Skip to main content

Singapura

Aplikasi baharu mudahkan pelanggan beli barangan dari Pasar Geylang Serai, dengan AI

Anggaran Waktu Membaca:
Aplikasi baharu mudahkan pelanggan beli barangan dari Pasar Geylang Serai, dengan AI

Pengguna Android dan Apple iOS bakal menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih lancar menerusi aplikasi geylangserai yang turut dilengkapi ciri AI. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 09 Jun 2026 07:03PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 08:02PM
SINGAPURA: Sebuah aplikasi peranti bijak dibangunkan untuk memudahkan orang ramai membeli barangan dari Pasar Geylang Serai dalam talian.

Aplikasi 'Pasar Geylang Serai' itu dibangunkan Mohamed Fahmi Abdullah menyusuli kejayaan laman web geylangserai.shop yang dibangunkannya pada 2024.

"Apabila pelanggan mula selesa membeli-belah menerusi laman web, saya mula memikirkan bagaimana proses itu boleh dipermudahkan lagi. Dengan aplikasi, semuanya lebih pantas dan lebih mudah diakses kerana ia sentiasa berada di telefon pengguna," kata Encik Fahmi, 45 tahun.

Laman web tersebut merupakan inisiatif peribadi beliau bagi membantu para peniaga Pasar Geylang Serai terus menjangkau pelanggan sewaktu pasar itu ditutup selama beberapa bulan untuk kerja naik taraf.
Related article image
Pembangun laman web, Encik Mohamed Fahmi Abdullah (kanan), turun padang memperkenalkan aplikasi 'geylangserai' kepada para peniaga Pasar Geylang Serai, dalam usaha membantu mereka memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)

Namun, maklum balas yang dikumpulkan sepanjang mengendalikan laman itu turut membantu Encik Fahmi mengenal pasti beberapa cabaran yang masih dihadapi sebahagian peniaga.

Antaranya ialah gerai-gerai yang kurang mendapat perhatian pelanggan kerana "lokasinya yang agak tersorok" di bahagian belakang pasar tersebut.

"Peniaga yang gerainya tersorok tidak perlu bimbang tentang aliran pengunjung kerana aplikasi ini akan menarik pelanggan kepada mereka," ujar Encik Fahmi.

USAHA PENDIGITALAN DISAMBUT BAIK PENIAGA

Setakat ini, sekitar 30 peniaga menjual pelbagai kategori barangan termasuk makanan laut, daging, ayam, sayur-sayuran dan barangan runcit telah menyertai aplikasi tersebut.

Antaranya ialah peniaga makanan laut, Muhammad Bilsyamahyudin, 42 tahun, yang mengendalikan gerai GC Seafood.

Bagi beliau, aplikasi tersebut dilihat sebagai satu langkah yang tepat dalam memenuhi keperluan pelanggan masa kini.

"Aplikasi ini menghimpunkan pengalaman membeli-belah dan penghantaran dalam satu platform. Pelanggan tidak lagi perlu memikirkan di mana hendak mendapatkan bahan-bahan tertentu atau bila perlu keluar membeli-belah," kata Encik Bilsyamahyudin.

Related article image
Peniaga makanan laut, Muhammad Bilsyamahyudin, berharap aplikasi 'GeylangSeraiShop' dapat menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan hasil jualan gerainya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Menyambut baik usaha itu, beliau berkata "pelanggan akan membuat lebih banyak pesanan", sekaligus meningkatkan hasil jualan gerainya.

Peniaga yang menyertai aplikasi itu meraih antara 70 hingga 80 peratus daripada hasil jualan, manakala baki 20 hingga 30 peratus digunakan bagi menampung kos operasi platform termasuk logistik, pemprosesan tempahan dan penyelenggaraan sistem.

Serang lagi peniaga ialah pemilik gerai Ajiboss, Azhar Salleh, 54 tahun, yang merupakan peniaga pertama menyertai aplikasi itu.
Related article image
Pemilik gerai Ajiboss, Azhar Salleh, peniaga pertama yang menyertai aplikasi 'Pasar Geylang Serai'. Kini, platform itu disertai sekitar 30 peniaga Pasar Geylang Serai. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)

"Generasi sekarang lebih selesa menggunakan aplikasi. Walaupun mereka sibuk bekerja atau tidak mempunyai masa untuk ke pasar, mereka masih boleh mendapatkan produk yang mereka perlukan pada bila-bila masa," kata Encik Azhar yang sudah berniaga di pasar itu selama sekitar 25 tahun.

Namun apa yang kelihatan mudah di hujung jari pengguna sebenarnya menuntut proses pembangunan yang rumit di belakang tabir.

Di sebalik pembangunan aplikasi itu, pasukan lapan anggota yang diketuai Ketua Jurutera Perisian, Dr Niamul Quader, 38 tahun, perlu memastikan platform tersebut dapat beroperasi tanpa menjejas sistem sedia ada yang telah digunakan menerusi laman web.

Menurut pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Komputer dari Universiti British Columbia (UBC) itu, antara cabaran terbesar adalah memastikan aplikasi baharu itu dapat disepadukan dengan operasi harian yang sedang berjalan.

"Kami perlu memastikan pembangunan teknologi baharu ini tidak mengganggu operasi dan tempahan sedia ada. Pada masa yang sama, kami perlu memastikan semua perubahan produk dan inventori sentiasa dikemas kini," kata beliau yang juga merupakan pengasas syarikat AI generatif, Oleyn yang berpangkalan di Singapura dan Bangladesh.

Mengambil inspirasi daripada platform e-dagang seperti Amazon, Shopee dan Lazada, Dr Niamul berkata aplikasi itu dibangunkan berasaskan pengalaman serta amalan terbaik yang telah terbukti berjaya dalam industri e-dagang.

"E-dagang bukan sesuatu yang baharu. Kami belajar daripada platform-platform yang telah berjaya seperti Amazon, Shopee dan Lazada dan cuba menerapkan pengalaman terbaik pengguna yang telah dibangunkan sejak puluhan tahun lalu," jelasnya.
 

LEBIH BANYAK PENAMBAHBAIKAN DALAM FASA KEDUA

Dalam fasa pertama ini, aplikasi tersebut sudah boleh dimuat turun bagi platform Android. Versi bagi platform Apple iOS pula akan tersedia dalam masa terdekat.

Dalam fasa seterusnya, pasukan pembangunan sudah pun merancang beberapa penambahbaikan termasuk penggunaan AI yang lebih meluas serta analitik untuk peniaga serta sistem yang dapat membantu memperkemas operasi logistik dan penghantaran.

Turut dalam perancangan ialah menawarkan peluang bagi orang ramai mendaftar sebagai 'personal shopper' atau 'picker' untuk mengumpulkan tempahan pelanggan.

Seumpama konsep penghantar GrabFood atau Deliveroo, mereka boleh menerima tugasan menerusi aplikasi dan menjana pendapatan tambahan.

MANFAAT AI UNTUK TINGKATKAN PERNIAGAAN DI PASAR GEYLANG SERAI

Bagi Encik Fahmi, usaha pendigitalan itu bukan sekadar memperkenalkan sebuah aplikasi baharu tetapi memastikan Pasar Geylang Serai terus relevan dalam landskap peruncitan yang semakin berubah.

"Kita tidak boleh menolak perubahan teknologi. Sama ada kita suka atau tidak, pengguna hari ini semakin bergantung kepada platform digital. Apa yang penting ialah bagaimana kita memanfaatkan teknologi untuk menyokong peniaga tempatan dan memastikan mereka terus berkembang," katanya.

Pembangunan ekosistem digital tersebut mengambil masa sekitar dua tahun dengan pelaburan mencecah $300,000. Ini selain usaha menjelaskan dan meyakinkan para peniaga untuk menyertai mereka serta membangunkan pelbagai sistem sokongan.

Selain aplikasi tersebut, laman web sedia ada turut dipertingkat dengan ciri 'chatbot' berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang membolehkan pengguna membuat pertanyaan, mendapatkan cadangan produk serta mencari bahan-bahan yang diperlukan dengan lebih mudah.

Malah, pelanggan juga boleh membuat pesanan terus menerusi 'chatbot' tersebut hanya dengan menaip atau menyatakan barangan yang ingin dibeli.

Sebagai contoh, pesanan seperti "Saya mahu membeli seekor ayam seberat 1.5 kilogram dan dipotong lapan" akan diproses dan dimasukkan ke dalam tempahan pelanggan secara automatik.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita