Skip to main content

Singapura

Apakah sebab di sebalik lonjakan kes tanpa hubung kait di S'pura?

Lonjakan kes COVID-19 tanpa hubung kait di Singapura mungkin disebabkan isu logistik seperti usaha yang diperlukan untuk mengesan kontak kes jangkitan yang lebih tinggi ataupun mungkin memberi isyarat bahawa virus itu kini lebih biasa berlaku, kata para pakar kepada Mediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah sebab di sebalik lonjakan kes tanpa hubung kait di S'pura?

Orang ramai menyeberang persimpangan jalan raya di kawasan Orchard Road pada 25 Sep 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 28 Jul 2021 11:17PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 11:21PM

SINGAPURA: Lonjakan kes COVID-19 tanpa hubung kait di Singapura mungkin disebabkan isu logistik seperti usaha yang diperlukan untuk mengesan kontak kes jangkitan yang lebih tinggi ataupun mungkin memberi isyarat bahawa virus itu kini lebih biasa berlaku, kata para pakar kepada Mediacorp.

Menurut kemas kini terbaru Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (28 Jul), daripada 130 kes baru tempatan COVID-19 di Singapura, 48 tidak berhubung kait.

Meskipun kebanyakan kes pada awalnya tidak berhubung kait dan kemudian akan dikaitkan dengan kes-kes sebelumnya selepas itu, "kami menjangkakan lebih banyak kes tanpa hubung kait atas beberapa sebab," kata Profesor Dale Fisher, pakar konsultan di Divisyen Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Profesor Fisher, yang juga merupakan pengerusi Rangkaian Penularan dan Pengawasan dan Tindak Balas Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata bahawa satu kemungkinan adalah peningkatan kes keseluruhan menyebabkan pengesanan kontak "berjalan lebih perlahan".

Jumlah kes jangkitan keseluruhan naik 50 peratus pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya, menurut kemas kini pada Selasa (27 Jul). Dengan 929 kes setakat Rabu dikaitkan dengannya, kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim, adalah kelompok aktif paling besar di negara ini.

Profesor Fisher berkata satu lagi sebab meningkatnya kes sedemikian adalah kerana mungkin "terdapat lebih banyak virus di mana-mana".

"Ini bermakna terdapat lebih banyak permukaan yang tercemar, lantas berlaku kontak antara manusia bukan secara langsung," jelas beliau.

Profesor Fisher juga menarik perhatian kepada sifat semula jadi varian Delta yang dikesan dalam kalangan kes COVID-19, termasuk daripada pelabuhan perikanan itu - varian tersebut tidak perlu pendedahan meluas untuk untuk menular.

Tambahnya, orang ramai mungkin merebakkan virus itu meskipun tidak menunjukkan gejala atau hanya mengalami gejala "amat ringan".

Kes tanpa hubung kait merujuk kepada pesakit yang tidak jelas bagaimana mereka terkena jangkitan, kata Profesor Fisher.

"Mereka mungkin seseorang yang tidak mengunjungi sebarang tempat di mana terdapat kelompok aktif. Mereka juga tidak tinggal bersama atau bekerja dengan kes yang dikesan tetapi mereka diuji positif kerana mereka menunjukkan gejala ringan. Tentu sekali, mereka terkena jangkitan daripada seseorang tetapi kami tidak boleh mengesan hubungan itu," kata beliau.

Presiden Persatuan Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan bagi Asia Pasifik Profesor Paul Tambyah pula menyifatkan jumlah kes tanpa hubung kait sebagai satu "kebimbangan" kerana ia mungkin menunjukkan bahawa kelompok-kelompok baru akan mula muncul. Namun, ia juga mungkin disebabkan cabaran mengenal pasti sumber jangkitan seseorang itu di tengah-tengah kes harian yang meningkat.

"Ia mungkin bermakna terdapat terlalu banyak kes setiap hari lantas pasukan pengesan kontak mendapatinya sukar untuk mengaitkan kes dengan cepat ... (atau) bilangannya berubah-ubah setiap hari lantas ia juga mungkin hanyalah satu isu logistik," kata beliau.

PASTIKAN KEADAAN TERKAWAL

Prof Tambyah berkata terdapat cabaran dalam memastikan keadaan terkawal.

Antaranya ialah kelompok aktif terbesar mempunyai sebilangan besar kes yang sukar dikesan dan "sebenarnya mungkin tidak mahu dikesan".

"Oleh itu, pendekatan baru untuk mendekati mereka perlu dipertimbangkan untuk memastikan kumpulan ini tidak akhirnya memulakan kelompok baru di lokasi lain," katanya.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pada Isnin di Parlimen bahawa kelompok KTV yang muncul pada 12 Jul "di bawah kawalan", dengan jumlah harian yang rendah dikaitkan dengannya.

Prof Tambyah berkata usaha kini harus ditumpukan untuk melindungi golongan lemah dan memelihara sistem penjagaan kesihatan daripada berusaha untuk mencapai sifar kes COVID-19 .

Prof Fisher pula berkata strategi sekarang ini ialah untuk memastikan jumlah kes dikawal sehingga selesai program vaksinasi negara.

Menurut kemas kini terbaru MOH, kira-kira 77 peratus warga emas berusia lebih 70 tahun telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin.  

Sumber : CNA/SM/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita