Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apakah antara inisiatif utama Belanjawan 2 tahun lalu?

Menteri Kewangan Lawrence Wong akan membentangkan kenyataan Belanjawan 2022 di Parlimen pada Jumaat ini (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah antara inisiatif utama Belanjawan 2 tahun lalu?

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 16 Feb 2022 10:37AM Dikemas Kini : 16 Feb 2022 02:15PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Lawrence Wong akan membentangkan kenyataan Belanjawan 2022 di Parlimen pada Jumaat ini (18 Feb).

Encik Wong berkata kenyataan itu akan menangani "isu-isu lebih mendesak" seperti kos sara hidup dan menawarkan sokongan kepada sektor-sektor yang menghadapi kesulitan disebabkan COVID-19.

Ini merupakan tahun ketiga di mana Pemerintah akan membentangkan Belanjawan semasa pandemik COVID-19.

Belanjawan-belanjawan dua tahun sebelumnya sudahpun menampilkan inisiatif-inisiatif untuk membantu keluarga dan perniagaan menangani kesan krisis kesihatan global itu.

Mediacorp menyingkap inisiatif-inisiatif utama daripada Belanjawan 2020 dan 2021.

BELANJAWAN 2020

Belanjawan ini dibentangkan pada Februari 2020 di tengah-tengah penularan COVID-19.

Ia disusuli dengan tiga Belanjawan tambahan yang diperkenalkan pada Mac, April dan Mei tahun itu.

Ini merupakan kali kedua Pemerintah memanfaatkan Rizab Negara untuk membiayai inisiatif-inisiatif tersebut. Kali pertama ia berbuat demikian dengan adalah pada 2009 menyusuli krisis kewangan sejagat.

Pemerintah mengumumkan beberapa sokongan tambahan bagi keluarga, pekerja serta syarikat pada Ogos dan Oktober 2020.

1. PAKEJ JAMINAN

Pakej bernilai S$6 bilion itu disasarkan untuk membantu mengurangkan kesan daripada kenaikan yang akan berlaku pada kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dari 7 kepada 9 peratus.

Setiap golongan dewasa rakyat Singapura akan menerima bayaran wang tunai antara S$700 dengan S$1,600 sepanjang tempoh lima tahun mendatang, dengan tujuan melengahkan kesan kenaikan kadar GST selama sekurang-kurangnya lima tahun.

Keluarga yang tinggal di flat-flat satu bilik hingga tiga bilik menerima bayaran bagi menampung kos perbelanjaan tambahan selama 10 tahun yang disebabkan oleh kenaikan GST.

Ketika menyampaikan kenyataan Belanjawan, mantan Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata kenaikan GST yang dirancangkan itu tidak akan berlaku pada 2021 memandangkan kesan ekonomi akibat penularan COVID-19 tetapi ia akan dinaikkan menjelang 2025.

Pada Disember lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Pemerintah perlu "mula melaksanakan kenaikan GST yang dirancangkan itu sedang ekonomi Singapura pulih daripada krisis COVID-19.

2. PAKEJ BANTUAN KELUARGA

Di bawah pakej bernilai S$1.6 bilion itu, penduduk Singapura menerima bayaran wang tunai antara S$300 dengan S$900 untuk menampung perbelanjaan keluarga berikutan ketidaktentuan akibat pandemik.

Di bawah pakej itu, baucar barangan dapur bernilai S$300 turut diagihkan pada tahun tersebut kepada para penduduk yang tinggal di flat-flat HDB satu bilik dan dua bilik.

Baucar-baucar itu, yang boleh digunakan di pasar raya seperti NTUC FairPrice dan Giant, bagaimanapun menjadi sasaran pencuri yang mencurinya daripada peti surat blok-blok HDB apabila kumpulan pertama baucar diagihkan pada Oktober 2020.

3. PAKEJ PEKERJAAN DAN KEMAHIRAN SGUnited

Pakej bernilai S$2 bilion ini bertujuan mewujudkan 100,000 pekerjaan, program pelatih dan peluang latihan kemahiran untuk membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan.

Pakej itu, yang dilanjutkan ke tahun seterusnya, merangkumi pelbagai program seperti Pekerjaan SGUnited, Program Pelatih SGUnited, Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited dan Kemahiran SGUnited.

Pada 2021, 12,000 tempat latihan diambil menerusi program-program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited dan Kemahiran SGUnited, seperti yang dipaparkan dalam satu kemas kini oleh agensi pemerintah SkillsFuture Singapore pada bulan lalu.

4. SKIM BANTUAN PEKERJAAN

Skim bernilai S$1.3 bilion itu dilancarkan untuk membantu perniagaan menampung kos tenaga kerja dan menyokong lebih 1.9 juta pekerja tempatan.

Ia menyaksikan Pemerintah membayar lapan peratus daripada gaji para pekerja berkenaan, berjumlah sehingga S$3,600 setiap bulan selama tiga bulan.

5. INISIATIF SEKITARAN

Belanjawan 2020 juga menyaksikan beberapa inisiatif baru yang dilakarkan untuk menggalakkan rakyat Singapura supaya mengamalkan tabiat yang mampan. Langkah-langkah utama termasuk menggalakkan para penduduk supaya menggunakan kenderaan elektrik lebih awal.

Para pembeli kenderaan sedemikian ditawarkan rebat sehingga 45 peratus bagi yuran pendaftaran tambahan, dihadkan pada S$20,000.

Pemerintah juga mengumumkan ia akan memperluaskan kemudahan pengecasan awam bagi kenderaan elektrik - dari 1,600 pada 2020 kepada sekitar 28,000 menjelang 2030.

BELANJAWAN 2021

Belanjawan pada 2021 menyaksikan pelanjutan beberapa skim yang diperkenalkan pada 2020 serta beberapa lagi langkah baru bagi menyokong keluarga dan perniagaan.

Pemerintah juga memanfaatkan Rizab Negara buat tahun kedua berturut-turut.

1. PAKEJ BANTUAN KELUARGA TAMBAHAN

Pakej bernilai S$900 juta itu bertujuan menyokong keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan menerusi pengagihan baucar GST serta baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Misalnya, rakyat Singapura yang layak menerima pembayaran tunai sekali sahaja sebanyak S$200 untuk baucar GST mereka di samping pembayaran biasa yang diagihkan pada setiap Ogos.

Setiap keluarga rakyat Singapura juga menerima baucar bernilai S$100 yang boleh digunakan di kedai-kedai kejiranan dan pusat penjaja sebagai tanda terima kasih atas "semangat perpaduan mereka" semasa pandemik.

2. PAKEJ DAYA TAHAN COVID-19

Pakej bernilai S$11 bilion ini bertujuan menangani keperluan segera Singapura untuk melindungi kesihatan awam dan menghulurkan sokongan bersasar kepada para pekerja serta sektor-sektor yang masih dibebani oleh tekanan ekonomi dek pandemik.

Sebahagian daripada pakej itu (S$4.8 bilion) diperuntukkan bagi kesihatan awam dan langkah-langkah pembukaan semula secara selamat seperti meluaskan program vaksinasi di seluruh Singapura serta mengekalkan langkah berjaga-jaga sedia ada, sistem pengesanan kontak, rejim ujian dan keperluan jarak selamat.

Sebahagian lagi pakej itu diperuntukkan bagi menyokong pelanjutan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan pada tahun sebelumnya, seperti Skim Bantuan Pekerjaan serta Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited.

Lagi S$1.2 bilion pula diperuntukkan untuk menyokong sektor-sektor yang terjejas teruk oleh pandemik seperti sektor penerbangan, kesenian dan kebudayaan serta sukan.

3. INISIATIF SEKITARAN

Meneruskan sasaran yang ditetapkan pada tahun sebelumnya untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan pemandu, Encik Heng mengumumkan Pemerintah akan terus mengecualikan Yuran Pendaftaran Tambahan minimum sebanyak S$5,000 bagi jenis pengangkutan sedemikian.

Pemerintah juga, kata beliau, mengikrarkan S$30 juta sepanjang lima tahun akan datang bagi inisiatif-insiatif berkaitan kenderaan elektrik seperti langkah-langkah untuk meningkatkan penyediaan kemudahan mengecas di kawasan privet.

Secara berasingan, Encik Heng juga berkata Singapura akan memantau dan menyemak keberkesanan penguatkuasaan serta tahap cukai karbon yang dilaksanakan dan mengumumkan hasilnya semasa Belanjawan 2022.

Kadar cukai karbon Singapura ditetapkan pada S$5 bagi setiap tan pengeluaran gas rumah hijau dari 2019 hingga 2023.

Pemerintah menyatakan ini akan dinaikkan kepada antara S$10 dengan S$15 setiap tan menjelang 2030.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan