Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apakah penyakit 'misteri' hepatitis akut yang jejas kanak-kanak? Haruskah kita bimbang?

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah penyakit 'misteri' hepatitis akut yang jejas kanak-kanak? Haruskah kita bimbang?

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 04 Jun 2022 01:25PM Dikemas Kini : 04 Jun 2022 01:25PM

SINGAPURA: Seramai 650 kanak-kanak di seluruh dunia termasuk tiga di Singapura dipercayai dijangkiti hepatitis akut atau keradangan hati, yang tidak diketahui penyebabnya. 

Selain menjejaskan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia 16 tahun dan ke bawah, tidak banyak lagi diketahui tentang penyakit hepatitis akut setakat ini, menjadikannya satu "penyakit hati misteri".

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 650 kes  setakat 27 Mei, dengan sekurang-kurangnya 38 kanak-kanak memerlukan pemindahan hati. Sembilan kematian turut dicatatkan.

Tambah WHO, jumlah sebenar kes itu mungkin lebih tinggi disebabkan oleh keupayaan pemantauan yang terhad, dan juga penyakit itu masih disiasat. Ia menilai risiko penyakit itu bagi seluruh dunia sebagai "sederhana".

Kes pertama hepatitis akut di Singapura dikesan pada bayi berusia 10 bulan, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) pada 30 Apr. 

Kementerian tersebut kemudian mengumumkan pada 31 Mei bahawa seorang kanak-kanak tiga tahun dan lapan tahun mengalami penyakit tersebut masing-masing pada Oktober dan November 2021 setelah MOH menjalankan siasatan tinjau balik. 

Namun, apakah penyakit misteri ini dan patutkah rakyat Singapura berasa bimbang? 

HEPATITIS AKUT DAN BILA IA DIKESAN?

Sejak 1 Oktober 2021, kes hepatitis bukan hepatitis A, B, C, D atau E dikesan pada kanak-kanak berusia 16 tahun dan ke bawah. Kes-kes tersebut disenaraikan WHO sebagai hepatitis akut. 

Dalam satu laporan WHO pada 23 April, ia menarik perhatian bahawa sebilangan besar mangsa mengadu  gejala gastrousus seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah. Kanak-kanak juga didapati mempunyai tahap enzim hati yang lebih tinggi dan penyakit kuning. 

Kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang virus yang mungkin menyebabkan jenis biasa hepatitis A, B, C, D atau E. 

Penyakit tersebut pertama kali dikesan pada Oktober 2021 di sebuah hospital di Alabama, Amerika Syarikat, di mana lima kanak-kanak dirawat atas sebab kerosakan hati yang puncanya tidak diketahui. 

Meskipun WHO melaporkan terdapat 650 kes hepatitis akut yang dikesan di 33 negara, terdapat 99 kes tambahan yang masih menantikan pengesahan. 

75.4 peratus daripada jumlah tersebut dikesan pada kanak-kanak di bawah usia lima tahun, tambah WHO. 

United Kingdom melaporkan jumlah kes tertinggi  hepatitis akut, dengan 222 kanak-kanak  dipercayai mengalami hepatitis akut, dan 11 daripadanya memerlukan pemindahan hati. 

Indonesia pula pada 13 Mei melaporkan tujuh kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit itu pada  bulan lalu. 

APAKAH PENYEBAB HEPATITIS AKUT? 

Meskipun tiada penyebab tertentu diketahui setakat ini, namun hipotesis paling diterima penyelidik ialah ia disebabkan oleh adenovirus. 

Ini kerana WHO melaporkan bahawa daripada 181 kes yang diuji bagi "mana-mana jenis" adenovirus,   110 atau 60.8 peratus diuji positif. 

Menurut Profesor Dale Fisher, seorang konsultan kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH), adenovirus merupakan sejenis virus DNA yang biasa merebak menerusi "titisan cecair  atau najis" dan boleh bertahan dalam sekitaran.

Dr Paul Tambyah, Presiden Persatuan  Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan Asia Pasifik menambah bahawa Singapura pernah mengalami penularan adenovirus yang teruk, dikenali sebagai adenovirus jenis tujuh, dari November 2012 hingga Julai 2013, dalam kalangan kakitangan tentera dan kanak-kanak. 

"Hepatitis bukan satu ciri utama penularan yang disebabkan adenovirus jenis tujuh," ujarnya. 

Dr Tambyah juga berkata, adenovirus tidak lazimnya dikaitkan dengan hepatitis, meskipun terdapat kes yang dikesan pada kanak-kanak dan orang dewasa yang mudah sakit. 

ADAKAH IA BERKAITAN DENGAN COVID-19?

Belum diketahui dengan pasti penyebab penyakit hepatitis akut pada kanak-kanak, kata Prof Fisher. 

WHO melaporkan bahawa daripada 188 kes yang diuji bagi COVID-19, hanya 23 atau 12.2 peratus menghasilkan keputusan positif. Keputusan serologi pula menunjukkan bahawa daripada 26 kes yang maklumatnya sudah tersedia ada, 19 pernah dijangkiti sebelum ini. 

WHO juga menarik perhatian bahawa andaian bahawa hepatitis akut adalah kesan sampingan vaksin COVID-19 tidak disokong kerana sebilangan besar kanak-kanak yang dijangkiti tidak menerima suntikan vaksin sedemikian. 

"Kebanyakan daripada mereka berusia bawah lima tahun, dan oleh itu, tidak divaksin. Ini membuatnya sukar untuk mengaitkan hepatitis dengan vaksinasi," tambah Prof Fisher. 

Namun, terdapat satu cara pandemik COVID-19 mungkin menyumbang kepada penyakit tersebut. Sepanjang dua tahun lalu, jumlah penyakit berjangkit lain merosot, lantas mengurangkan daya imun masyarakat kepada penyakit-penyakit sedemikian, ujar Prof Fisher. 

"Pelonggaran sekatan mungkin menyebabkan kanak-kanak ini lebih senang terdedah kepada penyakit lain," katanya lagi. 

MAMPUKAH SINGAPURA CEGAH PENULARAN HEPATITIS AKUT?

"Sudah tentu" Singapura berupaya untuk mencegah penularan hepatitis akut sekiranya pihak berkuasa kesihatan sudah mengenal pasti sumber dan cara ia merebak, kata Prof Fisher. 

"Namun, setakat ini, kami tidak tahu peranan adenovirus atau kaitannya dengan virus-virus lain atau jangkitan COVID-19 yang berlaku sebelum itu," katanya. 

"Mungkin ada virus baru yang masih belum dikesan dan adenovirus hanya ditemui kerana kami sedang mencarinya? Kita tidak tahu bagaimana untuk mencegahnya sekiranya tidak tahu puncanya."

Dr Tambyah pula yakin bahawa lebih banyak maklumat mengenai hepatitis akut akan dapat ditemui dalam tempoh dua bulan ini kerana ahli patologi dan penyelidik dapat meneliti tisu hati yang rosak daripada kanak-kanak yang memerlukan pemindahan organ. 

Beliau juga yakin bahawa kanak-kanak yang dijangkiti penyakit tersebut boleh dikesan dengan pantas dan dirawat sebelum ia menjadi lebih rumit, memandangkan pegawai perubatan kini sedang memantau sebarang perkembangan mengenai hepatitis akut. Dr Tambyah menjangkakan lebih banyak kes dikesan pada hari-hari akan datang. 

Namun, kedua-dua pakar itu bersetuju bahawa adalah terlalu awal untuk memutuskan sama ada penularan hepatitis akut dapat dicegah, bagaimana ia menular atau pun penyebabnya. Namun, rawatan awal penting, tambah Dr Tambyah. 

"Kuncinya ialah untuk mengenal pasti mereka yang berisiko mengalami kerumitan atau mereka yang tidak sihat dan memastikan mereka menerima rawatan sewajarnya." 

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa