Apakah Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, dan adakah ia masih relevan?
Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) dikuatkuasakan untuk membantu pihak berkuasa Singapura mengelakkan pergeseran dan salah faham antara kumpulan-kumpulan agama di sini. Namun apakah sebenarnya MRHA dan mengapakah ia diperkenalkan pada 1990?

(Gambar fail: Mediacorp)
SINGAPURA: Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) dikuatkuasakan untuk membantu pihak berkuasa Singapura mengelakkan pergeseran dan salah faham antara kumpulan-kumpulan agama di sini.
Pindaan terhadap undang-undang berusia hampir 30 tahun itu akan dibentangkan di Parlimen minggu depan agar dapat mencerminkan dengan lebih baik realiti hari ini, khususnya dengan berleluasanya penggunaan media sosial dan bagaimana orang ramai menggunakannya untuk menyebarkan persengketaan.
Namun apakah sebenarnya MRHA dan mengapakah ia diperkenalkan pada 1990?
BILAKAH MRHA DIPERKENALKAN?
Rang Undang-Undang Mengekalkan Keharmonian Agama dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri ketika itu Profesor S. Jayakumar.
Ia akhirnya diluluskan pada 9 November 1990 setelah dibahaskan secara hangat dan dikuatkuasakan dua tahun kemudian.
MENGAPA DIBENTANGKAN?
Memberikan konteks bagi perlunya Rang Undang-Undang tersebut, Profesor Jayakumar semasa bacaan kedua pada 22 Februari 1990 menarik perhatian bahawa tahap kepercayaan terhadap agama semakin meningkat bagi semua kumpulan agama dan trend ini meningkatkan kemungkinan salah faham di antara mereka.
Satu lagi faktor, menurutnya, adalah golongan yang "kelakuannya boleh menyebabkan banyak ketegangan dan masalah".
Prof Jayakumar ketika itu menerangkan, tujuan Rang Undang-Undang tersebut adalah memastikan para penganut mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan sikap sederhana dan bertolak ansur, bukan dengan kebencian atau ketegangan. Ia juga memastikan agama kekal diasingkan daripada politik.
APAKAH KEPRIHATINAN BERKAITAN MRHA?
Rang Undang-Undang itu dibahaskan secara mendalam, dengan 32 Anggota Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan selama dua hari pada Februari 1990.
Ini termasuk mereka yang prihatin tentang tentang potensi kuasa meluas MRHA dan bagaimana Menteri menjadi penentu akhir sebarang tindakan eksekutif.
AP Pembangkang Chiam See Tong misalnya, berkata jika Pemerintah meluluskan Rang Undang-Undang tersebut ketika itu, ia "bertujuan mengambil jalan kuku besi" dan ia "pasti satu masa nanti membawa kepada sebuah negara totalitarian", yakni sistem pemerintahan yang dikuasai oleh seorang atau satu parti politik sahaja.
“Undang-undang ini memberi Menteri (Ehwal Dalam Negeri) kuasa menyeluruh dan mutlak, pertama untuk menutup mulut pemimpin agama dan kemudian untuk mendakwanya di mahkamah," kata Encik Chiam.
Dalam pada itu Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang ketika itu memegang jawatan Menteri Perdagangan dan Perusahaan merangkap Menteri Kedua Pertahanan (Perkhidmatan), mengakui adanya rasa kurang selesa bahawa Menteri akan mempunyai kuasa mengeluarkan Arahan Larangan (Prohibition Order) dan ia "satu keprihatinan wajar".
Beliau juga akur dengan hujah supaya kuasa itu diserahkan kepada proses penilaian penghakiman. Namun beliau menekankan secara prinsip, arahan sedemikian adalah satu keputusan politik yang diambil pihak Eksekutif, bukan mahkamah.
SEMAKAN JAWATANKUASA TERPILIH
Rang Undang-Undang itu dibentangkan sekali lagi setelah Parlimen digantung pada 21 April 1990, dan ia dirujuk kepada Jawatankuasa Terpilih untuk bacaan kedua pada 18 Julai.
Jawatankuasa tersebut membuat hampir 20 semakan bagi mengambil kira pandangan yang disuarakan Parlimen serta 79 perwakilan bertulis yang diserahkan.
Misalnya, istilah "Arahan Larangan" diubah kepada "Arahan Sekatan".
Satu perubahan besar yang dibuat pada peringkat itu adalah cara Arahan Sekatan dikeluarkan.
Di bawah Rang Undang-Undang asal, menteri boleh mengeluarkan arahan dan kemudian perlu mengambil kira pandangan individu dan badan agama tersebut. Begitu juga selepas majlis tersebut mengutarakan pandangannya, Menteri akan membuat keputusan untuk mengubah atau menarik balik arahan.
Namun mengikut prosedur yang disemak Jawatankuasa Terpilih, semua arahan perlu disahkan oleh Presiden dalam tempoh 30 hari setelah menerima laporan majlis. Tanpa pengesahan Presiden, arahan itu akan dibatalkan.
NATIJAHNYA
Langkah-langkah yang akhirnya diperkenalkan di bawah MRHA termasuk Menteri Ehwal Dalam Negeri mempunyai kuasa mengeluarkan Perintah Sekatan ke atas pemimpin atau penganut agama jika mereka mencetuskan "rasa ketegangan, kebencian atau permusuhan antara kumpulan-kumpulan agama berbeza" atau melakukan kegiatan bertujuan politik dengan menggunakan agama.
Ia juga memudahkan pembentukan Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama.
Lebih penting, undang-undang itu membantu menjaga keamanan dan keharmonian dalam negara meskipun ia tidak digunakan sejak dikuatkuasa hampir 30 tahun lalu, kata PM Lee di satu acara Pertubuhan Antara Agama (IRO) bulan lalu.
Namun, beliau menarik perhatian masa sudah berubah dan penggunaan media sosial secara meluas, menjadikan orang ramai lebih mudah berasa tersinggung menerusi penyebaran kepalsuan.
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Julai menerangkan lebih lanjut perlunya pindaan undang-undang itu untuk menangani ancaman baru akibat penggunaan Internet yang meluas.
Dengan adanya Internet orang ramai dengan mudah boleh menyuarakan kebencian secara terbuka kerana ruang online boleh melindungi identiti mereka.
"Kita perlu menilai kembali MRHA, dan memerlukan langkah-langkah lebih menyeluruh untuk memastikan kita dapat menghentikan penyebaran kebencian dan perbalahan," kata Encik Shanmugam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.