Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aplikasi Fin Finder kenal pasti sirip jerung; bantu kekang perdagangan haram hidupan liar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penyokong pemuliharaan dan pegawai kastam kini mempunyai satu aplikasi mudah alih untuk membantu mereka menjejaki sirip ikan jerung yang diseludup merentasi sempadan antarabangsa secara haram.

Aplikasi Fin Finder, yang dibangunkan bersama oleh Lembaga Taman Negara (NParks), Microsoft dan Conservation International, menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengenal pasti spesies jerung dan pari dengan mengimbas siripnya. 

Terdapat kira-kira 1,000 spesies jerung dan pari di dunia. Daripada jumlah itu, 30 spesies disenaraikan sebagai terancam dan perdagangannya dikawal selia. 

Di Singapura, lebih 160,000 kilogram (kg) sirip daripada spesies jerung dan pari terancam yang disenaraikan dalam Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesis Flora dan Fauna Terancam (CITES) sudah masuk ke sempadan negara antara 2012 hingga 2020, menurut NParks.

Jumlah itu membentuk sekitar 9 peratus daripada perdagangan sejagat. Kebanyakan penghantaran  sirip-sirip ikan tersebut melalui Singapura untuk ke bahagian Asia yang lain.

Buat masa ini, pegawai daripada NParks dan pusat pemeriksaan mengambil sekitar seminggu untuk mengenal pasti spesies sirip dalam setiap penghantaran. Mereka harus menilainya berdasarkan senarai-senarai kertas dan menghantarnya untuk ujian DNA. 

Dengan aplikasi baru itu, mereka hanya memerlukan beberapa saat sahaja untuk mengenal pasti sirip-sirip haram. 

Para pegawai akan mengambil gambar sirip dan memadankannya dengan pangkalan data lebih 15,000 gambar sirip jerung dan pari dengan menggunakan algoritma yang dipacu AI dalam aplikasi tersebut. 

Mereka kemudian boleh mengenal pasti dan merujuk penghantaran sirip yang mencurigakan untuk ujian DNA selanjutnya.

Encik Eric Fegraus, pengarah kanan teknologi pemuliharaan di Conservation International, berkata cabaran utama yang dihadapi oleh pegawai pemeriksa kastam di seluruh dunia adalah untuk 
mengenal pasti beribu-ribu spesies haiwan. 

"Ini adalah satu cabaran yang amat besar tetapi ia juga adalah peluang untuk memanfaatkan teknologi bagi membuat satu perubahan," kata beliau semasa sidang media pada Selasa (7 Jun).

Dr Adrian Loo, pengarah kumpulan pengurusan hidupan liar di NParks, berkata aplikasi Fin Finder boleh membantu mengukuhkan penguatkuasaan terhadap perdagangan haram spesies jerung dan pari serta meningkatkan keupayaan Singapura dalam memulihara biodiversiti.

"Aplikasi tersebut buat masa sekarang hampir 90 peratus tepat dan ini akan bertambah baik lagi apabila pengguna memuatnaikkan lebih banyak gambar ke aplikasi tersebut, lantas membolehkan algoritma itu "belajar" gambar-gambar tersebut," kata Cik Dhanushri Munasinghe, penyelaras projek di Conservation International Singapore.

Terdapat rancangan untuk membolehkan lebih ramai orang menggunakan aplikasi tersebut termasuk saintis, pemeriksa dan penyokong pemuliharaan dari negara-negara lain. 

Cik Munasinghe berkata pasukan tersebut juga akan mengumpul maklum balas daripada pengguna untuk meningkatkan ciri-ciri yang disediakan dalam aplikasi itu. 

Aplikasi tersebut, kini dalam mod beta, dibangunkan dalam tempoh sembilan bulan. 

Pembangunan aplikasi itu diketuai oleh sebuah pasukan yang berpangkalan di Singapura. Ia disokong oleh para pakar dalam bidang pemuliharaan dan teknologi, dengan sumbangan sumber, data dan relawan daripada Microsoft, Conservation International, NParks, Sineurope, Rumah Foundation, Coastal Natives serta Wild Me.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan