Skip to main content

Singapura

Aplikasi 'My House of Memories' cetuskan kenangan bagi pesakit dimensia

Buat masa ini, belum ada ubat yang dapat menyembuhkan demensia. Namun, kisah dan kenangan lama yang unik boleh mencetuskan ingatan penderita demensia.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Sep 2020 09:17PM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 09:20PM

BERITAmediacorp: Buat masa ini, belum ada ubat yang dapat menyembuhkan demensia.

Namun, kisah dan kenangan lama yang unik boleh mencetuskan ingatan penderita demensia.

Itulah yang dilakukan Lembaga Warisan Negara (NHB) menerusi aplikasi digital baru mesra demensia yang mengandungi gambar dan bunyi-bunyian kenangan masa lalu.

Aplikasi itu dihasilkan dengan kerjasama Muzium Negara Liverpool dan British Council.

BARANGAN PERIBADI MASIH TERSIRAT DI DALAM MINDA

Lebih 100 gambar dimuatkan dalam aplikasi 'My House of Memories', yang dibahagikan kepada enam tema termasuk 'Pesta dan Acara Istimewa' 'Makanan dan Minuman' serta 'Barangan di Rumah'.

Gambar-gambar yang diselitkan dalam tema 'Barangan di Rumah' misalnya termasuk mesin jahit baju jenama Singer serta televisyen hitam putih pertama yang dihasilkan di Singapura pada tahun 1964.

Para pengguna aplikasi itu juga dapat membuat album peribadi yang dekat di hati masing-masing. Mereka boleh mengambil gambar objek, orang, tempat dan aktiviti, lalu memuat naiknya ke aplikasi tersebut.

Bagi Encik Rosd Mohd Yusuf, 72 tahun, basikal miliknya dahulu menjadi kenangan yang masih tersirat di dalam ingatannya.

Beliau berkata: "Dulu kecil-kecil ada naik basikal begini. Pergi sekolah pakai basikal, jauh naik basikal. Cerita lama di kampung."

"Kita dari zaman dulu, 40, 50 tahun dulu. Kalau di kampung barang macam basikal saya digunakan untuk membawa ubi, ubi kayu. Sampai 200 kilogram ubi kayu. Pikul macam ini untuk dijual. Kampung saya dulu banyak ubi kan. Sekarang dah tidak ada," tambahnya mengimbau kembali hidup di kampung.

APLIKASI SEPERTI TRIVIA MINDA

Setiap gambar yang dimuatkan dalam aplikasi itu sedikit sebanyak dapat membuat golongan yang menghidap demensia mengingatkan mereka kepada kenangan-kenangan masa lalu.

Setakat ini, lebih 40 warga emas dari khidmat sosial NTUC Health sudahpun diajak menggunakan aplikasi 'My House of Memories'.

Pusat jagaan harian bagi warga emas itu mendapati aplikasi tersebut tepat pada masanya, lebih-lebih lagi di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Lebih banyak sokongan akan disediakan agar lebih ramai warga emas dapat menggunakan aplikasi tersebut.

Penggunaannya bagi semua penduduk sedang dilakukan secara bertahap-tahap menjelang tahun depan manakala penterjemahan aplikasi tersebut dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil sedang diusahakan bersama British Council.  

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita