Skip to main content

Singapura

Apabila bahagian otak hubungkan otak kiri dan kanan ‘hilang’ semasa bayi. Ini kisah Hidayat…

Ini satu kondisi kesihatan yang tidak ramai orang sedar tentangnya. Dipanggil Agenesis corpus callosum, ia satu keadaan di mana sebahagian organ otaknya tiada semasa bayi dilahirkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Apabila bahagian otak hubungkan otak kiri dan kanan ‘hilang’ semasa bayi. Ini kisah Hidayat…

Muhammad Hidayat semasa dia masih bayi (kiri), dan dia sekarang. (Gambar-gambar: Murfiah Suhadi)

Diterbitkan : 26 Dec 2018 12:47AM Dikemas Kini : 26 Dec 2018 03:37AM

BERITAmediacorp: Ini satu kondisi kesihatan yang tidak ramai orang sedar tentangnya. Dipanggil Agenesis corpus callosum, ia satu keadaan di mana sebahagian organ otaknya tiada semasa bayi dilahirkan.

Secara umumnya, jika ini berlaku kepada bayi, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan minda dan jasmani, seperti masalah kognitif, masalah psikososial, masalah pendengaran, penglihatan dan sebagainya.

Yang pasti, ini suatu keadaan kesihatan yang boleh dianggap penyakit yang jarang-jarang berlaku di Singapura mahupun di dunia. Namun Muhammad Hidayat merupakan antara bayi yang dilahirkan dengan kondisi itu. Ini cerita Hidayat dan Agenesis corpus callosum yang dialaminya itu.

PENGALAMAN CIK MURFIAH, ANAKNYA KENA AGENESIS CORPUS CALLOSUM

Related article image

Muhammad Hidayat bersama ibunya, Cik Murfiah.

Bagi seseorang ibu, ujian ‘ultrasound’ barangkali satu pengalaman yang istimewa dan mendebarkan. Justeru, tidak dapat dibayangkan bagaimana runtun hati Cik Murfiah Suhadi apabila ujian ultrasound beliau mendedahkan tanda-tanda yang membimbangkan tentang kandungannya itu. Ini berlaku 18 tahun lalu.

Cik Murfiah, ketika itu berusia 31 tahun, dimaklumkan oleh doktor bahawa kandungannya yang berusia lima bulan sebenarnya tidak ‘sempurna’ dan dinasihatkan supaya menggugurkannya. Menurut doktor, terdapat sesuatu yang ganjil di bahagian otak bayinya kerana ia dipenuhi dengan air.

Sebahagian kecil otaknya tidak ada, atau Agenesis corpus callosum. Cik Murfiah memberitahu BERITAMediacorp bahawa nasihat doktor supaya kandungannya digugurkan bagai mencurahkan cuka di luka hatinya.

“Saya hanya diberi 12 jam untuk membuat keputusan sama ada saya masih mahu meneruskannya atau menggugurkan kandungan saya. Ini kerana, bayi saya sudah masuk lima bulan dan sekiranya saya ingin menggugurkannya, saya harus melakukannya secepat mungkin. Jika tidak, ia akan membahayakan diri saya,” kongsi Cik Murfiah.

Doktor menyatakan, antara risiko yang mungkin dihadapi bayinya, termasuklah tidak dapat hidup lama, kecacatan fizikal atau mental sepanjang hidupnya. Cik Murfiah dan suaminya bernama Juraimi Arshad, bagaimanapun bertawakal dan mengambil keputusan untuk tidak menggugurkan cahaya mata mereka yang pertama itu.

PENJELASAN TENTANG FENOMENA AGENESIS CORPUS CALLOSUM

Corpus callosum adalah bahagian otak yang berfungsi untuk menghubungkan bahagian otak hemisfera kiri dengan hemisfera kanan. Agenesis corpus callosum pula bermakna bahagian otak yang menghubungkan otak kanan dengan otak kiri tidak ada.

Menurut Profesor Madya Ong Hian Tat, Ketua dan Konsultan Kanan, Divisyen Pediatrik Neurologi dari Hospital Universiti Nasional (NUH), kemungkinan berlakunya Agenesis corpus callosum adalah 1.8 bagi setiap 10,000 bayi yang dilahirkan. Risikonya lebih tinggi bagi kaum wanita yang hamil di peringkat lanjut usia.

“Agenesis corpus callosum akan menjejas kemahiran motor dan kebolehan seseorang untuk melakukan koordinasi. Selain itu, bayi yang mengalami Agenesis corpus callosum mesti dipantau dengan rapi kerana perkembangan awalnya besar kemungkinan terjejas. Justeru, mereka akan memerlukan rawatan terapi seperti terapi cara kerja (occupational therapy), terapi fizikal, terapi perbualan,” jelas Dr Ong.

Related article image

Muhammad Hidayat (kanan).

ALAMI KESUKARAN MEMBACA DAN MENULIS

Menurut Cik Murfiah, yang kini berusia 49 tahun, beliau mendapati anaknya mengalami kesukaran membaca dan menulis ketika dia di peringkat Darjah 1. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan terapi bagi membantu anaknya, Hidayat.

Meskipun Hidayat, yang kini berusia 17 tahun, tiada lagi masalah membaca dan menulis, Cik Murfiah akur bahawa anaknya masih mempunyai kelemahan dari segi akademik.

Disebabkan Hidayat tiada langsung corpus callosum, pembangunan otaknya lebih perlahan, sekali gus menjejas pembelajarannya dan kemampuannya untuk memahami sesuatu.

Bagaimanapun, Cik Murfiah berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau tidak pernah membeza-bezakan Hidayat dengan dua lagi anaknya yang dilahirkan normal. Baginya, Hidayat cukup sempurna, tiada apa yang kurang pada dirinya. Bukan saja dia dalam keadaan sihat, malah dia boleh melakukan segala aktiviti seperti kanak-kanak yang lain.

HIDAYAT MASIH BOLEH LAKUKAN MACAM-MACAM

Related article image

Muhammad Hidayat bersama ibunya, Cik Murfiah.

Cik Murfiah memberi contoh, meskipun Hidayat mengalami Agenesis corpus callosum, dia mampu bermain bola, menunggang basikal, malah bermain guitar! Ia dianggap sesuatu keajaiban kerana hemisfera otak kiri dan kanannya mampu berfungsi bersama tanpa corpus callosum. Justeru, bagi Cik Murfiah, anaknya tiada cacat celanya langsung.

“Kesan terhadap seseorang yang mengalami Agenesis corpus callosum semuanya berlainan.

Ada di antara mereka yang terjejas teruk, seperti, mengalami kesukaran untuk berjalan dan daya intelektualnya terjejas teruk. Bagaimanapun, ada juga yang boleh menjalankan kehidupan seharian seperti biasa, tanpa masalah.

Pendek kata, ia bergantung kepada setiap individu dan masih terdapat peluang sekitar 10 peratus hingga 20 peratus bahawa mereka ini dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa,” jelas Dr Ong lagi.

Dalam pada itu, Dr Ong menekankan pentingnya mendapat diagnosis dan rawatan terapi awal. Ini penting untuk para ibu bapa lebih memahami keperluan anak masing-masing, terutamanya apabila tahap pembangunan anak tersebut terjejas.

GOLONGAN INI PERLUKAN SOKONGAN

Related article image

Cik Murfiah dan suaminya, Encik Juraimi Arshad. 

Pada zahirnya, Hidayat kelihatan sama seperti kanak-kanak di sekolah arus utama. Bagaimanapun disebabkan oleh pembangunan mindanya, Cik Murfiah mengambil keputusan untuk mendaftarkannya ke sekolah Grace Orchard. Bagi Cik Murfiah dan suaminya, Encik Juraimi Arshad, 47 tahun, ia bukan sesuatu yang memalukan kerana mereka menerima Hidayat seadanya.

Namun, Cik Murfiah mendedahkan kepada BERITAMediacorp bahawa beliau tersentak apabila terdengar para pelajar dari sekolah arus utama mengatakan bahawa sekolah-sekolah keperluan khas adalah untuk pelajar bodoh.

Komen-komen seperti itu membuat Hidayat terasa dan mula benci untuk ke sekolah. Malah, dia selalu mendesak ibunya supaya menukar sekolahnya.

“Saya tidak suka ke sekolah kerana saya dilabel bodoh oleh para pelajar dari sekolah arus utama. Saya mahu membuktikan kepada mereka bahawa saya sama seperti mereka dan saya tidak bodoh,” luah Hidayat kepada BERITAmediacorp.

Sebagai ibu, beliau hanya mampu memberikan segala sokongan dan dorongan kepada Hidayat untuk tabah. Malah beliau sering mendorongnya supaya terus belajar bersungguh-sungguh dan mengasah bakatnya dalam bidang muzik, yang sangat diminatinya.

Beliau turut menekankan kepada BERITAMediacorp, bahawa masyarakat tidak sepatutnya bertanggapan bahawa para pelajar di sekolah-sekolah khas merupakan anak-anak istimewa, tetapi sebaliknya melihatnya daripada sudut positif.

Cik Murfiah sedar bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) sedang berusaha untuk memupuk masyarakat yang lebih inklusif, namun beliau juga berharap bahawa para ibu bapa turut memainkan peranan masing-masing untuk memupuk nila-nilai murni dalam diri anak mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita