Skip to main content

Singapura

Aplikasi dipasang pada peranti pelajar tidak jejak maklumat peribadi: MOE

Aplikasi pengurusan peranti (DMA) yang dipasang pada peranti pelajar tidak menjejaki maklumat peribadi seperti lokasi, nombor pengenalan atau kata laluan mereka, kata Kementerian Pendidikan (MOE).

Anggaran Waktu Membaca:
Aplikasi dipasang pada peranti pelajar tidak jejak maklumat peribadi: MOE
Diterbitkan : 01 Feb 2021 02:44PM Dikemas Kini : 01 Feb 2021 02:47PM

SINGAPURA: Aplikasi pengurusan peranti (DMA) yang dipasang pada peranti pelajar tidak menjejaki maklumat peribadi seperti lokasi, nombor pengenalan atau kata laluan mereka, kata Kementerian Pendidikan (MOE).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, kementerian itu menyatakan, aplikasi tersebut bagaimanapun akan merakam data mengenai kegiatan online pelajar seperti sejarah carian web untuk "menyekat akses kepada bahan yang tidak elok". Ia juga akan merakam maklumat peranti seperti sistem operasi untuk "memudahkan penyelesaian masalah".

MOE memberi respons itu menyusuli satu petisyen online oleh seorang pelajar yang mahu menghalang MOE daripada memasang DMA. Petisyen itu menyatakan bahawa para pelajar tidak berpuas hati mereka perlu memasang aplikasi itu pada peranti mereka, atas esbab "keperluan melindungi privasi kami".

"Ini juga mungkin mendedahkan maklumat dan data ramai pelajar kepada risiko penggodaman, kerana mereka boleh mendapat akses kepada data dengan mudah jika program tersebut dicerobohi," menurut petisyen itu, yang telah mengumpulkan lebih 6,000 tanda tangan dalam seminggu.

Pada bulan Mac tahun lalu, pengumuman dibuat bahawa semua pelajar Menengah 1 akan memiliki alat pembelajaran peribadi yang ditetapkan sekolah pada tahun 2024 di bawah program celik digital nasional yang baru. Para pelajar sekolah menengah yang lain akan mempunyai alat sedemikian pada tahun 2028.

Selepas penularan COVID-19 apabila para pelajar beralih ke pembelajaran dalam talian dari rumah dalam tempoh "pemutus litar" Singapura, rancangan ini dikemukakan. Semua pelajar sekolah menengah akan diberikan komputer riba atau tablet peribadi menjelang tahun ini.

PELAKSANAAN BERDASARKAN MAKLUM BALAS IBU BAPA, GURU

Encik Aaron Loh, pengarah divisyen teknologi pendidikan MOE, berkata bahawa semasa ujian perintis peranti pembelajaran peribadi pada 2019 di sekolah-sekolah menengah terpilih, DMA dipasang dalam peranti tersebut.

"Ibu bapa dan guru kemudian mengesahkan manfaat dan keperluan untuk DMA. Khususnya, DMA membolehkan para guru mempunyai kawalan yang sewajarnya untuk menguruskan penggunaan peranti pelajar di bilik darjah," katanya.

"Ibu bapa juga diberi keyakinan bahawa DMA boleh mengatasi keprihatinan mereka mengenai akses kepada kandungan yang tidak diingini dalam talian ... pornografi, perjudian ... dan masa tontonan yang berlebihan."

Menyusuli maklum balas ini, MOE menerapkan DMA dalam pelancaran peranti pembelajaran peribadi di seluruh negara, jelas Encik Loh.

Semua peranti pembelajaran peribadi yang dibeli di bawah tender borong peranti MOE akan dipasang dalam aplikasi itu sebelum ia diagihkan kepada pelajar. Walaupun peranti digital sedia ada di rumah boleh digunakan oleh pelajar, peranti sedemikian harus memenuhi "spesifikasi sekolah yang perlu" dan memasang DMA tanpa bayaran dikenakan, tambahnya.

MOE akan menanggung kos langganan DMA sepenuhnya untuk semua peranti dan sekolah juga akan mengeluarkan aplikasi itu dari peranti pelajar selepas mereka tamat pengajian.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita