
Bagi mereka yang tidak divaksin dan tidak mempunyai status ujian yang lulus, skrin putih akan muncul. Skrin putih itu juga akan terpapar bagi mereka yang melakukan pendaftaran masuk secara berkumpulan.
Pas hijau atau putih itu hanya akan terpapar apabila anda mendaftar masuk melalui QR atau 'Favourites', menurut GovTech.
Seperti versi aplikasi yang sebelumnya, pendaftaran masuk yang dilakukan dengan meletakkan aplikasi itu pada Kotak Gerbang SafeEntry atau Aplikasi Perniagaan SafeEntry tidak akan mengeluarkan paparan pas tersebut.
“Pas hijau dan putih itu direka bentuk untuk membolehkan kemasukan lebih pantas ke tempat-tempat dengan pemeriksaan status vaksinasi atau ujian dan ia disediakan dalam versi aplikasi 2.11 dan ke atas," menurut GovTech.
“Di tempat-tempat tanpa pemeriksaan status vaksinasi atau ujian, pengguna boleh masuk tanpa mengambil kira pas hijau atau putih mereka."
Perubahan terbaru ini melibatkan hanya pas pendaftaran masuk dan tiada perbezaan bagi pas pendaftaran keluar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.