Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Apa yang perlu anda tahu tentang flat mesra warga emas di Queenstown

Anggaran Waktu Membaca:
Apa yang perlu anda tahu tentang flat mesra warga emas di Queenstown

Gambar: HDB

Diterbitkan : 27 Oct 2022 10:35PM Dikemas Kini : 27 Oct 2022 10:36PM
SINGAPURA: Almari pakaian siap bina dan pakej perkhidmatan ada antara ciri-ciri Apartmen Jagaan Masyarakat (CCA) di Queenstown yang akan ditawarkan dalam penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada November.

CCA adalah konsep perumahan awam yang menyediakan khidmat jagaan kepada penduduk dan dibangunkan bersama Kementerian Pembangunan Negara (MND), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Flat berkenaan akan dilengkapkan dengan khidmat jagaan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.

Terletak di pembangunan BTO Queensway Canopy, ia merupakan projek CCA kedua di Singapura dengan yang pertama dirintis di Bukit Batok dilancarkan penjualannya pada Feb 2021.

Berikut adalah ciri-ciri flat CCA yang perlu anda tahu:

PELAN LANTAI

Seluas kira-kira 32 meter persegi, setiap unit CCA dilengkapi dengan pintu utama yang lebar dan mesra kerusi roda dengan bangku siap dibina.

Bilik air boleh diakses menggunakan kerusi roda dengan lantai yang tidak licin serta alat pemegang. Ruang sidai pakaian boleh diakses dari bilik air.

Setiap unit juga dipasang almari, kabinet dan dapur yang lengkap untuk membolehkan warga emas langsung pindah masuk tanpa perlu banyak kerja ubah elok.

Reka bentuk berkonsep terbuka itu dilengkapi dengan bidai unutk memisahkan ruang tamu dan bilik tidur.
Gambar: HDB
PAKEJ PERKHIDMATAN

Selain kelengkapan mesra warga emas, flat CCA juga direka bagi warga emas hidup berdikari dengan beberapa bantuan jagaan kesihatan, apabila perlu.

Semua penduduk perlu mendapatkan Pakej Khidmat Asas yang antara lain membolehkan mereka menikmati khidmat pemantauan dan respons kecemasan 24 jam.

Pengurus masyarakat yang bertugas akan membantu hubungkan penduduk dengan khidmat jagaan dan sokongan yang relevan, membantu memperbaiki alat perumahan yang mudah serta menganjurkan kegiatan masyarakat.

Penduduk juga boleh mendapatkan khidmat jagaan dan kesejahteraan serta mengikuti kegiatan sosial di Pusat Penuaan Aktif yang terletak di Hab Sosial dan Kesejahteraan.

Hab itu bersebelahan dengan blok CCA.

Penduduk juga layak mendapat keutamaan dimasukkan ke rumah jagaan berdekatan di kampus Hospital Alexandra jika perlu.

Penduduk juga boleh mendapatkan khidmat tambahan termasuk khidmat kemas rumah, penghantaran makanan dan pengangkutan bagi tujuan perubatan dengan kos tambahan.

KEMUDAHAN

Penduduk CCA di Queensway Canopy boleh menikmati akses ke pelbagai kemudahan makanan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam.

Pusat makanan berhampiran termasuk Pasar dan Pusat Makanan ABC Brickworks, Pusat Makanan Alexandra Village serta Pasar dan Pusat Makanan Mei Ling Heights.

Bagi kemudahan kesihatan pula, penduduk boleh pergi ke Hospital Alexandra, Hospital Universiti Nasional (NUH) dan poliklinik Queenstown.

Stesen MRT Queenstown juga terletak berhampiran dengan pembangunan itu.

Warga emas boleh mengunjungi Pusat Beli-belah Anchorpoint, Alexandra Central Mall, IKEA Alexandra dan Pusat Beli-belah Queensway untuk keperluan runcit mereka.

Kemudahan rekreasi dan masyarakat termasuk Rail Corridor, Pusat Sukan Queenstown dan Hab Masyarakat Queenstown.

Dalam kawasan pembangunan Queensway Canopy itu sendiri disediakan gim ActiveSG, Pusat Penuaan Aktif dan pelbagai stesen kecergasan. Disediakan juga taman masyarakat,ruang interaksi sosial dan tajaka.

KRITERIA KELAYAKAN

Pemohon serta pasangan mereka, jika ada, harus berusia 65 tahun dan ke atas.

Keluarga perlu ada sekurang-kurangnya satu pemohon warga Singapura dan golongan bujang haruslah warganegara Singapura.

Purata gaji kasar bulanan isi rumah tidak boleh melebihi S$14,000.

Pemohon yang memiliki hartanah privet atau flat HDB harus menjual hartanah itu dalam tempoh enam bulan selepas mengambil kunci flat CCA mereka.

Warga emas yang sudah menerima dua subsidi perumahan sebelum ini dan membeli apartmen studio atau flat flexi dua bilik dengan tempoh pajakan pendek, tidak layak memohon bagi CCA.

Pemohon boleh memilih pajakan antara 15 dengan 35 tahun.

Tempoh pajakan yang dipilih harus dapat meliputi kedua-dua pemohon dan pasangannya sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya 95 tahun.

Warga emas dengan keperluan penjagaan lebih tinggi akan diberi keutamaan.

HARGA INDIKATIF

Harga Apartmen Penjagaan Masyarakat di Queenstown - termasuk harga flat dan Pakej Khidmat Asas - bergantung pada tempoh pajakan yang dipilih pemohon dan sama ada pemohon membayar jumlah penuh Pakej Khidmat Asas atau secara bulanan sepanjang tempoh pajakan.

Bagi Pakej Khidmat Asas, penduduk boleh memilih antara dua pelan pembayaran.

Dalam pelan pertama, S$164 akan dibayar untuk bulan pertama bersama dengan deposit keselamatan S$1,968 yang akan dikembalikan.

Penduduk kemudian membayar S$164 setiap bulan untuk baki tempoh pajakan.

Di bawah pelan kedua, penduduk akan membayar S$6,200 untuk tiga tahun pertama.

Sepanjang baki tempoh di CCA, mereka akan membayar S$6,200 setiap tiga tahun.

Yuran tersebut akan disemak secara berkala dan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan (MOH).

CCA pertama di Bukit Batok menerima 4.2 permohonan bagi setiap unit.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan