Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apakah daya tarikan Jejak Warisan Jurong?

Jumlah rakan kongsi masyarakat bagi Pesta Warisan Singapura (SHF) naik hampir dua kali ganda pada tahun ini berbanding tahun lalu, dirangsang oleh sambutan Jubli Negara. Satu contoh ialah Jejak Warisan Jurong yang dihasilkan Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan kerjasama Taman Jurong CCC.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah rakan kongsi masyarakat bagi Pesta Warisan Singapura (SHF) naik hampir dua kali ganda pada tahun ini berbanding tahun lalu, dirangsang oleh sambutan Jubli Negara.

Satu contoh ialah Jejak Warisan Jurong yang dihasilkan Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan kerjasama Taman Jurong CCC.

Apakah yang terlintas dalam fikiran anda bila dengar tentang Jurong?

Mungkin gambaran seperti kilang-kilang dan kawasan perindustrian. 

Namun Jurong sebenarnya lebih daripada itu.

Demikianlah yang ingin ditonjolkan oleh NHB melalui Jejak Warisan Jurong.

Sebanyak 35 tapak dan ruang dipaparkan dalam Jejak Warisan Jurong dengan 12 daripadanya mempunyai penanda warisan NHB.

PUSAT PENJAJA PERTAMA DI SINGAPURA

Tapak pertama dalam peta Jejak Warisan Jurong ialah Bekas Pusat Penjaja Yung Sheng.

Ia merupakan pusat penjaja pertama yang dibuka di Singapura pada 1972 bagi menempatkan para penjaja yang berpindah randah.

Pusat itu kemudian bergabung dengan Pasar dan Pusat Penjaja Corporation Drive, dan dinamakan Pasar dan Pusat Penjaja Taman Jurong hingga kini.

SATU-SATUNYA PAWAGAM TERBUKA DI SINGAPURA

Dan tahukah anda bahawa Jurong pernah menempatkan satu-satunya pawagam terbuka di Singapura?

Ia terletak di kawasan yang kini menempatkan Fairway Club di Japanese Garden Road.

Pawagam itu dibuka pada 1971 dan dikendalikan oleh Cathay Organisation.

Seluas lebih 55,000 meter persegi, ia pawagam terbuka paling besar di Asia pada masa itu.

Namun ia terpaksa ditutup 14 tahun kemudian akibat jumlah penonton yang merosot kerana pita video cetak rompak senang didapatkan, serta kegiatan lumba haram yang berlaku dalam kawasan pawagam.

Seorang penduduk Taman Jurong, Christopher Wang bercerita: "Ia adalah ruang terbuka besar yang boleh menampung kira-kira 900 kereta. Ia juga mempunyai kawasan tempat duduk, yang boleh memuatkan kira-kira 300 orang dengan sekitar 900 alat pembesar suara di kawasan itu. Ia sangat sesak, terutamanya pada beberapa malam pertama apabila mereka menayangkan filem-filem Bruce Lee yang penuh aksi dan digemari oleh rakyat Singapura. Ia sangat menyeronokkan untuk menonton di sana tetapi hujan menjadi masalah, kadang-kadang apabila hujan turun, tiada pilihan, terpaksa tinggalkan separuh jalan.

TEMPAT PERSEMBUNYIAN LANUN

Tentunya, Pelabuhan dan Limbungan Jurong disertakan dalam jejak warisan ini.

Kawasan air dalam di Jurong iaitu dari Tanjong Gul ke perairan sekitar Pulau Samulun dan Pulau Damar Laut adalah salah satu sebab utama ia dipilih sebagai bandar perindustrian pertama di negara ini.

Namun awal dari itu, sekitar 1820, kampung-kampung di sini menjadi tempat lanun bersembunyi selepas menyerang kapal-kapal yang melalui kawasan ini.

TEMPAT TERTINGGI DI JURONG

Dan bila hendak ke sana, anda sudah mengunjungi satu lagi tapak warisan iaitu Jurong Hill.

Tempat yang tertinggi di Jurong, ia juga dikenali dengan nama Bukit Peropok.

Di situ terdapat "Garden of Fame" di mana beberapa ketua negara dan orang kenamaan seperti Ratu Elizabeth II menanam pokok untuk memperingati lawatan mereka ke Estet Perindustrian Jurong.

Anda juga boleh menaiki menara di situ untuk mengamati pemandangan Jurong, serta Malaysia dan Indonesia pada jarak jauh.

REAKSI MENGGALAKKAN TERHADAP JEJAK WARISAN JURONG

Jejak Warisan Jurong ialah jejak warisan kebangsaan yang ke-13 dihasilkan oleh NHB.

Tapak-tapak lain dalam jejak warisan ini termasuk Pusat Sains Singapura, Landasan Kereta Api Jurong dan SAFTI.

Jurucakap Pendidikan & Pemupukan Masyarakat NHB, Raudhatuljannah Mohd Muntadar berkata: "Reaksi orang ramai terhadap Jejak Warisan Jurong amat menggalakkan sekali. Pendaftaran untuk lawatan bas berpandu yang diadakan pada hari pelancaran, sudah ditutup setelah dua minggu dibuka dan kesemua slot sudah diisi. Oleh kerana Singapura meraikan ulang tahunnya yang ke-50 tahun ini, kian ramai warga Singapura berminat terhadap warisan berbilang bangsa di negara ini."

Anda boleh menikmati lawatan berpandu sendiri dengan memuat turun buku panduan Jejak Warisan Jurong dari lelaman SHF.

Dan kini anda punya satu sebab untuk meneroka kawasan Jurong yang walaupun dianggap terpencil, tapi kaya dengan warisan tersendiri.


Sumber : BERITA Mediacorp/is
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan